Pages

Saturday, December 24, 2011

Gadis Sunti Tsunami Hilang 8 Tahun Ditemui Hidup


YURANDA (tengah) berbaring di atas katil, sambil diperhatikan Yusnidar (kanan) dan seorang anggota keluarga di rumah mereka di Meulaboh, Aceh semalam.


Ibu bersyukur Mary Yuranda dihanyut Lautan Hindi selamat


MEULABOH: Seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai maut dalam tsunami yang menyerang Indonesia lapan tahun lalu kembali semula ke rumahnya di perkampungan kecil di Aceh Barat dalam keadaan selamat.
Kanak-kanak yang dikenali dengan nama Mary Yuranda kini 14 tahun, baru berusia lapan tahun ketika gelombang tsunami melanda perkampungan Ujong Baroh pada 26 Disember 2004.
Ibunya, Yusnidar, cuba untuk melarikan diri dari ombak tsunami di Lautan Hindi bersama anak perempuannya dan dua adik beradik lain apabila dia terlepas genggaman ibunya dan dihanyutkan air yang deras itu.

Yusnidar berupaya menyelamatkan dua lagi anaknya namun dia dan keluarganya lain akhirnya terpaksa pasrah dan menerima kenyataan bahawa Mary hilang dan tidak akan kembali.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Ibrahim, datuk Mary, menerima seorang tetamu di rumahnya yang ditemani seorang gadis remaja memakai tudung kepala berwarna biru.

Tetamu yang juga pemandu teksi itu berkata gadis berkenaan datang ke kedai kopi Simpang Pelor tetapi hanya mendiamkan diri. Penduduk menyangka dia seorang pengemis dan cuba berbual dengannya.
“Gadis itu mendakwa datang ke sini menaiki bas dari Banda Aceh dan cuba mencari jalan pulang namun tidak tahu bagaimana. Dia juga tidak dapat mengingati nama ibu bapa atau saudara mara kecuali Ibrahim,” kata pemandu teksi berkenaan.

Selepas mendengar penjelasan tetamu itu, Ibrahim segera menyedari gadis itu mungkin cucunya yang sudah lama hilang dan selepas meneliti gadis kurus berkulit gelap, dia yakin gadis itu adalah Mary yang hilang dalam tsunami tujuh tahun lalu. Ibrahim kemudian mengarahkan Yusnidar, 35, dan suaminya Tarmius, 42, datang ke rumahnya dan bertemu Mary.

Kedua-dua Yusnidar dan Tarmius mengesahkan identiti Mary selepas mengenal pasti tahi lalat kecil dan parut di atas keningnya yang diperolehnya ketika berusia enam tahun.

“Tanda lahir pada perutnya dan parut tahi lalat pada wajahnya membuktikan gadis itu anak saya,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari rumahnya.

“Saya tidak dapat beritahu anda betapa bersyukurnya saya,” katanya.

Apa yang berlaku kepada Mary selepas dihanyutkan ombak tsunami tidak didedahkan kepada media kecuali sejak beberapa tahun lalu dia ditempatkan di daerah lain di wilayah Aceh.

Laporan menyatakan Mary dipaksa menjadi pengemis sebelum berjaya melarikan diri dan kembali ke kampung halamannya.

Laporan – Agensi/AFP     

Hilang Telinga Angkara Wanita



PASIR MAS – Seorang pekerja di pusat membeli-belah, putus telinga kiri dan mendapat 50 jahitan pada badan setelah dia dicederakan menggunakan parang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, baru-baru ini.

Motif yang dipercayai akibat cemburu mengakibatkan dia terpaksa hidup tanpa cuping telinga sehingga akhir hayatnya.

Mangsa, Mohd Ridzuan Jusoh, 21, berkata, meskipun kejadian ini berlaku tiga minggu lalu, dia tidak akan melupakan detik-detik dia diculik tiga lelaki, dihiris menggunakan parang dan dilepaskan di tepi jalan dekat Bayu Lalang.

Menurutnya, dia hanya mengenali seorang perempuan berusia 28 tahun, sejak dua bulan lalu dan mereka mulai berkawan kerana dia mengaku masih bujang.

“Saya hanya mengetahui status perempuan itu, setelah suaminya memberitahu ketika menculik saya 10 Disember lalu.

“Lelaki berkenaan sepatutnya sedar bahawa bukan saya yang menjadi punca keruntuhan rumah tangganya, kerana saya juga menjadi mangsa kepada perempuan itu,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak patut mengambil pendekatan sedemikian sebaliknya dia perlu menyelidiki perkara yang sebenar.

