Pages

Friday, November 30, 2012

Bisnes lingkup dalam tempoh setahun!




Ada juga dikalangan kawan yang saya jumpa percaya mereka tidak layak dan tidak sesuai jadi usahawan. Kini mereka selesa dengan makan gaji dan melihat rakan-rakan lain yang berjaya sebagai usahawan dengan satu kepercayaan bahawa rakan mereka tersebut punyai bakat berniaga.

Hampir kesemua yang kini percaya mereka tidak boleh menjadi usahawan pernah berhenti kerja samada secara sukarela atau terpaksa dan menjalankan perniagaan. Malangnya perniagaan lingkup dan kehidupan mereka tersiksa yang mana akhirnya terpaksa masuk semula kerja makan gaji.

Phobia dari pengalaman gagal dan hangus kesemua wang simpanan ketika menjalankan perniagaan membuatkan mereka nekad untuk terus makan gaji sampai pencen. Mereka yakin menjadi usahawan bukanlah kemampuan yang mereka ada. Walaupun pada hakikatnya mereka ingin benar menyara hidup dengan berniaga.

Semalam saya berjumpa lagi seorang rakan lama yang sama-sama kerja di sebuah kilang multinasional suatu masa dahulu. Dia kagum bila mengetahui saya berjaya menjadi usahawan sejak berhenti kerja dulu sampailah sekarang. Apa lagi bila diketahuinya perniagaan saya agak besar dengan kakitangan yang ramai.

Dalam perbualan tersebut dia menceritakan bagaimana dia pernah berusaha berniaga setelah mengambil skim henti kerja secara sukarela dengan mendapat sedikit pampasan. Habis duit pampasannya dan perniagaan hancur lebur menjadi abu dan akhirnya dia bekerja makan gaji semula.

Saya sudah agak kenapa dia jadi begitu dan pengakuannya menyakinkan lagi perbezaan saya dengan mereka. Bila ditanya apa yang dia sering fikirkan ketika berniaga dahulu, jawapannya sudah boleh diteka:

  • Bolehkan aku dapat pelanggan?
  • Bolehkah aku sara anak bini dengan bisnes aku ini?
  • Bolehkah aku bertahan dengan bisnes ini?
  • Kalau tak ada orang mahu beli produk aku macam mana aku nak sara hidup?
  • Bolehkah aku untung dengan perniagaan ini?
  • Bagaimana jika kesemua usaha aku gagal?
  • Bagaimana kalau aku tak ada duit nak bayar gaji dan sewa dan lain-lain?
Ringkasnya kesemua atau hampir kesemua yang difikirkannya adalah kegagalan belaka. Jarang sekali dia fikirkan kejayaan dan bayangkan bagaimana keadaan dirinya jika berjaya nanti. Pemikiran sebegitu akhirnya hanya akan membawa apa yang ditakutkannya menjadi kenyataan.

"Apa yang kita fikirkan, itulah yang akan berlaku...!"

Ketika berhenti kerja dan mula berniaga dulu, tidak ada perkara lain yang saya fikirkan melainkan kejayaan sahaja. Saya sentiasa terbayang berjaya mendapatkan pelanggan pertama, kedua dan seterusnya. Saya juga bayangkan bagaimana perniagaan saya membesar dan lain-lain lagi. Tak terfikir pulak sudut negatif seperti gagal dan sebagainya.

Jadi pada para usahawan dan bakal usahawan atau sesiapa saja anda samada makan gaji atau tidak. Fokuskan pemikiran pada kejayaan serta apa yang anda mahu sahaja dan lupakan terus apa yang anda tidak mahu. Insyallah anda akan dapat apa yang anda mahukan.sumber

Thursday, November 29, 2012

Baca ini untuk faham mainan duit!



Soalan: Anda ada RM1 juta lebihan hasil pemberian daripada Sultan Brunei yang kagum dengan kebaikan atau sumbangan anda pada negaranya. Dalam masa yang sama anda telah lama idamkan kereta Audi A4 berwarna hitam dan mahu membelinya dengan menggunakan wang anugerah itu. Bagimana anda uruskan pembelian tersebut ?

Jika anda tidak faham permainan wang:
Ambil duit dari RM1 juta itu lalu beli sebuah Audi A4 idaman anda. Selesai dan anda tersenyum lebar kepuasan. Anda cuma hilang dalam lingkungan RM300 ke RM400 ribu sahaja dan masih ada lagi RM600 ribu.


Jika anda faham permainan wang:
Letakkan RM1 juta ke dalam tabung haji. Anda bakal menerima dalam lingkungan RM60,000 setahun yang bersamaan dengan RM5,000 sebulan. Duit itu anda gunakan untuk menyara ansuran kereta anda yang mungkin sebanyak RM3 atau RM4 ribu sebulan dan selebihnya sebagai kos selenggara kereta tersebut.

Yang paling best sekali adalah RM1 juta anda sedikitpun tak akan luak!!!

Begitulah mainan duit jika anda faham ia hanyalah sekadar alat yang digunakan untuk merealisasikan apa yang anda mahu. Namun perlu diingat bahawa anda juga boleh dapatkan apa yang diidamkan dengan cara lain tanpa menggunakan wang atau bank.

Contohnya gunakan wang tersebut sebagai modal membina syarikat yang boleh menjana pendapatan pada anda RM25 ribu sebulan. Dengan cara itu, anda dapat wang, dan syarikat membeli Audi A4 untuk kegunaan anda. Pilihlah mana satu yang bersesuaian dengan diri anda!sumber

Wednesday, November 28, 2012

Usahawan yang risau perlu lihat burung!



Ramai yang cakap termasuklah saya sendiri, jangan fikirkan perkara negatif jika ingin berjaya. Sebagai usahawan kita perlu sentiasa fikirkan kejayaan dan lupakan terus fikiran tentang kegagalan. Cakap memang senang!, hakikatnya bukan semudah itu nak kawal pemikiran.

Memang tidak dinafikan, setiap usahawan yang ambil risiko berhenti kerja untuk memulakan perniagaan sudah tentu akan terfikirkan kegagalan. Takut tak mampu mendapatkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Lebih penting sekali, takut tak dapat membawa pulang rezki pada anak bini di rumah.

