Pages

Thursday, January 19, 2012

NFC: KETUA AUDIT SAHKAN GAGAL, TAK PERLU FIRMA AKAUN

UALA LUMPUR, 19 Jan: Jingga 13 membantah hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) seperti mana dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua kordinatornya, Fariz Musa berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2010 telah mengesahkan melalui pemeriksaan audit mengesahkan bahawa NFC adalah gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Katanya, Muhyiddin bukan sahaja turut terpalit dengan isu skandal NFC tersebut adalah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk mengumumkan sebarang hasrat atau tindakan kerajaan yang sudah pasti menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Penglibatan Tan Sri Muhyiddin adalah jelas dalam skandal NFC kerana beliau ketika itu sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan projek tersebut kepada syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, skandal NFC semakin memuncak dan pendedahan demi pendedahan telah dilakukan terhadap pelbagai isu yang melibatkan penyelewengan dan pecah amanah dilakukan oleh ahli keluarga Shahrizat yang kini dalam siasatan pihak polis dan SPRM .

Tambahnya, Jingga 13 mendesak agar diwujudkan dengan segera sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala dakwaan kepincangan dan penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan yang dijalankan oleh NFC.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja tersebut adalah mereka yang terdiri daripada yang benar-benar profesional dan berintegriti dalam menyiasat secara terperinci NFC yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM250 juta.

Katanya, Muhyiddin seolah-olah bertindak bagi tujuan untuk menutup pekung sebenar dengan hasrat melantik firma perakaunan tersebut.

“Beliau harus bertanggungjawab terhadap perlantikan syarikat ahli keluarga Shahrizat yang ternyata tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri perternakan lembu,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Fizik Adalah Konspirasi Yahudi



Sesungguhnya kita ini adalah masyarakat yang sukakan sesuatu yang mistik, misteri dan terutama sekali konspirasi.


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang budiman sekelian, moga-moga anda berada dalam keadaan yang sihat selalu.