Ridzuan berkata, lelaki berkenaan bukan sahaja mencederakannya menggunakan parang, malah suspek juga merampas dompet, telefon bimbit dan wang berjumlah RM504.

“Wang yang saya kumpul sejak setahun lalu, lesap begitu sahaja sedangkan wang itu perlu dilunaskan untuk mendapatkan lesen memandu.

“Saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa saya, kerana mereka juga tidak bekerja kerana mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Hasnah Hamat, 69, berkata, dia mengharapkan pihak berkenaan dapat mencari keadilan kepada anak bongsu daripada sembilan beradik ini.

“Perbelanjaan untuk memulihkan telinga terlalu tinggi, sedangkan saya dan suami sudah lama tidak bekerja.

“Saya berharap supaya lelaki dan perempuan berkenaan sedia menyerah diri dan meminta maaf di atas kesalahan yang dilakukan ke atas anak saya,” katanya.



Laporan- Noor Azlida Alimin

"The Game Is Over" Kata Mustafa Ali

"The Game is over"


KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali(gambar) yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai.

"The game is over - permainan ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya.

Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno.

Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain.

"Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa.

Bagaimanapun, katanya, Dr Hasan akan membuat kenyataan hari ini dan dia akan melihat kenyataan itu samada untuk memberi respons atau tidak.

"Kalau dia (Dr Hassan)  cabar suruh dedah, saya akan kajilah apa nak jawab," kata Mustafa.

Kes itu, katanya selesai dengan cara Presiden PAS memanggil tiga orang yang terlibat dalam kes ini termasuk Adun Hulu Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib.


Laporan- Harakahdaily

Dilemma Najib Dan "Garis Keras" Umno




Dilemma najib

Menurut seorang teman yang juga seorang ketua editor sebuah “news portal” terkemuka tanahair, perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr. Mahathir Mohammad berusaha keras untuk melaksanakan program-program ekonomi, sosial dan politik yang dekat dihati rakyat.

Ini boleh dilihat dari pengalaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Selepas menggantikan Dr. Mahathir, jika kita ingat kembali – Abdullah Badawi berusaha keras untuk melaksanakan reformasi dalam kerajaan pimpinannya.

Yang menjadi batu penghalang utama kepada program-program reformasi Abdullah Badawi adalah dari parti Umno sendiri.

Golongan “garis keras” yang kuat bersarang dalam parti tersebut sehingga akhirnya, Abdullah Badawi menjadi bahan jenaka.

Sabotaj dari dalam Umno menjadi antara punca keputusan pilihan raya umum ke 12 yang menyaksikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di parlimen dinafikan – berberapa negeri BN terlepas ketangan pembangkang.

Abdullah tersingkir dari tampuk kuasa dan Datuk Seri Najib Razak menggantikannya. Selain gagasan 1 Malaysia, Najib menjuarai program transformasi didalam pentadbirannya.

Dari ekonomi, sosial dan politik semuanya mahu ditransformasikan oleh Najib. Seperti Abdullah, Umno sendiri menjadi batu penghalang kepada program-program Najib.

Sehingga kini, Najib masih belum dilihat mempunyai kekuatan untuk meyakinkan Umno untuk bersama gagasan yang ingin beliau bawa.
Panglima Najib

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah salah seorang “panglima” kepada program transformasi politik Najib. Tanpa restu dari Najib, tidak mudah bagi Saifuddin untuk bergerak ke tahap ini.

Kita dapat melihat bagaimana Saifuddin berani untuk berhadapan dengan mahasiswa, politikus pembangkang dan NGO dalam forum-forum terbuka untuk mempertahankan program transformasi Najib.
Saifuddin juga konsisten mempertahankan hak kebebasan mahasiswa untuk berpolitik dan mahukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi menjamin kebebasan tersebut.

Untuk saya, jika Najib mempunyai lebih ramai panglima seperti Saifuddin, Pakatan Rakyat (PR) berada dalam bahaya besar. Namun sudah pasti orang seperti Saifuddin tidak disukai oleh golongan garis keras dalam Umno.

Peristiwa demonstrasi mahasiswa dihadapan Bangunan Umno di PWTC minggu lalu - dimana bendera presiden Umno ke tujuh, Najib Razak diturunkan dan digantikan dengan bendera kebebasan menjadi satu “bola tanggung” kepada golongan “garis keras” dalam Umno.

