Pages

Friday, January 13, 2012

Malaysia Diambang Jadi Pengeluar Kondom Utama Dunia


NEW DELHI - Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

MREPC berkata Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia, yang dengan mudah melepasi paras satu bilion.

"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew kepada Bernama.

Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

Pengeluar utama Asia - Thailand, China, India, Jepun dan Malaysia - terus membanjiri pasaran global dengan jumlah lebih 10 bilion keping, yang dijual di dalam pelbagai warna, walau pun di negara yang konservatif seperti India.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggalakkan pengguna kondom berikutan kesedaran terhadap kesihatan.

Di China, lebih dua bilion kondom dijual, di Jepun terjual 580 juta setahun manakala pengeluaran India telah melepasi satu bilion keping.

"Kondom Malaysia mendapat permintaan yang baik dan kompetitif. Kami kini banyak membekalkan kepada program PBB. Kita menjangka pertumbuhan yang baik bagi kesemua produk lateks kita tahun ini, yang termasuk kondom," kata Low.

Pengeluar kondom bergantung kepada getah asli kerana lebih 90 peratus daripada sarung kontraseptif itu dibuat menggunakan lateks manakala usus
biri-biri adalah satu lagi bahan yang digunakan di dalam industri itu.

Kondom getah yang pertama dikeluarkan pada 1855, yang mempunyai ketebalan tiub dalam tayar basikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikannya lebih murah, ringan nipis dan berpelincir.

Laporan-Hsinar

Hattan Sah Bercerai Talak Satu




PETALING JAYA: Penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar, Hattan dan isterinya, Farah Asyikin Othman disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah pada Khamis.

Akhbar Sinar Harian melaporkan, Hattan, 48, melafazkan cerai terhadap Farah di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli sekitar pukul 11.30 pagi.

Penyanyi berkenaan hadir bersama pasangannya untuk menfailkan perceraian dan memohon dibicarakan pada hari sama.

Akhbar itu turut melaporkan, penceraian itu berlangsung dengan baik dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Hattan dan Farah Asyikin, 34, baru dua bulan mendirikan rumah tangga selepas disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti.

Majlis berkenaan diadakan secara tertutup tetapi meriah dengan kehadiran hampir 100 ahli keluarga terdekat dan teman rapat termasuk Datuk M Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai.

Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin.

Laporan-mstaronline

Hasan Ali digugur dari jawatan exco Kerajaan Selangor



Sultan Selangor setuju

Sultan Selangor hari ini bersetuju untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali - yang telah dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu - daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap baginda di Istana Kayangan di Shah Alam pagi ini.

"Memandangkan Datuk Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan telah menasihati DYMM Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.

"DYMM Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan YB Datuk Dr Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," kata menteri besar dalam satu sidang media selepas mengadap Sultan Selangor pagi tadi.

Pada masa yang sama, katanya, sultan telah menurunkan kuasanya kepada beliau untuk melantik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru.

"Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak-pihak," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Khalid, pelantikan exco baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada hari Rabu minggu depan.

Laporan- malaysiaKini

[Berita lanjut menyusul]