Terus terang, perasaan takut sentiasa wujud dalam fikiran ketika mula-mula berniaga. Kerja dah tak ada, tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk memberikan gaji melainkan atas usaha diri kita sendiri. Apa yang saya buat setiap kali timbul perasaan takut tersebut adalah:

  • Cuba melupakannya dengan menyibukkan diri
  • Kalau tak boleh juga lupa, cari kawan buat teman bersembang
  • Segera ke Masjid jika sudah masuk waktu solat. Peluang untuk berdoa panjang dan mintalah pada Dia yang memberikan rezki.
  • Cari alasan 'kenapa aku tidak perlu risau'. Lagi banyak lagi bagus dan biasanya sudah pasti ada saja alasannya.
Pengalaman saya masa mula dulu mungkin dapat dijadikan semangat pada para usahawan dan juga bakal usahawan. Juga sepatutnya kepada semua orang yang mahu berjaya tak kira samada makan gaji atau berniaga.

Pengalaman saya
Ada sekali saya merasa agak panik. Satu hari suntuk dah habis, usaha nampak macam tak ada hasil. Kerja dah tiada, usaha cari pelanggan nampaknya tidak semudah yang dibayangkan. Masa berjalan pantas dan terlintas dalam hati "betulkah apa yang aku lakukan ini...?".

Bermacam-macam perasaan mula menerjah masuk dalam hati. Kepala ligat berfikir sambil saya memandu. Waktu dah masuk magrib lalu saya singgah di Masjid Seksyen 19 Shah alam untuk solat.

Selesai solat dan berdoa panjang. Saya perlahan-lahan jalan keluar menuju ke tempat kasut. Malam itu ada kuliah magrib di masjid tersebut. Rasa ingin nak dengar tapi tak dapat sebab ada urusan lain. Saya sengaja perlahankan pergerakan agar dapat mendengar sedikit daripada mukadimah kuliah.

Lalu terdengarlah hadith ini:

Dari Umar Al-Khattab, beliau mendengar Nabi bersabda " Apabila kamu suka bertawakkal pada Allah dengan sungguh-sungguh tawakkal, percayalah! Allah akan berikan kamu rezki sebagaimana Allah berikan rezki pada burung-burung. Pagi-pagi perut burung-burung itu kosong, petang-petang mereka pulang dengan perut kenyang ". Direkodkan oleh Tarmizi

Saya mendengar penceramah sampaikan hadith tersebut seolah-olah pada diri saya seorang yang sedang berada di luar masjid sedang memakai kasut.

Sedangkan burung yang tidak dikurniakan akal setiap pagi keluar dan pulang petangnya dengan perut kenyang, malah masih ada untuk keluarganya juga di dalam sarang, kenapa manusia yang ada akal itu perlu risau?

Semangat timbul semula dalam diri dan keyakinan menjalar ke seluruh urat darah saya pada waktu magrib itu. Hilang segala kerisauan dan saya yakin bahawa tugas saya hanyalah berusaha sebaik mungkin lalu bertawakkal, nescaya ada rezki untuk saya bawa pulang bila tiba masanya.

Jika anda rasa risau, cuba pergi ke taman dan dongak lihat burung-burung yang sedang mencari makan. Mereka tidak risau malah bersiul-siul dengan girang. Mereka tidak ada akal macam kita, tapi tetap ada rezki, kenapa kita yang berakal ini pula perlu risau?sumber

Tuesday, November 27, 2012

Elak perniagaan lingkup sebelum genap setahun!



Samada suka atau tidak, percaya atau tidak, tahu atau tidak,...fakta sebenar dunia perniagaan menyaksikan:
  • Hanya 10 dari 100 perniagaan yang bermula selamat pada tahun pertama. Selebihnya yang 90 perniagaan lagi hanyut tinggal kenangan yang melekat di kepala tuan punya perniagaan.
  • Bagi yang berjaya melepasi tempoh tahun pertama pula menyaksikan hanya 10 dari 100 berjaya menyambut ulang tahun perniagaannya yang ke 5.
Mahukah jika saya perturunkan pada anda bagaimana kita dapat tahu bahawa perniagaan yang baru kita mulakan akan berkubur sebelum sempat genap satu tahun? Kalau anda sedang dan baru mula berniaga tentu teringin nak tahu, kan! kan! kan!...?

Anda akan berjaya menggulung tikar perniagaan anda dalam tempoh setahun pertama perniagaan jika:
  • Tak nampak ke mana tujuan perniagaan anda.
  • Tak nampak dan tidak dapat bayangkan bagaimana rupa perniagaan anda apabila berjaya mencapai sasarannya.
  • Kalau dah tak nampak sudah tentu anda lansung tak ada idea bagaimana anda boleh pastikan perniagaan akan sampai ke sana.
Bila kesemua yang disebutkan di atas tidak ada, tidak hairanlah anda hanya akan memikirkan kegagalan dan perkara yang negatif sahaja. Sila baca tulisan saya sebelum ini tentang Bisnes lingkup dalam tempoh setahun.

Bagaimana mengelakkan perkara ini terjadi?

  1. Pastikan anda nampak ke mana perniagaan yang anda sedang jalankan. Lebih jelas lebih bagus.
  2. Pastikan anda yakin ada jalan untuk sampai ke sana. Sekurang-kurangnya anda masih boleh mencari dan bertanya pada mereka yang lebih berpengalaman. Anda perlu ingat ada banyak jalan dan pilihlah jalan yang bersesuaian dengan cara anda.
  3. Sentiasa bayangkan bagaimana perasaan anda bila anda telah sampai di sana.
  4. Sediakan penunjuk yang boleh dilihat dan dikira (Quantify) apabila anda telah sampai. Ia mungkin jumlah pelanggan, jumlah pendapatan, jumlah cawangan, atau lain-lain seumpamanya.
  5. Pantau, fikir, dan jiwai data penunjuk yang telah ditentukan tadi sekurang-kurangnya sejam setiap hari sehingga ia tercapai.
Kebiasannya, jika sesebuah perniagaan itu melepasi tempoh setahun, ia menunjukkan perniagaan itu ada potensi dan sudah tentu sudah ada pelanggan. Bagaimana seterusnya untuk memastikan perniagaan itu dapat melihat sambutan ulang tahunnya yang kelima? Tunggu di lain tulisan, insyaallahsumber

Monday, November 26, 2012

Rahsia bisnes berjaya - Jaga Ibu




Apa saja yang kita buat tak ada yang lebih mendatangkan kepuasan selain dari mendapat perkenan atau restu dari Ibu. Bila saya berhenti kerja buat kali kedua untuk berniaga, saya sudah jangkakan akan dimarahi oleh ibu, sebab itu saya rahsiakannya terlebih dulu.

