Pages

Wednesday, January 18, 2012

Dr Yunus Buktikan PAS Komponen Penting PR Selangor



KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS berharap Exco Selangor yang baru dilantik hari ini Dr. Ahmad Yunus Hairi bagi menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali memberikan komitmen yang baik terhadap portfolio yang dipegangnya iaitu Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dr. Yunus, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, PAS memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan peranan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya mengalu-alukan pelantikan beliau sebagai ahli exco baru kerajaan negeri Selangor mewakili PAS dan saya berharap beliau memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membuktikan bahawa PAS ialah komponen yang penting dalam Kerajaan Selangor.

"Beliau juga perlu mengekalkan harapan rakyat bahawa Pakatan Rakyat dapat mentadbir negeri Selangor dengan berkesan dan membawa perubahan-perubahan berbanding BN," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Adun Sijangkang itu selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) di hadapan Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi tadi.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan baru itu turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio iaitu Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang oleh beliau sendiri.

Khalid juga mengumumkan, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel) manakala Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat), kedua-dua jawatan itu sebelumnya disandang oleh Datuk Dr Hasan Ali.

Sementara itu, Kamarudin menambah, pelantikan Dr. Yunus itu berdasarkan kemampunan beliau sebagai pemimpin parti dan pencapaiannya di peringkat Dun yang dipegang.

"Pelantikan beliau ini sudah tentu dibuat setelah meneliti kemampuan beliau sebagai pemimpin parti dan juga Adun di Selangor," katanya.


Laporan- Hazayani Zakaria Harakahdaily