Pages

Tuesday, January 31, 2012

Penulis Lirik 'Awan Nano' Adalah Ketua Cabang PKR-Parit Sulong

Nasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat




PETALING JAYA: Penulis lirik lagu Awan Nano, yang menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-26, semalam (Ahad) Nasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat berkata beliau tidak menggunakan bidang seni sebagai medium untuk berpolitik walaupun beliau terlibat dalam bidang tersebut secara langsung.

Nasmi kini memegang jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Johor.

Menurut penulis lirik itu, dalam berkarya apa yang menjadi keutamaannya ialah menyampaikan mesej berunsur kemanusiaan dan mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain yang mendengarnya.

"Seni masih lagi medium terbaik untuk saya menyampaikan mesej kemanusiaan.

"Saya berkarya untuk semua orang, saya tak buat lagu untuk satu parti atau mana-mana parti tertentu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Justeru katanya, lagu Awan Nano yang bermaksud 'pelindung' dan karya-karyanya yang lain turut mempunyai unsur-unsur kemanusiaan selari dengan prinsip penulisannya.

Lirik lagu tersebut katanya dicipta lebih kurang tiga tahun yang lalu sebelum diserahkan kepada komposer.

Lagu itu dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia Ke-7, Hafiz turut mengungguli dalam kategori vokal terbaik. Melodi lagu tersebut adalah ciptaan komposer terkenal M.Nasir.

Nasmi berkata, beliau sebenarnya sudah terlibat dalam bidang seni dan penulisan bukan baru tetapi kira-kira 15 tahun yang lalu dan tidak menganggap berpolitik sebagai halangan untuk berkarya.

"Kerja seni saya melampaui parti dan saya tak jadikan parti sebagai halangan.

"Parti sebagai wadah untuk saya bergerak, itu sahaja," katanya.

Sebelum Awan Nano, pemuda berusia 36 tahun ini pernah menulis lagu untuk kumpulan Spider berjudul 'Ajaib' dan banyak mempelajari tentang teknik penulisan lirik daripada arwah Loloq.

Beliau juga banyak menghasilkan karya-karya untuk kumpulan muzik bebas selain mengisi ruang Sastera Budaya, Berita Harian (1998-2001), portal Kakiseni dan Jalantelawi.com.

Nasmi menambah, berkarya sambil menceburi bidang politik adalah perkara biasa yang turut berlaku di luar negara.

Malah, beliau turut menegaskan nama pena Buddhi Hekayat yang digunakannya sekarang dalam bidang seni juga bukan bertujuan untuk menyembunyikan identitinya sebagai ahli politik daripada diketahui umum.

"Dalam dunia penulisan nama pena adalah perkara biasa. Lima belas tahun saya dalam bidang seni, lima belas tahun jugalah saya guna nama yang sama ini," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut penglibatannya dalam bidang politik, beliau berkata selepas PKR berjaya pada pilihan raya umum 2008 yang lalu yang menyaksikan parti tersebut berjaya menguasai beberapa buah negeri, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang seni.

"Nak kata saya berpolitik sepenuh masa pun tidak juga. Tugas saya agak kurang. Saya sukakan cabaran.

"Banyak yang saya sudah cuba dalam usia muda. Saya menulis, saya ceburi bidang politik. Sama jugalah orang seni yang sudah tua, dan mereka beralih ke politik," jelasnya.

Ditanya adakah beliau bimbang kerjayanya dalam bidang seni akan terganggu selepas masyarakat mengetahui tentang diri dan latar belakang politiknya, beliau menjawab:

"Saya lebih senang orang kenal saya sebagai orang yang mahu beri kesenangan dan kebahagiaan kepada ramai orang dengan karya-karya saya.

"Dalam politik pun pandangan saya lebih kepada manusiawi, bukan matlamat untuk bermusuh atau merebut kuasa."