Selepas dah berhenti beberapa bulan barulah saya ceritakan pada ibu. Bila nak dedahkan rahsia itu kena ambil cuti dua tiga hari sebagai persediaan menghadapi leteren ibu. Yang penting sekali jangan pulang selagi tidak berjaya meyakinkan ibu. Bagai mana nak yakinkan ibu?


Memang sukar sekali nak lembutkan hati orang tua yang merajuk. Ibu saya berastaga tak henti-henti bila saya beritahu saya berniaga semula dan berhenti kerja makan gaji. Selepas penat berasraga dia mendiamkan diri tak mahu bercakap dengan saya. Tak apa, sabar dulu dan jangan melawan.

Bila nak pulang, saya bersalam dengan ibu yang masih tak puas hati. Dia risau dan mengecam perangai saya yang baginya tidak fikirkan tentang keluarga. "Kamu tak risaukah pada anak-anak yang masih kecil...?", tanya ibu.

Saya jawab dengan tenang, ibu ada dua pilihan:

  1. Teruskan memarahi dan tidak merestui dengan apa yang saya buat, insyallah ibu akan dapat buktikan saya bakal menghadapi kesusahan sebagaimana yang ibu takutkan.
  2. Bersabar dan restui minat saya ini diikuti dengan berdoa agar saya berjaya. Mohonlah pada Allah agar saya berjaya dan selamat, Insyallah saya yakin, ibu akan melihat saya berjaya.
"Yang mana satu pilihan ibu...?" tanya saya perlahan.

"Aku pilih yang kedua..." jawab ibu dan sejak itu dia tidak pernah lupa mendoakan kejayaan saya. 

Alhamdulillah, saya tidak menghadapi kesusahan berniaga walaupun nampaknya macam susah. Bila ada kesulitan saya telefon ibu sekadar bercerita dan biasanya masalah mudah selesai.

Bagi para usahawan, jangan sesekali lupakan ibu. Jadikan salah satu tugas anda untuk membahagiankan ibu. Jika ibu sukakan banyak wang berikan padanya. Tak payah tanya dia nak buat apa dengan wang tersebut, berikan saja.

Jangan berikan alasan sibuk untuk lupa menziarahi ibu. Jika anda tahu betapa gembiranya kehadiran anda di sisi ibu sudah tentu anda tidak akan teragak-agak untuk meluangkan masa sekurangnya seminggu sekali memandu pulang semata-mata untuk melihat wajah redup ibu anda.

Bagi saya formula ini biasanya mujarab:

"Bahagiakan ibu anda, perniagaan anda insyallah akan lancar"

Saya teringat pesan seorang tuan berbangsa Cina pada saya. Beliau kaya raya namun berkongsi penyesalannya pada saya pada suatu hari. Sambil air matanya bergenang dia berkata...
" Seandainya ibu saya masih hidup sekarang, saya akan pastikan setiap hujung minggu untuk memandu dari KL ke Johor Bharu, pulang semata-mata untuk melihat wajah ibu ..."

Segalanya sudah terlambat, ibunya sudah tiada. Ketika ibunya masih hidup dia terlalu sibuk mengumpul harta. Ada saja alasan untuk tidak pulang menziarahi ibunya itu. Cina tua itu berpasan pada saya jangan lakukan kesilapan yang dia lakukan. Luangkan masa untuk menziarahi ibu anda.sumber

Sunday, November 25, 2012

Jadi hebat, kaya, berjaya dengan cara tersendiri!



Siapa yang tak ada keinginan untuk menjadi yang terbaik, hampir kesemua kita yang normal punya naluri inginkan keselesaan yang terbaik. Dalam apa saja yang kita lakukan sejak kecil sehinggalah dewasa. Menjadi yang terbaik biasanya tersimpan kemas dalam hati sanubari.

Walaupun secara zahirnya, mulut kita menafikan untuk menjadi yang terbaik, hakikatnya sesekali kita cuba berangan-angan meletakkan diri dalam keadaan terbaik. Antara angan-angan yang pernah bermain di kepala semua orang adalah seperti:


  1. Tubuh badan - Kita idamkan menjadi sesorang yang sasa berpetak-petak pada bahagian perut dan lengan dipenuhi dengan otot sasa. Kadang-kadang kita bayangkan memiliki tubuh badan yang tinggi dan kemas.
  2. Rupa paras - Setiap kali melihat lelaki hensem samada pelakon atau sesiap saja, kita terlintas juga berfikir, 'kalaulah rupa aku macam tu...!". Lebih-lebih lagi bila terserempak wanita jelita yang lansung tak pandang kelibat kehadiran kita, ingin rasanya masa itu bertukar menjadi Tom Cruise, baru padan muka dia.
  3. Bijaksana - Alangkah bahagianya mendapat kedudukan nombor satu sepanjang masa dalam peperiksaan. Bestnya jika skor 4 flat setiap semester. Kenapa orang tak jadikan aku sebagai pakar rujuk pada setiap masalah mereka dan lain-lain lagi. Kita idamkan menjadi bijaksana dan yang paling bijak antara semua.
  4. Harta benda - Siapa tak ingin masuk dalam senarai 40 paling kaya di Malaysia. Kita sesekali terdetik dalam kepala inging dilahirkan berbinkan Sultan Johor atau seumpamanya. Bila melintas kereta mewah kita menjeling juga siapa pemandunya. Bila kenduri dan melihat sambutan ceria tetamu yang datang dengan Merz model terbaru, rasa mahu jugak berada ditempatnya.
  5. Kuasa - Sejak kecil, kita semua berebut mahu menjadi hero. Setiap kali bermain watak-watak kartun, semua mahu jadi kesatria merah. Sekarang ramai kanak-kanak mahu jadi Ultraman, Sangoku dan lain-lain. Kita mahu jadi yang paling berkuasa. Kita kecewa bila anak isteri melawan cakap. kita tak selesa bila anak buah atau pekerja tak hormat. Sedar atau tidak kita sentiasa ketagihkan kuasa.
Permudahkan hidup anda
Bagaimana meringkas dan memudahkan hidup kita dan menikmati apa yang sedang kita miliki. Ini penting agar kita menjadi orang yang berjaya dengan cara kita sendiri. Kita perlu mencipta sejarah diri kita sendiri tanpa cuba menjadi orang lain. Petuanya mudah saja,

"Bila ada yang baik, jangan tunggu yang terbaik"

Amalkan petua di atas dan sematkan selalu di dalam hati, insyallah hidup akan menjadi ringkas dan mudah. Dengan beristiqamah mengamalkannya, lambat laun kita bakal mencipta sejarah sendiri menjadi yang terbaik tanpa perlu terkejar-kejar. Ingat!!!

