Pages

Saturday, January 7, 2012

901 : Ahli PAS diarah patuhi persetujuan polis dan PKR



KUALA LUMPUR, 7 Jan: PAS mengarahkan ahli dan penyokong  agar mematuhi segala perjanjian yang telah dipersetujui bersama antara pihak penganjur dan polis ketika menyertai perhimpunan 901 esok.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, mereka perlu mematuhi semua arahan itu untuk mempastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar.

"Saya meminta semua ahli dan penyokong PAS yang menyertai perhimpunan esok agar mematuhi segala persetujuan yang telah dicapai antara Azmin (Ali) dengan polis semalam," katanya kepada Harakahdaily.

Azmin, Timbalan Presiden PKR, menemui polis semalam bagi membincangkan permohonan pihaknya untuk mengadakan perhimpunan bagi memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Mahkamah dijangka akan menjatuhkan hukuman kepada Anwar esok dalam pertuduhan liwat ke atas bekas pembantunya, Saiful Bukhari.

Pihak polis telah menyatakan persetujuan untuk memberikan kebenaran mengadakan perhimpunan tersebut berdasarkan akta perhimpunan awam yang baru diluluskan Parlimen.

Polis membenarkan peserta perhimpunan berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Polis telah menetap syarat untuk mempastikan perhimpunan itu berjalan termasuk perhimpunan hanya boleh dibuat di padang kereta itu sahaja.

Jika padang itu sudah penuh, mereka yang selebihnya hendaklah bersurai dari kawasan mahkamah.

Mereka juga dikehendaki jangan sesekali mengganggu persidangan mahkamah dan hendaklah bersurai sejam selepas mahkamah membuat keputusan.

Azmin dalam sidang mediannya berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa usul yang mana ia diadakan secara aman di kawasan tempat letak kereta di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

"Dalam usaha memastikan segalanya teratur, pihak penganjur (PKR) telah menyediakan 500 orang marshal pada hari tersebut yang lengkap beruniform dan dilatih untuk mengawal perhimpunan demi menjamin kelicinan perjalanan perhimpunan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Azmin juga menyatakan perhimpunan itu akan bermula seawal jam 7 pagi dan orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat-tempat letak kereta di kawasan lapang berhampiran Bangunan Matrade.

"Oleh kerana ini perhimpunan aman yang dibantu oleh pihak polis, tidak akan ada sebarang sekatan jalan raya yang akan menghuru-harakan keadaan dan tujuan menyekat orang ramai dari hadir, malah polis bersetuju menjaga traffik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas," tambahnya lagi.


Laporan- Harakahdaily

Kenyataan Hasan Ali menghina Presiden PAS, kata Mahfuz Omar



KUALA LUMPUR, 7 Jan — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Dr Hasan Ali telah menghina presiden parti Islam itu kerana mengeluarkan kenyataan “melawan arus” yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

Menurut Mahfuz, kenyataan Dr Hasan (gambar) yang menolak perhimpunan 901 pada Isnin ini dan menyifatkan ia sebagai perbuatan sia-sia telah menjatuhkan imej dan maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi parti selain disanjung tinggi oleh pemimpin luar negara.


Bagi saya beliau (Dr Hasan) menghina presiden PAS...presiden telah mengatakan akan hadir sama dalam perhimpunan itu namun Dr Hasan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu adalah perkara yang sia-sia.

“Beliau juga mengatakan pergi ke mahkamah adalah perbuatan yang sia-sia, ini adalah satu penghinaan kepada presiden PAS dan satu perkara yang amat memilukan apabila seorang presiden dihina oleh seorang pemimpin yang kononnya menyanjung tinggi ulama namun tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang menghina presiden sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini berkata menolak perhimpunan 901 an menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dr Hasan berkata semua pihak termasuk pemimpin yang terlibat harus memikirkan sedalam-dalamnya perkara itu kerana ia memberikan kesan bukan sahaja kepada negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hasan berkata perbicaraan itu telah berlangsung lebih tiga tahun dan Anwar telah diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya oleh mahkamah.

Semalam Abdul Hadi berkata akan menyertai perhimpunan 901 menambah ”untuk ahli PAS pula terserah kepada masing-masing.”

Ekoran kenyataan Dr Hasan itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendesak PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap exco kerajaan negeri Selangor itu.

Azmin berkata kenyataan Dr Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan kemungkinan besar isu Dr Hasan akan dibangkitkan.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS akan memanggil Dr Hasan untuk memberikan penjelasan dan tindakan akan diambil dengan mengikut perlembagaan parti.

Beliau menambah tindakan yang akan diambil PAS bukan disebabkan pengaruh atau desakan sesiapa.

“Tindakan PAS tidak berasaskan kepada apa orang cakap, kita buat tindakan mengikut bidang kuasa kita...tindakan ini bukan disebabkan Azmin Ali atau pemimpin lain.

“Begitu juga semasa pertemuan presiden dengan Dr Hasan Ali sebelum ini, ia bukan disuruh oleh sesiapa tetapi adalah tindakan PAS sendiri...kita mempunyai prosedur dan pendirian sendiri,” katanya.
Mahfuz berkata sebarang bentuk hukuman akan diputuskan oleh kepimpinan PAS.

“Apa yang berlaku ini sangat mendukacitakan...ahli merungut dan kecewa dengan tindakan Dr Hasan Ali yang telah merosakkan suasana dalam parti,” katanya.

Laporan- Syed Mu’az Syed Putra

India Keluarkan Supercar Pertama



DC Avanti Supercar pertama India
NEW DELHI - Firma reka bentuk, DC Design memperkenalkan jentera supercar pertama India yang diberi nama DC Avanti.
Jentera tersebut dilancarkan oleh pelakon terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan pada Ekspo Motor Delhi 2012 kelmarin.
Kereta itu dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 kuasa kuda.
Menurut laman kenderaan RushLane di Internet semalam, enjin daripada Ford Ecoboost yang ditala khas untuk menjana lebih kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.
Dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, kelajuan maksimum yang dihadkan secara mampu dicapai oleh DC Avanti ialah 250 kilometer sejam (km/j).
Jentera itu akan mula dijual pada tahun 2013 di semua pengedar DC di seluruh India.
Bakal diproduksi pada tahun 2013, ia merupakan ciptaan pereka Dilip Chhabria.
Kereta itu dijual pada harga kira-kira AS$70,000 (RM220,219).
"Kami sangat teruja untuk memperkenalkan DC Avanti pada hari ini. DC Avanti bukan sekadar menjadi manifestasi kepada minat yang mendalam terhadap kereta sport.
"Malah ia membuktikan kemampuan kami yang kini sudah bergerak daripada penggayaan kepada penghasilan prototaip penuh," katanya.
DC dilihat mengikut langkah banyak firma reka bentuk Itali misalnya Bertone, Ghia, Pininfarina dan Stola yang turut menghasilkan kereta edisi terhad masing-masing untuk dijual kepada pasaran umum.
Tempahan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat akan dibuka sebaik sahaja ekspo itu berakhir. Penghantarannya dijadual bermula suku terakhir 2013. 
Laporan- Agensi