Dalam pada itu, beliau berkata selepas kemenangan Awan Nano, beliau mula melihat arah yang dicari-cari selama ini dan akan lebih aktif menulis lirik.

"Saya akan lebih aktif dalam bidang seni. Bukan sebab kecewa dalam politik, tapi saya rasa waktu yang ditunggu-tunggu sudah tiba," katanya lagi.

Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan nyanyian Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain antaranya Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor). sumber

Surat terbuka untuk Presiden PAS


Surat terbuka untuk Presiden PAS
Assalamualaikum wbt
Kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dihormati dan dikasihi, PAS Sarawak dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak (DHPP) ingin menyatakan sokongan kepada Tuan Guru Presiden agar terus memimpin dan berada dalam parlimen Malaysia selagi nyawa masih dikandung badan.
Tuan Guru Presiden harus tetap memimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana keilmuan yang meluas dalam bidang agama Islam serta pengalaman Tuan Guru dalam politik di Malaysia sangat dikagumi oleh rakan dan pihak lawan.
Tuan Guru memiliki sifat akhlak yang baik, serta tidak pernah melakukan penyelewengan dan tidak menyalahgunakan kuasa sepanjang memimpin PAS dan juga memerintah Terengganu satu ketika dulu. Sifat yang mulia inilah yang menyebabkan orang Islam dan bukan Islam menerima Tuan Guru sebagai pemimpin yang adil untuk semua.
Tuan Guru telah berjaya bersama-sama menyatukan ketiga-tiga parti (PKR,DAP dan PAS) dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), maka inilah masanya Tuan Guru sama-sama menikmati hasil perjuangan Pakatan dalam Pilihanraya Umum ke13 nanti.
Dalam keadaan PR menghampiri laluan ke Putrajaya paling tidak, Tuan Guru diperlukan untuk menjadi antara pemimpin paling atas dalam pucuk pimpinan Malaysia jika PR berjaya membentuk kerajaan nanti, Insya-Allah.
Kita tahu ada pihak musuh dalam politik menggunakan isu pengunduran Tuan Guru sebagai alasan mereka mengatakan ada krisis kepimpinan dalam PAS dan Pakatan. Sekarang pihak musuh akan menggunakan apa saja cara untuk mengadu domba dan memecahbelahkan pimpinan Pakatan agar hasrat Pakatan untuk menawan Putrajaya gagal dan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah Malaysia.
Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan, kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini, lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru.
Sekarang PAS Sarawak telah berjaya menyakinkan rakyat Sarawak agar sama-sama berjuang menegak keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sokongan rakyat terhadap PAS Sarawak tengah meningkat naik dan mereka yakin PAS bersama dengan PR dapat menawan hati rakyat yang berbilang bangsa di Sarawak.
Kami sekali lagi merayu kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dihormati dan kasihi, agar memikirkan semula hasrat Tuan Guru untuk berundur dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
Kita berdoa kepada Allah, semoga Tuan Guru Presiden sentiasa dalam kesihatan yang baik dan terus berjuang bersama menegakkan Negara kebajikan yang bercirikan Islam untuk semua.
Salam perjuangan dari PAS Sarawak
Berjuang kerana Allah
Jofri Jaraiee
YDP PAS Miri, merangkap Timbalan Pesuruhanjaya iii PAS Sarawak
template joomla
-Harakahdaily

Israel: Penjelasan Anwar

Israel: Penjelasan Anwar


Saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, 26hb Januari 2011. Antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.
Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.
Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Berikut adalah jawapan yang saya berikan:
“I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.”
Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.
Selain itu, pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.
Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan YB Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27hb September 2011 di New York (GENERAL DEBATE OF THE 66TH SESSION OF THE UNITED NATIONS GENERAL ASSEMBLY).
Beliau menyebut:
“..Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine).”
Ternyata dari kenyataan Menteri Luar Negara, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.
Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi.
Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
Pendirian Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh.
-Harakahdaily