"Apa saja yang sedang kita miliki sudah berada dalam kategori yang baik, maka bersyukurlah!"

Budaya amalan falsafah di atas juga boleh mengawal nafsu yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang kita ada. Tak ada orang yang berjaya dengan selamat dengan terikut-ikut dorongan nafsu. Sukar untuk berjaya jika kita tak pernah syukur dengan apa yang kita ada. paling utama sekali terlalu sedikit mereka yang berjaya dengan kehidupan yang tidak bahagia.

Contoh mudah untuk diamalkan
Setiap kali anda ke pasaraya membeli barang keperluan dengan menaiki kereta, anda boleh melatih diri mengamalkan budaya falsafah di atas. Kita masuk ke perkarangan pasaraya mencari tempat letak kereta. Mari kita istilahkan kedudukan seperti berikut:
  • Yang terbaik - Parkir betul-betul di depan pintu masuk pasaraya
  • Baik - Ada tempat parkir tak kira di mana saja
  • Yang terburuk - Tak ada ruang parkir
Setiapkali masuk kawasan pasaraya saya akan semat falsafah jika ada yang baik tak payah tunggu yang terbaik. Dengan falsafah tersebut saya sentiasa mendapat ruang letak kereta dengan cepat dan pantas kerana saya tak pernah tunggu yang terbaik.

Ada ramai yang sudah mendapat yang baik tetapi masih mahukan yang terbaik berakhir dengan membuat pusingan demi pusingan. Masa terbuang dan perasaan tak puas hati mula timbul. Keadaan menjadi lebih parah jika kawasan parkir sesak, silap-silap tak ada terus dan terpaksa menunggu dalam kereta.

Amalan yang menjanjikan tempat terbaik
Tidak tamak menjadi yang terbaik dengan merebut peluang yang baik kebiasannya membawa kepada menjadi yang terbaik. Ini di sebabkan yang terbaik itu sentiasa berada di kalangan yang baik.

Banyak masa saya mendapat parkir terbaik hanya kerana saya berazam merebut  mana saja parkir yang paling awal saya dapat terlebih dulu tanpa menunggu dan mencuba nasib di hadapan. Ini menjadikan usaha mendapat yang terbaik berlaku dalam keadaan santai dan tanpa tekanan.

Amalkan dalam semua hal kehidupan terutamanya perniagaan
Dalam perniagaan, saya sentiasa amalkan sikap yang sama. Setiap peluang yang ada akan saya rebut tanpa menunggu yang terbaik. Setapak demi setapak ia membawa saya kepada yang terbaik tanpa tekanan.

Ramai yang idamkan menjadi usahawan dengan terus mengejar projek berjuta-juta. Ada di kalangan rakan-rakan saya yang membuang masa bertahun-tahun dengan sikap begitu. Memang bisnes jutaan ringgit adalah yang terbaik, tetapi bisnes ratusan ribu juga sudah cukup baik, ambil dulu dan jangan buang masa.

Begitu juga dalam hal berumah tangga, jangan tunggu yang tercantik, yang tersoleh atau solehah, yang terberada, yang terserasi dan berbagai-bagai ter lagi, anda akan berakhir dengan TER-RIAK...!

Jika ada yang baik tak perlulah tunggu lagi yang terbaik...anda sebenarnya membina sikap menjadi yang terbaik dengan cara anda sendiri...Insyallah. Selamat mencuba.sumber

Kriteria perniagaan terbaik!



Ramai yang nak berniaga. Masalah paling besar adalah menentukan apakah perniagaan yang terbaik. Perniagaan macam manakah yang lebih terjamin kejayaannya merupakan soalan yang menghantui para usahawan dan juga bakal usahawan.

Melalui pengalaman dan juga hasil daripada kajian, pengamatan dan juga pembacaan saya rumuskan beberapa kriteria yang boleh dijadikan pedoman kepada kita semua yang mahu menjalankan perniagaan. Berikut kriteria yang perlu difikirkan dalam menentukan perniagaan anda:


