Pages

Sunday, December 11, 2011

Cita Cita PAS Hanya Mahu Menjadikan Rakyat Sebagai Tuan Pada Negara Ini



Negara Berkebajikan : Pas mahu rakyat menjadi tuan


SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.


Laporan- Muhammad Faizal Harakahdaily

Anwar Mahu Kehadiran Blogger Di Scorpene Disiasat



Tindakan Kementerian Pertahanan membenarkan seorang penulis blog untuk menaiki kapal selam Scorpene mungkin menjejaskan keselamatan negara, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Blogger berkenaan yang menulis dengan nama samaran Papagomo, bagaimanapun tidak menyertai ketika KD Tun Razak membuat selaman membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang timbalannya - Datuk Mansor Othman dan P Ramasamy - di Langkawi Jumaat lalu.

pakatan ceramah shah alam 041211 anwarWalau bagaimanapun, menurut Anwar kehadiran penulis blog pro-Umno di kapal selam Scorpene itu mungkin telah menyebabkan keselamatan negara dikompromi.

Sejak dua hari lalu, Papagomo telah menulis di blognya bahawa beliau adalah "blogger pertama belayar di atas kapal selam Scorpene KD Tun Razak".

Dalam pos blognya semalam, beliau mengakui berada di kapal selam itu selama kira-kira lima jam, dan telah menemubual anak-anak kapal perkara-perkara berhubung kapal selam berkenaan yang dipercayai adalah rahsia negara.

Sambil memidas, penulis blog yang disifatkan oleh Anwar sebagai tali barut Umno, katnya, mereka bertindak seolah-olah tidak perlu mematuhi mana-mana undang-undang negara.

Anwar yang juga ketua umum PKR berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam amal parti itu di Straits Quay Pulau Pinang, malam tadi.


Apabila diberitahu bahawa wartawan, selain wartawan Bernama danTV3, media lain dihalang daripada menyertai rombongan itu, Anwar berkata perkara itu membuktikan kata-katanya bahawa ada orang yang di atas undang-undang".

"Semua serangan keji yang dilakukannya (Papagomo) ke atas orang lain kerana sedar dirinya di atas undang-undang," kata Anwar.

Justeru, kata Anwar, kehadiran Papagomo di sekitar kapal selam berkenaan merupakan satu isu penting bagi pihak pembangkang ketengahkan kerana keselamatan negara mungkin telah terjejas.

Beliau mendesak pihak polis supaya segera menyiasat perkara itu.


Laporan- malaysiaKini