Pages

Wednesday, January 4, 2012

NFC: Suami Shahrizat didakwa rasuah SPRM, polis



PETALING JAYA 4 Dis : Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.
Mohamad Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil,  merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, merujuk tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail, 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.
Bagaimanapun wang berkenaan, kata Rafizi, digunakan Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.
“Tugasan Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai tersebut,” kata Rafizi.
Merujuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Rafizi,undang-undang jelas menunjukkan Salleh melalui Shamsulbahrin telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM.
“Undang-undang SPRM jelas menunjukkan dalam kes ini, Datuk Seri Salleh Ismail melalui Datuk Shamsubahrin Ismail cuba merasuah pegawai SPRM dan PDRM dalam kes NFC bagi perkara berikut:
“Pertama, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta.
“Kedua, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memujuk pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Laporan- Nabihah Hamid

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25088

Kereta Mesra Alam Serba Boleh

KERETA yang dihasilkan uintuk pertandingan anjuran syarikat Volkswagen.

BEIJING: Seorang pencipta China menghasilkan rekaan baru sebuah kereta yang menakjubkan, yang boleh bergerak di atas jalan tar, pasir, ais dan juga air.

Kenderaan itu yang mempunyai kelajuan maksimum 92 kilometer sejam dan beroperasi seperti hoverkraf, boleh bergerak antara permukaan itu tanpa gangguan.

Yuhan Zhang, 21, menghasilkan kereta yang diberi nama Volskwagen Aqua untuk menyertai pertandingan anjuran syarikat pembuat kereta Jerman itu.Ia dilengkapi dengan empat kipas dan digabungkan dengan dua beg angin yang boleh menggelembung untuk membolehkannya bergerak seperti hoverkraf.

Ia juga mesra alam kerana kedua-dua motornya menggunakan kuasa hidrogen tanpa mengeluarkan sebarang karbon.

Satu daripada motor itu menggelembungkan ‘skirt’ di sekeliling kenderaan itu untuk membolehkannya terapung sementara satu lagi memacunya ke depan dan mengawal arah.



“Tidak ada pengangkutan yang lebih baik daripada kenderaan kusyen udara kerana ia boleh bergerak dengan baik di darat, ais dan air.

“Saya berharap Aqua satu hari nanti akan menjadi kereta super yang mampu dimiliki oleh orang awam,” kata Zhang.


Peserta pertandingan berkenaan dikehendaki menghasilkan sebuah kenderaan yang boleh digunakan di luar jalan raya.

Laporan- Agensi

Nasib Umno ibarat ‘Telur di hujung Tanduk’



Strategi untuk menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan negara.

PETALING JAYA: Dalam suasana rakyat Malaysia menyambut ketibaan tahun baru dengan semangat kesetiakawanan dan perpaduan pelbagai kaum, Umno-Barisan Nasional (BN) terus dengan sifat angkuh mereka dan beranggapan rakyat mudah diperbodohkan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterdesakan Umno-BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi.
“Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah Mansor serta pada keseluruhan parti usang Umno-BN.
“Umum mengetahui bahawa strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan Umno-BN dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan negara,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

RPK tabur fitnah lagi
Menurut Saifuddin, terbaru sekali adalah kepolokkan Utusan Malaysia dan Berita Harian, media pembohong milik Umno yang cukup pantas memetik dan memperbesar kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) tentang fitnah dan tohmahan kes salah laku seks terhadap Anwar di muka hadapan akhbar masing-masing.
“Umum tidak harus lupa bahawa RPK yang kini semakin diketahui sebagai ‘blogger upahan Umno’ juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibuu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini,” katanya.
Fitnah pertuduhan liwat yang selama ini menjadi ancaman kepada Najib dan Rosmah bakal diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanggal 9 Januari 2012 ini.
Ujar Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, “terdesaknya Umno adalah apabila belum apa-apa, hasrat rakyat kebanyakan untuk keluar memberi sokongan kepada Anwar terus dianggap sebagai cubaan mencetuskan huru-hara.
“Harus ditekankan bahawa Anwar merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR,” tegasnya.
Sebagai seorang pemimpin politik katanya, tentunya Anwar mempunyai pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota PKR dan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara.
Umno cetus provokasi
Tegas beliau, “dari nada pimpinan Umno dan media milik Umno berhubung perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa Umno sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut.
“Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong PKR untuk berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap Umno-BN yang ingin menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita,” katanya.
Katanya lagi, nyata keterdesakan Umno-BN untuk terus mengekang dan memadam kebangkitan rakyat telah menjangkau ke tahap kritikal. Umno-BN kini umpama ‘telur di hujung tanduk’.
“Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa Umno-BN telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memimpin negara dan membela nasib mereka.
“Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan Umo-BN yang telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya,” tambah beliau.
Laporan- FMT