  1. Simple - Pastikan perniagaan anda mudah!, mudah dalam ertikata 'mudah bagi anda' menjalankannya berdasarkan kemahiran, kecenderungan dan juga rasa hati anda. Andaikata kita merasa sukar dan berat ketika membayangkan kejayaannya lupakan saja.
  2. Produk juga mesti simple - 'Coca-cola' teramat simple. Bayangkan jika taukeh coca-cola ditanya dia berniaga apa? lalu dijawabnya "jual air minuman", tentu anda akan rasa macam lekeh, tak glamour dan lansung tidak hebat. Tapi tahukah anda coca-cola menduduki senarai jenama teratas didunia selama beberapa tahun berturut-turut dan masih lagi mengatasi kesemua produk lain. Nilai jenama coca-cola sahaja bernilai USD200 billion!!! dan merupakan senarai syarikat terbaik di dunia!.
  3. Prosesnya juga mesti simple - Bayangkan perniagaan anda boleh dijalankan oleh sesiapa hatta budak lepasan sekolah. Kalau nak lihat contoh proses simple dan berjaya, pergi saja ke kedai McDonald. Perniagaan makanan segera itu merupakan salah satu perniagaan terbaik di dunia dan hanya dikendalikan oleh anak-anak muda lepasan sekolah!
  4. Tidak perlu modal baru untuk membesar - Ini merupakan kriteria syarikat yang menjadi pilihan Warren Buffet untuk melabur. Perniagaan yang hanya perlu pelaburan mula untuk dijalankan dan seterusnya membesar tanpa suntikan modal baru perlu menjadi sasaran kita. Perniaggan yang sentiasa perlu suntikan baru adalah seperti perniagaan kenderaan. Model dan teknologinya berubah-rubah dan pembesaran perlu dana baru. Jika anda boleh membesar tanpa suntikan modal baru, segera jalankan perniagaan itu!
  5. Boleh dijual terus kepada pengguna - Pastikan produk atau servis anda boleh digunakan oleh orang ramai secara terus. Ada perniagaan yang hanya boleh dijual kepada syarikat besar atau kerajaan sahaja dan tidak pada orang ramai. Ini biasanya memerlukan kos dan modal yang besar dan pasarannya juga terhad dan dimonopoli oleh golongan tertentu.
  6. Perniagaan biasa - Jangan cuba mencipta satu produk atau servis yang tidak pernah lagi dibuat oleh sesiapa. Bukannya tak bagus, tapi proses membeli sentiasa berlaku berdasarkan emosi dan bukan rasional. Dan manusia tidak selesa kepada perubahan atau benda baru, anda akan banyak membuang masa dan wang untuk meyakinkan pengguna.
  7. Boleh terus dijalankan segera secara kecil-kecilan - Jika perniagaan anda boleh dijalankan terus dalam masa yang cepat, itulah perniagaan bakal jaya anda. Lebih cepat lebih bagus dan kalau boleh keluar idea hari ini, esok anda sudah boleh mula menjual. Ramai yang tidak memikirkan perkara ini dalam membina perniagaan sehingga lebih dari setahun atau dua baru boleh berniaga. Melainkan anda anak Bill Gate, anda akan keletihan dan jatuh muflis sebelum perniagaan seperti itu berjaya.
  8. Modal yang tidak besar - Ia lanjutan daripada kriteria di atas tadi. Jika modal besar diperlukan tempoh anda mendapatkan wang sahaja akan mengambil masa yang lama. Modal tidak besar bermakna untungnya juga tidak besar. Jangan risau, majoriti syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 bermula dari belakang rumah sahaja dan membesar menjadi gergasi. Sabar dan istiqamah anda akan berjaya!
Apa yang paling penting adalah kesabaran dan kegigihan membina perniagaan. Buang perasaan tamak untuk cepat kaya atau cepat berjaya. Berniaga adalah seumpama pertandingan marathon, ia perlu disiplin serta latihan demi latihan disertakan dengan kesabaran. Tiada jalan mudah untuk berjaya.

Bermula dengan benda kecil, anda pasti mampu dapat membina disiplin serta menimba pengalaman sedikit demi sedikit. Kekalkan impian untuk menjadi besar dalam hati dan sentiasa bergerak menuju ke arah itu. Jangan hanya berlakon kelihatan sibuk sedangkan anda lansung tidak bergerak menuju matlamat.

Selamat berfikir....!sumber

Friday, November 23, 2012

Perniagaan berjaya tak perlu Business Plan - Harvard pun setuju!




Saya telah menulis tentang samada perlu atau tidak menyediakan kertas kerja perancangan perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan. Dalam artikel itu saya mengatakan Business Plan sebenarnya tidak perlu dan ia tidak pernah menjamin kejayaan sesebuah perniagaan.

Walaupun pendapat saya tidak disokong oleh mana-mana pakar namun ia adalah hasil daripada pengalaman sendiri juga pemerhatian terhadap rakan-rakan lain yang berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Nampaknya pendapat tersebut bukan cakap kosong kerana Harvard Business Review ada mengeluarkan artikel dengan tajuk yang sama. Penulis menolak keperluan menyediakan business plan sebagai pra-syarat menjayakan sesebuah perniagaan.


Namun begitu, berikut beberapa langkah penting bagi mempastikan perniagaan anda berjaya tanpa business plan:

  1. Kenal pasti dengan jelas matlamat perniagaan anda
  2. Sumber manusia atau kumpulan pembantu anda adalah amat penting dalam menjayakan perniagaan. Sentiasa fikir dan bina 3 keperluan asas dalam perniagaan, orang, orang dan orang.
  3. Fikir besar dan mulakan kecil. Kemudian membesar atau melingkup dengan pantas.
  4. Berikan tumpuan pada pasaran yang terperinci demografiknya. Sasaran pasaran anda mesti jelas dan terang.
  5. Betul-betul fahami model perniagaan anda. Fikirkan bagaiman menjana pendapatan demi pendapatan adalah lebih penting daripada menyediakan andaian pendapatan di Excel sheet yang lebih merupakan andaian yang belum pasti berlaku.
Berdasarkan pengalaman saya, visi yang jelas di dalam kepala amat penting untuk menjayakan sesebuah perniagaan. Kita mesti dapat menerangkan hala tuju perniagaan kita dengan pantas dan jelas jika ditanya apa akan berlaku setahun, dua tahun tiga atau lima tahun lagi.

Dengan tidak membuang masa dan terus menjayakan visi dalam kepala secara rapi dan gigih, insyallah anda akan berjaya. Jangan tangguh apa saja hasrat perniagaan anda, fikirkan apa yang kita boleh lakukan sekarang untuk merealisasikan perniagaan tersebut dan segera laksanakannya.sumber

Thursday, November 22, 2012

Apa yang anda perlu tahu tentang 'takut'



Kajian yang telah dijalankan oleh University of Michigan mendapati:

  • 60% daripada rasa takut yang kita hadapi sebenarnya lansung tidak diperlukan dan tidak pernah berlaku menjadi realiti
  • 20% daripada ketakutan kita berpusar pada perkara yang telah berlalu. Kita lansung tidak dapat megubah dan berbuat sesuatu terhadap segala apa yang telah berlaku
  • 10% daripada ketakutan kita berkisar pada perkara remeh temeh yang lansung tidak memberikan apa-apa kesan atau perubahan dalam kehidupan kita
  • Daripada baki 10% yang tinggal biasanya hanya 5% boleh dipertimbangkan yang punya alasan untuk ditakuti.
Fakta di atas membuktikan bahawa 95% daripada ketakutan yang menghantui kehidupan kita lansung tidak berbaloi dan hanya membuang masa dan membazirkan peluh sahaja. Cuba baca cerita di bawah:

Pada suatu malam, seorang isteri tiba-tiba terloncat dari katilnya dan terus mengejut suaminya yang sedang nyenyak tidur seperti biasa. "bang!, bangun ada pencuri di bawah lekas pergi tengok!". Suaminya dengan malas bangun perlahan-lahan dan turun ke bawah.