Pastinya anda tertanya-tanya, mengapakah pada minggu ini Encik Zaidel telah memilih suatu tajuk yang begitu kontroversi, adakah dia ingin mengikut jejak langkah diva tersohor Azwan Ali dengan mencari publisiti sebanyak mungkin dan kemudian menangis di hadapan wartawan dengan akuan insaf setelah pulang dari Mekah mengerjakan umrah?
Oh pastinya tidak wahai para pembaca sekelian, sesungguhnya tajuk pada hari ini adalah penaakulan peribadi saya hasil pemerhatian yang telah saya lakukan terhadap masyarakat kita sejak dari zaman Bas Sri Jaya hinggalah ke era Rapid KL.
Sesungguhnya kita ini adalah masyarakat yang sukakan sesuatu yang mistik, misteri dan terutama sekali konspirasi. Sepanjang saya membesar di negara yang bertuah ini saya sentiasa dikelilingi dengan kisah-kisah konspirasi yang begitu menggamit angan-angan.
Dari kisah kononya air coca-cola diisi dengan air ‘holy water’ yang diimport khas dari Vatican, Neil Armstrong yang sebenarnya tidak pernah mendarat ke bulan hinggalah kepada “Muka macam saya, tapi tengok itu bukan perut saya, perut saya kempis, ini semua konspirasi, apa? Jam? Mana Jam? Jam pada isteri saya, apa nak suruh tunjuk? You dari mana ni, TV3? Utusan Malaysia? Ustaz Qardawi Syeikh Al Fadhil Tantawi kata saya tak payah tunjuk jam.”
Hatta kalau nak diikutkan hampir semua perkara di Malaysia ini mempunyai kisah konspirasinya tersendiri. Namun sedar atau tidak, selain dari Barisan Nasional, golongan yang seringkali dikaitkan sebagai watak utama dalam sesebuah kisah konspirasi ialah tidak lain dan tidak bukan golongan Yahudi.
Tanggung banyak dosa
Acap kali kita mendengar kuliah-kuliah dari penceramah agama tidak bertauliah, perbincangan hangat pemikir kedai kopi atau ahli falsafah yang juga pemandu teksi, sering mengaitkan hampir semua benda yang berlaku dengan konspirasi tersembunyi agenda Yahudi.
Antaranya dengan setiap kentang goreng yang anda makan dari restoran makanan segera itu bermakna anda telah mendermakan satu peluru untuk digunakan membunuh orang-orang Palestin ataupun dengan setiap cawan kopi mahal yang anda minum ketika berpacaran di tempat terbuka dan mengikut hukum syarak bersama gadis ‘Hijabster’ itu bermaksud anda baru sahaja mendermakan sebuah bom bagi membunuh kanak-kanak di timur tengah.
Bayangkan setiap kentang goreng rangup yang anda makan itu membunuh seorang rakyat Palestin, pastinya anda menanggung banyak dosa sekarang.
Kebiasaanya saya mengambil sikap acuh tak acuh dengan kenyataan sedemikian, memanglah sudah menjadi pengetahuan umum Israel mengawal dengan jari telunjuk mereka segala dasar Rumah Putih di Amerika Syarikat namun saya rasa konspirasi itu tidaklah sehebat menjalankan aktiviti melemahkan iman umat Islam melalui ayam goreng berempah yang melazatkan.
Namun hati saya terdetik sedikit apabila saya terbaca melalui satu komen di Facebook (media sosial ciptaan orang Yahudi) bahawa penyanyi dan pelakon itu adalah martabat manusia paling rendah sekali kerana mereka adalah hasil dari ciptaan budaya palsu Yahudi melalui Hollywood. Bagaiamana seseorang itu boleh melahirkan sesuatu kesimpulan yang sebergitu dangkal dan cetek tanpa berfikir panjang, adakah dengan kenyataan ini anda menyatakan bahawa P Ramlee juga adalah hasil dari pengaruh Yahudi?
Tatakala saya cuba menyedapkan hati saya dengan menyatakan bahawa ini adalah kesimpulan dari orang yang tidak berpelajaran terdetik hati saya mengingat kisah lampau ketika saya masih belajar, ketika mana golongan ‘mahasiswa’ menyuruh pelajar-pelajar lain memboikot barang-barang yang mempunyai pengaruh Yahudi sebagai tanda protes dan bantahan terhadap kekejaman terhadap orang-orang Palestin, malah ada yang begitu ekstrim sehingga menjatuhkan hukuman bahawa mereka yang menyukai muzik atau cerita barat kononya terperangkap dalam agenda budaya pengaruh Yahudi dalam melemahkan umat Islam.
Beza Yahudi dan Zionis
Saya fikir, sebelum masyarakat kita terus lagi memperbodohkan diri sendiri dengan angan-angan konspirasi yang tidak ada asasnya wajar kita memperlihatkan suatu perkara asas. Adakah kita sedar bahawa ada perbezaan antara Yahudi dan Zionis?
Yahudi adalah suatu bangsa yang mempunyai budaya, bahasa dan agamanya tersendiri manakala Zionis adalah gerakan dalam bangsa Yahudi yang mahu menubuhkan negara Israel di atas tanah Palestin.
Kita perlu faham perbezaan yang sangat ketara ini, sebagaimana bukan semua orang Jerman adalah mereka yang berpegang pada falsafah Nazi. Adalah amat penting untuk kita memahami konsep yang cukup mudah ini kerana kalaulah hendak sangat memboikot segala yang nampak sebagai mempunyai pengaruh Yahudi maka hendaklah kita juga mengatakan bahawa Fizik itu adalah palsu dan konpirasi Yahudi, mana tidaknya bukankah Albert Einstein itu seorang Yahudi?  Begitu juga Niels Bohr, jadi adakah sekarang kita akan mengatakan bahawa atom itu adalah satu konspirasi Yahudi juga?
Janganlah kira dengan mudahnya membuat kesimpulan yang sebegitu dangkal dan cetek, memang saya juga marah akan ketidakadilan, kekejaman dan pengusiran orang-orang Palestin dari tanah dan rumah mereka.
Malah agak aneh melihat apabila orang-orang Palestin disumbatkan kedalam perkampungan ‘ghetto’ dikelilingi dinding dan tentera bersenjata sama seperti yang Hitler lakukan kepada orang-orang Yahudi sewaktu zaman Nazi dahulu.
Namun itu tidak bererti untuk kita membuat kesalahan atau dengan mudahnya membuat kesimpulan yang tidak tepat. Dapat kita melihat dari segi politik, agama, budaya malah macam-macam lagi seringkali kita mengambil jalan mudah dengan menggunakan alasan menyalahkan suatu pihak yang langsung tiada kena mengena, barangkali pernah atau tidak terlintas di fikiran bahawa sebab mengapa kita sering menyalahkan sesuatu perkara itu atas dasar konspirasi adalah untuk menutup kelemahan sendiri, sekadar buat renungan.
Laporan- Zaidel Baharuddin