Pages

Tuesday, December 25, 2012

Betulkah untuk berjaya kena kerja kuat?


Semua orang tentu kenal kawan-kawannya yang kuat bekerja. Orang putih kata kerja kuat itu 'hardwork'. Bacalah mana-mana buku motivasi. Bacalah mana-mana buku biodata orang yang menempa kejayaan hebat dalam perniagaannya, mereka tentu ada sebut salah satu faktor berjaya adalah sebab sikap kerja kuat.

Cuba lihat sekeliling, ramai yang kerja kuat. Kita boleh senaraikan seperti dibawah:
  • Buruh kasar - tak ada lagi kumpulan yang bekerja sekuat mereka ini. Angkat simen, bata, kayu naik turun bangunan di tengah panas matahari terik.
  • Taukeh kedai baiki basikal di kampung - Kalau di tempat saya, Ah Tep kerja kuat sampai meninggal. Kini anaknya Ah Ou yang menyambung usaha ayahnya juga telah tua. Dia kerja kuat baiki basikal sampai tua dan anaknya pula menyambung kerjanya. Saya yakin anaknya juga akan kerja kuat sampai tua.
  • Penjual kacang tepi jalan - Ada juga dikampung saya yang jual kacang dari muda sampai tua. Hari-hari beli, rebus dan jual kacang.
  • Drebar lori - Ramai drebar lori yang kita kenal. Bawa lori dari muda sampai tua tak pernah jemu. Begitu juga drebar bas dan juga drebar teksi.
  • Kerja kampung - Ramai yang kuat ambil upah kerja-kerja rencam di kampung. Mereka biasanya sihat, kuat dan berotot sasa. Umur mereka panjang untuk sentiasa berkhidmat pada orang kaya kampung dari muda sampai tua.
Banyak lagi contoh sekeliling kita. kalau nak disenaraikan satu persatu memang panjang. Tapi majoriti daripada mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka berada di takuk yang sama dari muda sampai tua. Kalau memang kerja kuat itu tangga kejayaan kenapa mereka tak jadi"the richest man in their own town"?.

Jika kita tolak pula teori kerja kuat untuk berjaya, kita menafikan nasihat mereka yang dah berjaya yang mana mereka telah membuktikannya. Jadi tentu rahsianya adalah dengan melihat apa yang dimaksudkan dengan kerja kuat.

 Apa maknanya kerja kuat? sebenarnya kerja kuat bukan bermaksud angkat barang atau lain-lain aktiviti yang mengeluarkan peluh. Kerja sebenarnya adalah:

"90% berfikir dan 10% lagi beraksi"

Dengan definisi itu terbongkar kenapa keluarga Ah Tep tetap dengan hanya satu kedai basikal walaupun selama 3 jenerasi kerja kuat. Terbongkar juga kenapa penjual kacang hidup sekadar cukup makan dari muda sampai tua dan buruh kasar hanya membina otot-otot tebal tanpa punya wang tebal dari muda sampai tua.

Begitu juga yang lain-lain mereka cukup kuat kerja siang malam sehinggakan tak sempat berfikir. Mereka lebihkan aksi daripada berfikir. Jadi sudah tentu tak ada masa untuk melihat peluang lain. Dengan berfikir kita akan nampak bagaimana kehidupan kita boleh menjadi lebih baik. Dengan berfikir juga kita mampu meletakkan matlamat yang lebih tinggi.

Oleh itu kepada semua usahawan yang kuat kerja sampai tak cukup tanah saban hari. Tolong henti sebentar dan ambil masa yang lebih untuk berfikir. Kerja dengan kuat sekadar menggunakan tulang 4 kerat tak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya jika digabungkan dengan otak yang berfikir kita boleh pergi lebih jauh.

Untuk berfikir, kita mestilah punya soalan dan soalan akan timbul melalui:
  • Pergaulan dengan rakan-rakan yang berjaya. Bersembang kosong dengan mereka yang berjaya tak pernah rugi. Akan ada saja idea baru muncul dari otak orang-orang yang berjaya.
  • Membaca buku-buku yang berkaitan dengan apa yang kita buat. Tak ada zaman yang lebih mudah untuk dapatkan maklumat macam zaman kita sekarang. Luangkan masa sentiasa beli dan baca buku.
  • Melihat dunia dengan berjalan. Jauh berjalan luas pemandangan. Ambil masa sekali sekala untuk berjalan jauh. Ia membuatkan otak kita sedar bahawa dunia in lebih luas dari kampung atau garaj tempat kerja.
  • Muhasabah diri setiap hari. Luangkan masa satu jam setiap hari bersendirian untuk berfikir. Hari esok mesti lebih baik dari hari ini. Bagaimana melakukannya, fikirkankanlah. Berjalan kaki di taman atau duduk atas tikar sembahyang atau iktikaf di masjid mampu memberikan ketenangan untuk melahirkan suasana yang sesuai untuk berfikir.
  • Luangkan masa dengan keluarga. Lebihkan masa sedikit bersama anak-anak dan isteri-isteri, juga ibubapa. Duduk saja melihat anak-anak bermain menaikkan semangat untuk kita berusaha. Anak-anak pula tak akan lupa jasa kita meluangkan masa itu sampai mati. Melihat muka ibubapa tanpa berkata-kata apa-apa juga mampu menyuntik semangat untuk berjaya.
  • Berdoa. Jangan lupa pada Tuhan. Tak ada guna duit banyak, rumah besar, kereta mewah kalau Tuhan dilupakan. Tak ada guna didunia senang 20 tahun diakhirat pula terseksa selama-lamanya. Jangan putus asa dengan rahmat Tuhan. Buat yang wajib dan tinggalkan yang haram dan selitkan yang sunat sekadar mampu dengan istiqamah.
Untuk saya, juga untuk semua usahawan dan bakal usahawan marilah kita sama-sama amalkan. Insyallah!sumber