Sampai di bawah muncung pistol siap terhala ke arah mukanya, "lekas berikan segala barang berharga yang kamu ada...", ugut perompak yang memakai sarung muka menutupi kepalanya.

Setelah siap perompak tersebut memasukkan segala yang dia mahu sehingga penuh beg berisi, dia lalu segera bergegas mahu melarikan diri. Tiba-tiba, si suami berkata, "tunggu!, nanti dulu, tolong naik ke atas dan bertemu dengan isteri saya, sudah lebih 30 tahun dia menanti kemunculan anda!...".Sumber

Wednesday, November 21, 2012

Bagaimana nak jadi usahawan ekspress - Cara saya!



Berikut saya senaraikan langkah-langkah untuk mereka yang berminat menjadi usahawan ekspress tanpa modal dan juga tanpa pengalaman yang mendalam.

  1. Tanam minat untuk menjadi boss sendiri - Keinginan ini semua orang yang normal sudah milikinya cuma kebanyakannya tidak melangkah setapak lagi ke hadapan untuk merealisasikan keinginan tersebut.
  2. Mula membaca buku-buku berkaitan - Lupakan novel, lupakan majalah hiburan, lupakan gossip hiburan dan juga politik. Tumpukan pada bacaan buku biographi usahawan berjaya dan buku yang menyentuh tentang kejayaan perniagaan. Pastikan tabiat membaca ini diamalkan selama sejam setiap hari.
  3. Mula memilih kawan - Kawan yang anda pilih dan juga buku yang anda baca bakal mengubah keadaan diri anda pada masa yang akan datang (jika panjang umur). Pilih kawan usahawan yang berjaya sahaja. Jual diri anda pada mereka agar anda disukai dan jangan lupa membantu mereka secara sukarela setiap kali ada kesempatan. Pastikan anda ada dalam lingkungan 5 ke 6 orang kawan rapat usahawan berjaya.
  4. Tukar cara anda berfikir - Jangan berfikiran negatif. Tolak semua kepercayaan bahawa sesuatu yang harus itu, susah. Jangan cari alasan kenapa tidak boleh sebaliknya cari jalan bagaimana menjadikan ianya boleh. Berfikiran terbuka dan bersedia dengan semua pilihan yang ada.
  5. Lebih banyak mendengar daripada bercakap - Orang yang suka bercakap biasanya sering memberikan fokus pada kehebatan dirinya sendiri. Sikap begini hanya meletihkan mereka yang lebih berjaya daripada anda sedangkan apa yang anda cakapkan masih belum terbukti berbanding mereka yang lebih berjaya.
  6. Mula pilih perniagaan - Bertindak peka dengan semua jenis perniagaan yang ada di sekeliling anda. Senarai pendekkan 3 bisnes idaman anda dan mula membuat kajian terhadap bisnes tersebut. Sila baca beberapa tip memilih perniagaan di bawah.
    1. Pilih perniagaan: Ini cara paling selamat !
    2. Berehat dengan makan gaji - Pilih perniagaan cara saya
  7. Cari perniagaan yang mahu dijual - Setelah ada 3 jensi perniagaan dalam senarai pendek anda. Mula mencari dengan teliti jika ada antara perniagaan tersebut yang mahu dijual oleh tuan punya mengasasnya. Pastikan anda mendapat tawaran yang terbaik. Biasanya perniagaan tersebut menghadapi masalah pengurusan atau tuan punya hilang minat.
  8. Tawarkan pada rakan usahawan anda untuk mengambil alih - Setelah anda temui perniagaan yang hendak dijual, tawarkan pada kawan-kawan usahawan anda yang berjaya untuk menjadi pembiaya. Yakinkan anda punya idea dan kesungguhan untuk pulihkan perniagaan itu.
  9. Jangan tamak - Biarkan pembiaya miliki majoriti besar dalam pegangan saham. Jika anda boleh miliki 10% atau 20% pegangan saham sudah mencukupi.
  10. Pastikan anda berkuasa penuh dalam menjayakan perniagaan tersebut - Walaupun pembiaya punyai pegangan majoriti, anda perlu mendapat persetujuan dari beliau yang anda mahu mengurus dan memajukan perniagaan itu dengan cara anda sendiri. Pembiaya hanya menjadi mentor sahaja yang menasihati pendekatan yang yang perlu anda pilih.
  11. Beri tumpuan penuh sekurangnya 3 tahun - Biasanya anda akan mengusai pengurusan perniagaan yang anda beli dalam tempoh 3 tahun sahaja. Kuasai segala perkara teknikal dan kenali semua pesaing dalam industri yang sama.
  12. Mula melihat peluang lain - Anda ada dua tahun lagi untuk memikirkan empayar anda sendiri di mana anda menjadi pemilik penuh. Tawarkan pembelian semula saham kepada pembiaya anda dengan harga yang lumayan. Biasanya tawarkan nilai 70% daripada jumlah jualan syarikat sebagai harga belian.
    • Jika jualan syarikat adalah RM1 juta setahun, harga tawaran adalah sebanyak RM 700 ribu atau kurang dari itu.
    • Pembayaran boleh dibingcang di mana anda boleh gunakan wang syarikat untuk membayar wang pendahuluan. Pastikan syarikat ada wang dan itu adalah tanggung jawab anda.
    • Tawarkan pembayaran selanjutnya secara bulanan atau 6 bulan sekali dan habiskan pembayaran dalam tempoh 5 tahun.
  13. Anda kini sudah miliki perniagaan kepunyaan diri anda sendiri!!!!
Jika dikira tempoh dari anda mula membeli perniagaan sehingga anda memiliki sepenuhnya perniagaan anda, anda cuma perlukan 5 tahun saja untuk menjadi pemegang saham penuh perniagaan tersebut. Namun begitu anda masih perlu 5 tahun lagi untuk menghabiskan pembayaran dan pastikan perniagaan anda menjadi lebih besar dan menguntungkan dalam tempoh tersebut.

