Pages

Thursday, January 5, 2012

Nik Aziz Nasihat Apex Cepat Kahwin


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.

“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin, ia lebih selamat untuk menjaga masuah.

“Khairul Fahmi merupakan penjaga gol terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.

“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Soal jodoh ni kena tengok 'rezeki' la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.

Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu.

Katanya, Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.

“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.

Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman web terkenal dunia, Goal.Com.


Laporan- Norhasram Mohamad

Mat Motor Kunjungi Nik Aziz



Oleh Azha Nyzam   


KOTA BHARU, 5 Jan: 20 ahli kelab motor dari Kuala Lumpur, Terengganu, Selangor dan Kelantan berkunjung ke rumah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz  baru-baru ini.
(Wakil kelab menyampaikan cenderamata kepada Tuan Guru Nik Aziz)

Selain itu, mereka juga mengunjungi  Rumah Puteri Harapan, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim (YAATIM) Kelantan yang terletak di  Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa.

Kesemua mereka adalah dari Kelab RD Malaysia (RD CLUB Malaysia) dengan kerjasama Kelab Pencinta Dua Roda Malaysia dan Kelab Pemilik Motorsikal Yamaha Lagenda Malaysia Cawangan Kelantan (Mylamoc).

Konvoi ini dimulakan dengan majlis makan tengahari di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, Kg Sirih, Kota Bahru diikuti solat Zuhur berjemaah.

Lokasi pertama konvoi ialah ke Rumah Puteri Harapan, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim (YAATIM) Kelantan yang terletak di  Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa.

Walaupun hujan lebat namun itu tidak mematahkan semangat peserta konvoi berkunjung ke rumah anak yatim tersebut yang menempatkan seramai 200 anak yatim lelaki dan perempuan.

Kehadiran konvoi amal ini  telah disambut meriah oleh Hj Mohamad bin Yaakob, Setiausaha YAATIM. Konvoi tersebut turut membawa sedikit sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur agar dapat membantu pihak pengurusan.

Malah sessi ramah mesra antara peserta konvoi dengan anak-anak yatim itu dapat mengurangkan rasa sedih dan menceriakan anak-anak yatim tersebut serta memberi harapan baru bahawa masih ada yang mengambil berat tentang mereka.
(Gambar sebelah: Sebahagian anggota ekspedisi bergambar di rumah YAATIM.)

Menurut Pengerusi Kelab RD Malaysia Cawangan Kelantan, Nik Ahmad Hishamudin berkata, konvoi ini diadakan atas kesedaran bagi menghargai dan mengambil berat anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.

Beliau berhasrat mengadakan lebih banyak aktiviti dan program di rumah anak yatim ini di masa hadapan seperti pameran motorsikal, kempen keselamatan jalan raya, ceramah motovasi dan penerangan tentang aspek-aspek mengendalikan motorsikal yang selamat agar menjadi ilmu yang berguna bagi anak-anak yatim ini di masa hadapan.

Menurut beliau lagi, bersempena konvoi ini, para peserta turut mengadakan kutipan derma kilat bagi membeli barangan keperluan dapur untuk disumbangkan ke rumah anak yatim tersebut.

Selepas itu, konvoi bergegas ke Pulau Melaka bagi menunaikan solat Asar bersama-sama Menteri Besar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Peserta konvoi juga berkesempatan beramah mesra dengan beliau dimana beliau turut memberikan nasihat agar berhati-hati menunggang motorsikal dan jangan lupa berhenti untuk bersolat ketika konvoi.


Gaji PM Singapura RM5.31 juta Setahun



SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerima saranan sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh pemerintah bagi mengurangkan gajinya, para menteri Kabinet dan Presiden negara berkenaan.
Saranan tersebut melibatkan pemotongan sekurang-kurangnya satu pertiga gaji menteri-menterinya yang berjumlah jutaan dolar, menurut dokumen tangga gaji baharu semalam.
Walaupun pemotongan tersebut dibuat, menteri di Singapura kekal antara menteri yang menerima gaji termahal di dunia.
Pemotongan gaji itu pernah dijanjikan oleh Hsien Loong bagi meredakan kemarahan rakyat selepas pilihan raya umum 2011 berlangsung.
Hsien Loong sendiri akan menerima gaji berjumlah AS$1.69 juta (RM5.31 juta) setahun iaitu pengurangan sebanyak 36 peratus berbanding sebelumnya.
Jumlah tersebut bagaimanapun kekal menjadi gaji tertinggi dalam kalangan pemerintah sesebuah negara di dunia.
Sebagai perbandingan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima gaji AS$400,000 (RM1.25 juta) setahun.
Obama merupakan Presiden yang mempunyai 312 juta penduduk dan merupakan negara paling kuat berdasarkan kekuatan ketenteraan dan ekonomi.
Gaji Presiden Singapura pula akan dipotong sehingga 51 peratus kepada Sg$1.54 juta (RM3.76 juta) setahun manakala menteri Kabinet yang baharu dilantik akan menerima separuh gaji Perdana Menteri.


Gaji menteri pemerintah akan dikurangkan sebanya37 peratus setahun kepada SG$1.1 juta (RM2.68 juta).
Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang menerima gaji AS$543,500 (RM1.7 juta), Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda sebanyak AS$513,000 (RM1.6 juta) dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard memperoleh gaji AS$379,000 (RM1.19 juta).
Gaji Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy ialah AS$302,000 (RM949,185), Canselor Jerman, Angela Merkel mendapat gaji AS$296,000 (RM930,327) dan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang memperoleh gaji AS$222,000 (RM697,745).
Gaji para pemimpin Singapura melonjak dalam tahun 1990-an apabila ia menjadikan purata gaji tertinggi sektor swasta di pulau itu sebagai tanda aras.
Langkah pemotongan gaji tersebut membayangkan tekanan yang dihadapi parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
PAP yang memerintah Singapura sejak negara itu berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965 mencatat prestasi buruk pada pilihan raya 2011.
Undi yang diterima PAP semasa pilihan berkenaan berkurangan sebanyak 60 peratus sekali gus bilangan undi terendah yang pernah dicatat parti pemerintah itu.
Laporan- Agensi