Saifuddin akhirnya di”smash”. Beliau didesak untuk meletakkan jawatan diatas insiden penurunan bendera tersebut. Serangan itu dibuat menerusi mesej-mesej Twitter dan entri dalam blog-blog.

Walaupun Saifuddin - juga Ahli Parlimen Temerloh berulang kali mengulangi pendiriannya bahawa kumpulan mahasiswa, yang didakwa menurunkan bendera wajah Najib di pekarangan ibu pejabat Umno harus meminta maaf terhadap insiden tersebut.

Sejauh mana kekuatan Najib

Untuk melihat kuat atau lemahnya Najib dalam Umno, kita boleh perhatikan dengan bagaimana perdana menteri mengurus kes Saifuddin Abdullah ini,

Jika Najib kuat, beliau pasti akan mempertahankan Saifuddin dan menutup “mulut” golongan keras dalam Umno. Jika Najib dalam keadaan lemah, Saifuddin mungkin tidak tercalon lagi sebagai calon BN di kerusi Temerloh dalam PRU akan datang.

Najib sudah pasti tahu, orang seperti Saifuddin mampu untuk memenangi hati orang muda dan mahasiswa walaupun tidak secara keseluruhannya.

Mempunyai lebih ramai orang seperti Ahli Parlimen Temerloh ini, akan memperlihatkan kepada masyarakat umum bahawa beliau serius dengan program transformasi dan politik baru.

Akan tetapi, ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Abdullah Badawi yang dari awal digelar “Mr. Clean” pun diterajang keluar dari kepimpinan Umno oleh kerana melawan tradisi parti tersebut.
Lihatlah bagaimana nasib menantunya yang kini Ketua Pemuda Umno. Walaupun memegang jawatan penting dalam parti, beliau tidak dapat memainkan peranan dalam kerajaan.

Pesaing beliau yang kalah dan Naib Ketua Pemuda Umno dilantik menjadi Timbalan Menteri. Begitulah serba sedikit gambaran betapa kuatnya golongan “garis keras” dalam Umno.

Inilah dilemma besar yang dihadapi oleh Najib. Jika tidak melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan, jangka hayat BN semakin pendek. Jika menjuarai perubahan, penghalang utama bukan Pakatan Rakyat (PR) tetapi Umno itu sendiri.

Apatah lagi apabila golongan “garis keras” dipayung oleh “Godfather” yang masih mempunyai pengaruh kuat dalam Umno dan jentera kerajaan.

Oleh Amin Iskandar

Dr Muhammad Md Daud Adun Tendong Meninggal Dunia



AL Fatihah


PASIR MAS, 24 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Tendong, Dr Muhammad Md Daud telah pulang kerahmatullah jam 12.55 malam tadi.

Menurut Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Hanifa Ahmad, Dr Muhammad dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan tengah hari ini iaitu selepas solat zohor. 

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimaklumkan dan dijangka akan hadir sama untuk menyolatkan jenazah tersebut.

Jenazah Adun berkenaan kini berada di rumah di Lorong Haji Daud, Kampung Perakap, Bunut Susu.

Hanifa berkata, pagi kelmarin allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas untuk mengambil bekalan banjir yang akan diagihkan untuk penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Hanifa juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham.


Laporan- Harakahdaily

Ahlan Wa Sahlan Hasan Ali Kedalam PERKASA



Hasan Ali dijemput masuk Perkasa


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) secara terbuka mempelawa anggota exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan
Ali menyertai pertubuhan itu jika beliau benar-benar ingin meneruskan perjuangannya menegakkan agama Islam dan orang Melayu.
    
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata sudah sampai masanya Hasan membuat keputusan menyertai NGO jika merasakan perjuangannya dalam PAS tidak mampu memenuhi hasrat dan cita-citanya itu.
    
"Beliau kini sudah dipinggirkan oleh PAS," kata Ibrahim kepada pemberita ketika ditemui pada mesyuarat agung Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Kota Bharu hari ini.
    
Ibrahim, yang juga anggota parlimen Pasir Mas, berkata beliau telahpun menyatakan hasratnya itu kepada Hasan sebelum ini tetapi setakat ini belum menerima apa-apa jawapan.
    
Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor, dilaporkan berkata parti itu telah menyimpang daripada perjuangan asalnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam dengan mengubah pendirian untuk membentuk sebuah "negara berkebajikan".

Kenyataan beliau itu mendapatkan kritikan bebarapa pemimpin atasan PAS.


Laporan- BERNAMA