Selamat mencuba!sumber

Tuesday, November 20, 2012

3 Langkah mudah ubah diri jadi orang baru!



Setakat mana kejayaan anda sekarang. Adakah anda berpuas hati dengan apa yang telah dicapai?. Jika anda rasa pencapaian yang ada, nampak macam tak ada kesan dan sama saja seperti masa-masa sebelum ini, saya ada jawapannya kenapa jadi begitu.

Ramai yang biasa dengar ayat ini:

"Mengulang-ulang amalan yang sama dengan harapan untuk menghasilkan perkara yang baru adalah satu kerja sewel!"


Semua orang mahu berubah menjadi lebih baik tetapi adalah mustahil anda berubah seandainya cara berfikir dan cara bertindak tetap sama seperti biasa. Bagaimana cara anda berfikir dan bagaimana cara anda bertindak selama ini, itulah yang menghasilkan apa yang anda ada sekarang ini.

Oleh itu untuk menghasilkan sesuatu yang baru anda perlu ubah teknik berfikir dan seterusnya ubah cara anda menghadapi dan bertindak terhadap apa yang difikirkan. Untuk mengubah cara berfikir agar anda lebih berkembang maju kehadapan anda perlu amalkan 3 langkah mudah.

  1. Lindungi diri dari segala perkara yang negatif.
    • Kita tidak dapat kawal apa yang berlaku disekeliling kita dan tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan pada orang lain yang bersikap negatif. Cara yang paling mudah adalah dengan mengelakkan diri daripada mereka.
    • Anda juga perlu berlatih membayangkan seolah-olah anda dilindungi oleh pelindung lutsinar setiap kali keluar rumah dan bertemu dengan masyarakat atau sesiap saja. Pelindung itu kerjanya memantulkan semula segala perkara negatif kembali pada pencetusnya.
    • Berlatih menggunakan pelindung itu sehingga ia dapat dikuasai dengan baik. Tentu anda akan tersenyum lebar setiap kali melihat pantulan semula perkara negatif balik mengenai pencetusnya, Padan muka, kesian dia, itulah bisikan anda...hehehe!
  2. Luangkan masa setiap hari selama 20 minit bersendirian tanpa buat apa-apa.
    • Setelah kuasai segala penerimaan hanya perkara positif saja. Anda menjadi lebih segar, ceria dan bersemangat untuk hidup. Tapi cara berfikir masih cara lama kerana jaringan saraf otak anda masih macam itu juga.
    • Tiba masanya membentuk jaringan saraf-saraf otak baru yang boleh digunakan bagi mencetuskan idea, pengalaman dan cara bertindak yang baru. Ada boleh yakin selepas ini tindakan anda adalah positif hasil dari bantuan pelindung lutsinar.
    • Setiap pagi, amalkan untuk duduk ditempat sunyi, nyaman dan selesa selama 20 minit. Kalau boleh diawal pagi. Mungkin di balkoni rumah anda dan lakukan selepas atau sebelum solat subuh.
    • Jangan fikir atau buat apa-apa selama tempoh 20 minit itu. Relaks dan rasakan kewujudan anda. Rasai pernafasan anda. Rasai setiap anggota tubun badan anda dan biarkan ianya berlalu.
    • Aktiviti ini membantu pembentukan jaringan saraf otak yang baru.
  3. Tuliskan harapan atau impian anda dan bayangkan seolah-olah anda telah milikinya
    • Anda perlu tulis impian atau apa yang anda mahu capai dengan terang, ringkas dan padat.
    • Tak perlu buat perancangan terperinci bagaimana untuk mencapainya. Anda hanya perlu berlatih bayangkan setiap hari seolah-olah anda telah memiliki impian tersebut.
    • Bagaimana anda akan milikinya, biarlah minda separa sedar yang lakukan untuk anda.
Berlatih dan jadikan petua di atas sebagai amalan harian anda. Insyallah anda akan berubah dan sentiasa berubah menjadi seorang yang lebih baik dan hebat sepanjang waktu tahun demi tahun. Selamat mencuba...!sumber

Monday, November 19, 2012

Kenapa tak puas hati dengan pekerjaan?



Kajian terbaru mendapati 70% daripada tenaga kerja di negara kita tidak puas hati dan tidak gembira dengan kerja yang mereka lakukan. Adakah anda salah seorang daripadanya?

Saya sering terangkan pada para usahawan tujuan utama menjalankan perniagaan bukanlah untuk mendapatkan wang, walaupun tidak dinafikan itu merupakan salah satu perkara penting yang menghidupkan sesebuah perniagaan.


Tujuan berniaga
Tujuan asas menjalankan perniagaan adalah kerana kita ada sesuatu yang mahu ditawarkan pada pelanggan. Dengan perkara asas itu maka terbentuknya proses penawaran dan proses permintaan yang pertukarannya mungkin dalam bentuk wang dan mungkin juga dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian pada mereka yang menyara kehidupan dengan makan gaji. Kita perlu bertanya apa tuijuan sebenar kita memohon pekerjaan dan apa tujuan utama yang membuatkan kita menerima tawaran pekerjaan tersebut.

Saya yakin hampir 100% mereka yang makan gaji akan berkata tujuan utama mereka bekerja adalah untuk mendapatkan wang. Ia hampir sama dengan kebanyak para usahawan yang menjalankan perniagaan dengan matlamat utama untuk mendapatkan wang.

Para usahawan yang mengejar wang kebanyakannya menyesal berhenti kerja dan berniaga kerana mendapati wang yang dikejar tak dapat, wang yang dikendung berciciran lalu melompat dari satu perniagaan ke satau perniagaan dan berakhir dengan makan gaji semula.

Para pekerja makan gaji pula, yang mengejar wang akan berakhir dengan kehidupan penuh tekanan dan menghabiskan masa berkongsi dengan rakan-rakan yang sama-sama mengeluh tak seronok dengan pekerjaan yang mereka lakukan.

Apakah tujuan utama kita sebagai manusia bekerja?
Jika kita faham tujuan kita dijadikan di muka bumi ini, samada berniaga atau makan gaji, tujuan paling utama dalam menjalani kesemua aktiviti tersebut adalah dengan matlamatmembina potensi diri kita.

