Pages

Thursday, February 23, 2012

Bakar Al-Quran:AS Mohon Maaf

Amerika Syarikat telah memohon maaf kepada rakyat Afghanistan berhubung insiden beberapa naskhah Al-Quran didapati dibuang dan dibakar secara tidak sepatutnya Isnin lalu.Satu laporan BBC memetik Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, sebagai berkata tentera Amerika menghormati amalan agama rakyat Afghanistan tanpa ’sebarang pengecualian’.Jurucakap Pentagon, Encik George Little, pula berkata: ‘Tindakan (membakar Al-Quran) tidak mewakili pendirian Amerika Syarikat dan pihak tentera.’
Laporan-laporan awal menunjukkan Amerika merampas bahan-bahan bacaan Islam, termasuk Al-Quran, dari perpustakaan sebuah pusat tahanan kerana dipercayai digunakan tahanan Taleban bagi menghantar mesej.
Berita mengenai pembakaran Al-Quran di tempat pembuangan sampah itu mencetuskan kemarahan dengan sekitar 2,000 rakyat Afghanistan mengadakan bantahan di luar pangkalan tentera Amerika di Bagram, utara Kabul.
Laporan BBC menyatakan seorang cedera dan lima ditahan apabila tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melepaskan peluru getah ke arah kumpulan yang mengadakan tunjuk perasaan di luar pangkalan tentera itu.
Panglima tentera Nato di Afghanistan, Jeneral John R. Allen dari Amerika, sudah mengumumkan satu siasatan akan diadakan berkenaan insiden itu.
‘Selepas mengetahui tentang perkara itu, kami segera menghentikannya. Semua bahan bacaan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa agama bagi diuruskan dengan betul.
‘Saya meminta maaf bagi setiap kesilapan yang mungkin berlaku kepada Presiden Hamid Karzai, Republik Islam Afghanistan dan yang paling penting kepada semua rakyat negara ini,’ katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Penjara Bagram, Encik Ahmad Kabir, berkata kebanyakan penunjuk perasaan ialah pekerja di pangkalan tentera terbabit dan sebahagian mereka mendakwa ternampak cebisan Al-Quran dibakar di pangkalan itu.
Semalam, bantahan dilaporkan diadakan buat hari kedua, dengan sekitar 500 penunjuk perasaan melempar batu di sebuah pangkalan tentera di Kabul, sementara di bandar timur Jalalabad lebih 1,000 penunjuk perasaan mengepung sebuah lebuh raya. — AP, AFP, Reuters, Bloomberg.

No comments: