Pages

Friday, December 16, 2011

Mukhriz Akan "Lari" Ke Langkawi ??



Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berharap beliau akan kekal bertanding di kawasan Parlimen Jerlun jika terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, berkata beliau akur jika pucuk pimpinan parti membuat keputusan untuk meletakkannya bertanding di kawasan lain.

"Saya akan mengikut apa sahaja keputusan nanti," katanya kepada pemberita pada Program Kayuhan Mesra Rakyat 1Malaysia anjuran MCA Bahagian Jerlun dekat Jitra hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin dicalonkan di Langkawi bagi menyambung legasi bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sangat sinonim dengan usaha membangunkan pulau peranginan itu.

Mukhriz, yang menang kerusi Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum lepas, berkata beliau merasakan tidak ada sebab beliau perlu berpindah ke kawasan lain.

"Sebelum membuat sesuatu keputusan, semua perkara perlu diambil kira kerana ini adalah soal mesti menang.

"Jika saya dicalonkan di kawasan lain, apa yang akan berlaku di Jerlun. Pada PRU ke-12, kita menang empat kerusi (daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah). Jadi untuk PRU akan datang tak tentu lagi kita boleh menang lebih daripada itu," katanya.

Mukhriz berkata pucuk pimpinan mempunyai pilihan daripada segi siapa calon yang sesuai untuk dicalonkan di satu-satu kawasan.


Laporan- BERNAMA


p/s   Mukhriz nak cari kawasan selamat ke?

Mati Dipukul Kerana Isteri Orang


DUA suspek dibawa ke kawasan semak di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena semalam bagi membantu siasatan kematian Hamdan.
ALOR SETAR – Angkara mengikut nafsu marah dan cemburu membuak-buak kerana mengesyaki isteri mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain, seorang lelaki bersama seorang anak lelakinya bertindak di luar dugaan membelasah sehingga mati kenalan isterinya itu.
Tragedi malang yang berlaku pada pukul 11 pagi itu di satu kawasan semak samun di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena di sini kelmarin menyebabkan Hamdan Saad, 54, yang cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan lain meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Hamdan didakwa mempunyai hubungan baik dengan seorang wanita yang berusia 40-an yang dipercayai isteri kepada suspek berusia 50 tahun dan juga ibu kepada pemuda berusia 22 tahun yang terlibat dalam kejadian itu.
Selepas dibelasah, Hamdan yang tidak bekerja dikejarkan ke HSB pukul 1 petang kelmarin namun meninggal dunia selepas 12 jam dirawat di HSB.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, mangsa yang dalam keadaan tenat ditemui oleh anaknya di dalam parit di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira 15 meter dari tempat mangsa dipukul.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika cuba keluar dari kawasan itu selepas cedera dibelasah.
“Selepas dipukul, mangsa sempat bercakap dan meminta bantuan daripada salah seorang anaknya menerusi panggilan telefon,” kata beliau ketika ditemui di bilik mayat HSB di sini semalam.
Baharom memberitahu, mangsa kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Pekan Langgar di sini sebelum dihantar ke HSB.
“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada awal pagi ini (semalam) akibat masalah jantung yang mempunyai kaitan dengan dipukul dan mempunyai tekanan emosi,” ujar beliau.
Laporan- NORLIDA AKMAR IDROS kosmo

Mustafa Ali "Londeh" Kedudukan Sebenar Nasharuddin Mat Isa Selaku AJK Pusat


Nasharuddin tak pernah hadir mesyuarat - Mustafa
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar yang lalu walaupun dilantik sebagai AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Datuk Dr Hassan Ali pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah datang ke mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khas dengan wartawan Harakah dan Harakahdaily semalam.

Ekoran laporan mengenainya oleh Harakahdaily semalam, pelbagai pihak menghubungi Harakahdaily dan Mustafa untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Dalam wawancara itu, Mustafa melahirkan rasa kesal dengan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan mereka sejak akhir-akhirnya terperangkap dalam agenda Umno.

"Ingin saya dedahkan, dalam rekod di Pejabat Agung PAS Pusat dan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Nasharudin setelah tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau telah dilantik sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik, tetapi sepanjang masa selepas dilantik hingga kini, tidak ada sekalipun beliau menghadiri mesyuarat PAS Pusat.
"Sementara Hassan Ali dari sudut di pusat kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekalipun beliau tidak hadir (mesyuarat).

"Walaupun telah dinasihati supaya hadir dan saya sendiri menghubungi Nasharudin Mat Isa supaya datang mesyuarat walaupun sanggup awalnya (untuk hadir), tetapi akhirnya tidak hadir," beritahu Mustafa dalam wawancara khas itu.

Ekoran beberapa tindakan dan kenyataan kedua-duanya sejak akhir-akhir ini Mustafa membuat kesimpulan mereka terperangkap dalam agenda musuh.

"Jadi sebab itu saya buat kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima dari pelbagai puhak samada sedar atau tidak kedua-dua mereka ini terperangkap dalam agenda musuh politik PAS, dan sebab itu ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS," katanya.

Ikuti pelbagai isu lagi yang dibangkitkan melalui wawancara penuh dengan Mustafa dalam Harakah cetak Sabtu ini.
Laporan- Harakahdaily

Altantuya: Pengurusan Kes Rayuan 10 Februari



Rayuan dua anggota polis yang disabitkan dengan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 Februari.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Azmi Kari menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dikemukakan kepada beliau hari ini.

Hadir pada prosiding itu ialah peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, dan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup bagi pihak pendakwaan. Hazman dan Kuldeep juga menyebut bagi pihak peguam Koperal Sirul Azhar Umar.

Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, setelah mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya.

mongolian woman bombed altantuya 081106Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari.

Kedua-dua mereka, yang merupakan komando dalam pasukan elit Unit Tindakan Khas, kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, didakwa bersubahat dengan kedua-dua tertuduh itu dalam kes pembunuhan Altantuya. Dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008, tanpa dipanggil membela diri.

Hazman memberitahu pemberita hari ini bahawa rekod rayuan mengandungi 65 jilid dan tiga jilid adalah asas penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Azilah dan Sirul memberi keterangan ketika membela diri, dengan Azilah memberi keterangan dari tempat duduk saksi manakala Sirul pula berbuat demikan dari kandang tertuduh.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh itu hanyalah "penafian dan menyalahkan satu sama lain."


Laporan- BERNAMA

Kemelut Langkawi : "Saya Bukan kaki gaduh" kata Awie


Selain terkenal dengan imej rocknya, vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman sering kali dikaitkan dengan isu pergaduhan.
Terbaru, penyanyi ini dikhabarkan bergaduh di sebuah kelab di Pulau Langkawi.

Pelbagai versi mengenai hal pergaduhan ini telah dibuat tanpa mendapat tahu cerita sebenar daripada empunya tubuh.

Zass berkesempatan menemui pelakon teater Cuci The Musical ini semasa sidang media Konsert Awie & Ella di Istana Budaya bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.

Mengaku terlibat dalam pergaduhan yang dinyatakan, Awie bagaimanapun menafikan pergaduhan yang berlaku sangat teruk sehingga menyebabkan terdapat kesan lebam pada tubuhnya.

“Hal ini terjadi pada 22 November lalu apabila saya dan tiga rakan lain bercuti ke Pulau Langkawi. Saya tidak nafikan saya ada terlibat dengan pergaduhan di sebuah kelab di sana.

“Ingin saya nyatakan di sini, semua laporan yang keluar sebelum ini adalah tidak benar dan berupa fitnah semata-mata. Bukan saya yang mula mencari pasal dengan mereka,” katanya.

Penyanyi Iris ini juga memberitahu, punca pergaduhan berlaku kerana beberapa pengunjung di situ yang ingin merakamkan gambarnya di kelab.

Bagaimanapun, Awie menolak permintaan mereka secara baik dan memberitahu mereka boleh mengambil gambarnya di luar kelab.

“Saya cuba bercakap baik-baik dengan mereka, namun permintaan saya tidak diendahkan.

“Sebagai artis, saya tahu cara untuk menjaga nama baik saya. Jadi, apa perlunya saya mencari pasal dengan mereka di sana kerana saya tahu saya berada di tempat orang.

“Mereka membangkitkan kemarahan saya adalah apabila cuba memprovokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak lalu membuatkan saya hilang sabar,” katanya.


Melibatkan orang kampung

Pergaduhan dalam kelab tidak terhenti di situ sahaja, apabila ia melibatkan penduduk kampung.

“Bayangkan, sebaik keluar daripada kelab itu, kira-kira 30 orang kampung menunggu untuk menyerang saya dan rakan-rakan. Selain itu, ada juga antara mereka datang membawa cangkul dan bertindak memecahkan cermin kereta sewa kami.

“Saya tidak faham motif mereka bertindak begitu. Sedangkan kunjungan saya ke situ bukannya untuk mencari masalah dengan sesiapa. Saya ke kelab untuk menikmati muzik bukannya menunjuk lagak seperti didakwa. Saya hanya mempertahankan diri pada malam tersebut,” katanya yang mempunyai sebidang tanah di pulau tersebut.

Sementara itu, penyanyi berusia 43 tahun ini memberitahu, pergaduhan tersebut segera dileraikan apabila pihak polis datang ke tempat kejadian.

Menurut Awie, kedua-dua pihak bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.

“Saya ke sana untuk memaklumkan kepada pihak polis apa yang berlaku, namun tiada sebarang laporan dibuat baik daripada pihak saya dan juga pihak yang satu lagi.

“Diharap selepas ini, tiada lagi spekulasi yang timbul berkenaan isu tersebut,” katanya.

Kurang senang apabila dilabel sebagai kaki pukul, Awie menegaskan tindakannya selama ini adalah lebih kepada untuk melindungi diri.

“Segala yang berlaku ada sebabnya. Bukannya saya suka-suka untuk bergaduh. Namun, sebagai lelaki, apabila kita berasa tidak selamat dan rasa dihina, secara spontan kita akan cuba melindungi diri sendiri.

“Sebelum ini pun, sudah banyak pergaduhan yang berlaku melibatkan saya. Namun, semuanya adalah untuk mempertahankan diri saya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, sebuah blog hiburan melaporkan kunjungan Awie ke Pulau Langkawi adalah untuk menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).


Oleh : NURUL NAZRAH NAZARUDIN H.sinar

Apakah Benar Zuraida Kamaruddin Jual Tanah Kubur ???



Ahli parlimen PKR Ampang cabar ketua Umno cermin muka


Bagaimanapun, Ismail membalas dengan meminta pemimpin pembangkang itu memberikan bukti.
PETALING JAYA: Banyak masalah di Ampang  yang ditinggalkan BN telah berjaya diselesaikan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat, kata ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Zuraidah yang kali pertama menjadi ahli parlimen Ampang mendakwa masalah-masalah di Ampang dilakukan oleh ketua Umno bahagian Datuk Ismail Kijo.
“Baru tiga tahun menjadi wakil rakyat, kami  telah menyelesaikan masalah-masalah yang gagal dibuat oleh ketua Umno Ampang,  Datuk Ismail Kijo.
“Ismail menjadi Adun Lembah Jaya selama tiga penggal tetapi meninggalkan najis-najis (kotoran).
“Sepanjang sembilan tahun pentadbirannya, beliau dan Umno Ampang tidak lebih hanya menambah masalah kerana mereka mendahulukan kepentingan peribadi dan memburukkan lagi keadaan sehingga membebankan rakyat.
“…tanah kubur dikebas, sekolah agama digadai, peniaga Melayu ditipu dengan projek water front, masalah setinggan, masalah sijil kelayakan menduduki flat kos rendah, pampasan setinggan Sungai Purun, Berembang, Kampung Perak dan sebagainya,” katanya dalam respons kepada dakwaan Ismail semalam  yang mengatakan Zuraidah dan Adun Bukit Antabangsa Azmin Ali tidak melakukan apa-apa di Ampang.

`Kubur mana?’
Zuraida yang juga ketua Wanita PKR meminta Ismail mencermin muka dan mengukur baju di badan sendiri.
Ketika diminta mengulas dakwaan tersebut, Ismail berkata, beliau mencabar pemimpin wanita PKR itu menunjukkan bukti beliau melakukan perkara-perkara tersebut.
“Tanya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sekolah agama rakyat mana yang saya jual?
“Kubur mana yang terjual? Berapa juta, siapa yang beli? .
“Mana satu setinggan yang tidak dapat duit. Tunjukkan bukti.
“Saya nak tanya, bolehkah wakil rakyat jual tanah orang?” katanya ketika dihubungi hari ini.
Oleh Muda Mohd Noor FMT