Bezanya mereka yang makan gaji berbanding berniaga adalah:

  • Orang makan gaji membina potensi diri dengan mendapat bayaran.
  • Para usahawan pula membina potensi diri dengan mengeluarkan modal atau wang untuk membayar para pekerjanya
Jika megamalkan falsafah membina potensi diri sebagai manusia yang dijadikan Tuhan, sudah pasti kita akan sentiasa bersemangat dan mengharung apa saja cabaran yang dihadapi. Lebih-lebih lagi mereka yang makan gaji yang dibayar sebagai ganjarannya membina potensi diri.

Para usahawan pula yang mengeluarkan wang, bertungkus lumus menyediakan landasan pada mereka yang mahu membina potensi diri sebagai pekerja, sudah tentu lebih layak mendapat ganjaran yang lebih tinggi samada di dunia ini maupun di akhirat kelak.

Hakikatnya samada anda usahawan ataupun pekerja makan gaji, titik akhirnya adalah kita mahu meninggalkan dunia ini dalam keadaan di mana tahap pencapaian kita paling tinggi yang mampu kita capai.sumber

Sunday, November 18, 2012

Kenapa kedai mamak berjaya?



Data daripada persatuan peniaga restoran makanan mamak menunjukkan peratusan kegagalan yang cukup rendah. Peratusan kedai mamak yang gagal hanyalah serendah 5% sahaja. Daripada 100 kedai mamak yang dibuka hanya 5 restoran sahaja yang akan gulung tikar. Apa rahsia mereka?

Ada juga di kalangan peniaga Melayu yang membuka restoran yang berjaya bertahan, terutamanya para peniaga Tom Yam. Terdapar banyak kedai-kedai restoran Tom Yam yang perniagaan mereka hebat mampu bertahan dengan jumlah pendapatan yang tinggi. Apa rahsia mereka?

Terdapat di kalangan rakan saya yang menceburkan diri dalam perniagaan restoran, tapi malangnya perniagaan mereka gagal bertahan lama. Terdapat ramai lagi orang Melayu yang terjun dalam perniagaan restoran yang bungkus belum cukup setahun berniaga. Apa masalah mereka?


Dari pemerhatian saya, rahsia kejayaan peniaga kedai makan mamak banyak disumbang oleh pemahaman mereka tentang apa maknanya 'customer service'. Dalam bahasa Melayu, kita namakan khidmat pelanggan.

Faktor utama pelanggan masuk ke kedai makan adalah kerana mereka mahu dilayan untuk menghilangkan rasa lapar. Ada juga yang masuk hanya untuk minum sahaja dan golongan ini mempunyai kehendak 'mahu dilayan' yang tinggi.

Sediakan satu kumpulan berdedikasi khas untuk melayan pelanggan
Para mamak memahami apa maknanya dilayan. Untuk itu mereka menyediakan kumpulan yang besar khas untuk melayan kehendak para pelanggan. Jika kita sekadar mahu minum dan berborak, kebanyakan daripada kita akan memilih kedai mamak.

Penekanan pada jumlah pelayan yang mencukupi untuk memuaskan kehendak pelayan merupakan faktor utama kedai mamak menjadi pilihan. Begitu juga kebanyakan peniaga Tom Yam, mereka punyai jumlah kakitangan yang cukup untuk melayan pelanggan.

Tiru kejayaan kedai mamak
Dalam dunia perkhidmatan, ramai peniaga Melayu yang memandang remeh keperluan menyediakan jumlah kakitangan yang cukup untuk melayan para pelanggan mereka. Kebanyakan daripada syarikat perniagaan perkhidmatan Melayu, hanya sanggup menyediakan kerani yang kerjanya terlalu 'multi tasking'.

Kerani itulah yang membuat segala kerja administrasi yang tak pernah habis dan kerani itu jugalah yang melayan segala komplen atau pertanyaan pelanggan atau prospek pelanggan. Itu menyebabkan produktiviti merosot dan pelanggan rasa tidak puas hati.

Jika kita pandang serius untuk memuaskan hati pelanggan dalam industri yang berorientasikan perkhidmatan, kita tidak boleh pandang remeh terhadap penyediaan satu kumpulan kakitangan yang kerjanya memastikan kehendak pelanggan dipenuhi dengan segera dan berkesan.

Saya sering membuat servis kereta Nissan di pusat servis Nissan. Mereka menyediakan satu kumpulan customer servis yang mencukupi semata-mata untuk melayan pelanggan dari peringkat tempahan sehinggalah kereta pelanggan siap diservis. Kumpulan ini juga bertanggung jawab membuat panggilan susulan dalam tempoh beberapa hari selesainya servis. Begitulah hebatnya mereka memahami makna "customers satisfaction".

Antara perniagaan perkhidmatan yang boleh meniru cara kedai mamak adalah:

  • Khidmat pest control
  • Khidmat potong rumput
  • Khidmat pembantu rumah
  • Khidmat pembersihan
  • Khidmat penghantaran
  • Khidmat penyelengaraan
Banyak lagi perniagaan seumpama yang saya sebutkan di atas yang mengambil ringan terhadap melayan kehendak pelanggan sedangkan jumlah pelanggan mereka bukannya sedikit. Amat malang jika kita mencampur adukkan pekerja operasi dengan pekerja khidmat pelanggan.

Kumpulan operasi perlu memberikan tumpuan pada kerja teknikal dan pastikan kerja mereka berkesan, mantap dan berjaya. Manakala kumpulan khidmat pelanggan pula berkewajipan menyampaikan maklumat progres kerja yang cemerlang tersebut pada pelanggan dengan cara yang disukai oleh pelanggan dan ini perlu latihan yang berlainan berbanding kumpulan operasi.

Untuk mereka yang perniagaannya ada proses melayan pelanggan, jangan kemut duit untuk melabur sumber manusia dalam menjalankan tugasan tersebut. Amat malang jika anda mahukan pelanggan berpuasa hati dan dalam masa yang sama tidak ada seorangpun kumpulan kakitangan khas yang memberi tumpuan pada faktor utama kejayaan perniagaan anda. Ayuh segera bertindak!sumber