Pages

Monday, January 16, 2012

Sultan Kedah Puji Ostad Azizan laksana pembaharuan di Kedah


 
ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji pentadbiran negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan kemajuan pembangunan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.

“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam".

Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.         

Tuanku Abdul Halim bertitah, kerancakan aktiviti ekonomi ini menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat selain berharap taraf hidup rakyat dapat terus dipertingkat menerusi kemudahan prasarana yang menjadi asas kepada perkembangan aktiviti komersil seperti perumahan, perkilangan dan perkhidmatan.         

 “Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.         

Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.         

“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.         

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.         
“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.         

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan Menteri Besar supaya memastikan keadilan dapat terus dilaksana sebaik mungkin, selain setiap rakyat hendaklah diberi hak masing-masing tanpa mengira perbezaan anutan agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Laporan- Roslina Hashim

Nik Aziz: Berhentilah Malukan Anwar



Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa pemimpin politik dan media berhenti memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu melibatkan dakwaan salah laku seks kerana mahkamah sudah memutuskan ketua pembangkang tidak bersalah.

Ini kerana, menurut mursyidul am PAS, Anwar juga manusia biasa yang mempunyai perasaan malu setelah bertahun-tahun diasak dengan isu tersebut.

NONE"Anwar ini manusia, bukan batang kayu. Dia reti malu. Bertahun-tahun surat khabar malukan dia. Orang (yang malukan) ini berdosa, kerana mencabul maruah tadilah... Dia berdosa.

"Tahu-tahu (keputusannya) terbalik sekelip mata... Orang yang memalukan itu dia pula dimalukan sekarang," kata Nik Aziz (atas) yang juga menteri besar Kelantan.

Anwar pada 9 Januari lalu dibebaskan dari tuduhan meliwat bekas pembantunya pada 2008 kerana hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti kukuh yang menyokong keterangan pengadu.

Bermula kelmarin, beliau diasak dengan isu baru apabila dilaporkan memberikan jawapan kontroversi terhadap soalan sama ada beliau bersedia menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay".

Dalam wawancara dengan BBC pada Khamis, yang dipetik semula beberapa media tempatan, Anwar dilapor berkata: "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

Ketika diwawancara Malaysiakini di kediaman rasminya di Kota Baharu pada Khamis, Nik Aziz menggesa pihak terlibat bermuhasabah kerana tindakan memalukan orang bukan sikap seorang pejuang Islam.

"Saya kata, biarlah orang ini bermuhasabah. Kita nak menentang lagi kesian pada dia... Orang rebah. Diam sekejap, bermuhasabah. Buat dosa tak pasal-pasal di akhirat Anwar Ibrahim pula
jadi jutawan kerana pahala orang itu diberi kepada dia.

"Dosa Anwar pula naik kepada dia. Jadi sekarang ini saya minta orang-orang yang memalukan Anwar Ibrahim, berhenti. Perjuangan Islam tak payah memalukan orang," katanya.

Nik Aziz juga menegaskan bahawa dalam Islam, maruah antara lima perkara yang wajib dipertahankan dalam Islam selain agama, nyawa, akal dan harta benda.

Sementara itu, mengulas peluang PAS mempertahankan Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang, Nik Aziz berkata, beliau yakin parti itu akan memang besar sekiranya pilihan raya berlangsung dengan bebas dan adil.

"Kalau demokrasi dijaga dengan baik, tidak rasuah, tidak ugut, tidak (guna) ISA, tiada sebab rakyat tak undi Islam. Cina sekarang ada kelab penyokong PAS. Saya pun tak terfikir Cina ada kelab penyokong PAS sedangkan PAS dimomok-momokkan, difobiakan," katanya.

Mengulas perkembangan tidak sihat itu dengan memberi contoh, Nik Aziz mendakwa, beliau difahamkan seorang wakil rakyat daripada negeri itu bahawa terdapat sebuah rumah di Kelantan yang terdapat 13 pengundi "Melayu Thailand" didaftarkan di alamat itu.

"Mana boleh terima 13 orang duduk satu rumah. Umno ini, orang Melayu dah tak percaya dah, maka dia ambil orang lain.

"Kalau Melayu sendiri dah tak percaya pada Umno, berhentilah. Tapi dia ambil orang lain pula. Bangladesh pun ada ambil," dakwa anggota dewan undangan negeri Chempaka itu.

Ditanya tentang perkembangan baru apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, bagi Nik Aziz, yang lebih penting adalah membersihkan daftar pemilih.

"Dakwat ini perkara yang kedua, (dan) ketiga, Perkara pertama bagi saya ialah senarai pengundi. Senarai pengundi, saya dengar banyak (aduan)," katanya.


Laporan- malaysiaKini

Penuntut USM ditahan kerana ugut letupkan PM di Facebook



GEORGE TOWN, 15 Jan — Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini ditahan kerana didakwa membuat ancaman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak dengan bahan letupan, lapor akhbar tempatan di sini.


Menurut Star Online, satu laporan polis dibuat terhadap ancaman itu itu di balai polis Jelutong, yang ditampilkan dalam sebuah blog menunjukkan paparan Facebook penuntut berkenaan.


Dalam satu mesej yang ditulis, penuntut itu dikatakan menulis rancangan meletakkan bahan letupan di dalam helikopter yang akan membawa perdana menteri dalams satu lawatan rasmi di universiti itu minggu depan.
Akhbar harian itu berkata penuntut itu mengatakan “najib akan datang ke kampus kita...mari letupkan helikoppternya...”


Berita penahanan penuntut itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob, menambah mklumat lanjut akan diberitahu esok, kata Bernama Online.


Star Online memetik Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, ACP Gan Kong Meng berkata penuntut berusia 24 tahun itu dibawa ke ibu pejabat polis daerah untuk soal siasat kira-kira 1.30 petang.


“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Jenayah kerana ugutan jenayah. Dia terlebih dahulu ditahan di kampusnya di Nibong Tebal.


“Kes ini akan disiasat. Kami akan mengumumkan jika terdapat sebarang perkembangan,” kata Gan.

Laporan- TMI