Pages

Sunday, December 4, 2011

Benarkah Internet Tanpa Wayar Jejaskan Kualiti Sperma?


 

CORDOBA - Adakah menggunakan komputer riba dengan sambungan Internet tanpa wayar akan menjejaskan peluang tiga perempat daripada golongan lelaki untuk menjadi bapa?
 
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Conrado Avendano dari Nascentis Medicina Reproductive di Cordoba mendapati penggunaan komputer riba bersama sambungan Internet tanpa wayar dan diletakkan berhampiran organ pembiakan lelaki sebenarnya boleh mengurangkan kualiti sperma mereka.
 
Ini kerana berdasarkan kajian yang dilakukan menunjukkan sambungan Internet tanpa wayar menghasilkan sinaran gelombang elektromagnet yang mampu memusnahkan sel sperma di dalam organ pembiakan lelaki.
 
“Penggunaan sambungan Internet tanpa wayar ini juga tanpa disedari boleh menyebabkan kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sperma,” menurut Avendano lagi.
 
Bagaimanapun, Persatuan Urologi Amerika Syarikat menyatakan impak penggunaan alat teknologi moden terhadap tahap kesihatan masih samar-samar sebaliknya gaya hidup sihat lebih memainkan peranan penting untuk menentukan kesuburan seseorang individu.

Laporan- H.sinar

Sumpah Laknat: Najib VS Mona Fandey



Bolehkah diterima sumpah laknat Najib ?


Kalau dengan sumpah laknat boleh menegakkan kebenaran, Mona Fandey pun mahu bersumpah.


Mendengarkan ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno malam tadi akhirnya membuatkan saya tercari-cari kesimpulan dalam satu perkara yang disebut beliau.

Oleh kerana malam tadi sekali lagi beliau menyentuh sumpah laknat menafikan samada beliau mengenali, mengetahui atau penglibatan beliau dengan kes pembunuhan mendiang Altantuya Shariibuu, di sebuah masjid sedikit masa dahulu, jadi saya cuba mencari kesimpulan dari sumpahannya itu.
Saya percaya bahawa selain saya, tentu ramai yang masih gagal menemukan jawapan samada untuk mempercayai sumpah laknat Najib ataupun cuma sekadar sumpah sesumpah.
Bagi merumus tindakan bersumpah laknat ini, ada beberapa perkara atau latar belakang yang perlu kita ketahui dahulu.
Pertama, kita tentulah sama-sama mengetahui bahawa Najib adalah seorang yang mampu memiliki hampir segala-galanya di dunia ini dan juga seorang yang paling berkuasa dalam negara ini.
Keduanya, pembaca harus tahu, sumpah yang dibuat oleh Najib itu merupakan penafian beliau samada mengenali, mengetahui mahupun terlibat sama dalam kes pembunuhan tersebut.

Hukuman mati
Pembaca juga harus mengetahui sekiranya mana-mana tertuduh yang didakwa di mahkamah dan didapati bersalah bukan sahaja akan kehilangan segala-galanya malah akan berhadapan dengan hukuman mati.
Sekarang, cuba anda bayangkan pula, katakanlah Ali misalnya atau pun sekiranya anda mahukan lebih ‘penghayatan’ bayangkanlah diri anda sendiri menghadapi situasi seperti itu.
Jika memang betul sekalipun anda telah membunuh atau sekurang-kurangnya bersubahat, sudah tentulah anda juga sanggup bersumpah laknat jika itu dapat menyelamatkan diri anda dari berhadapan kemungkinan dihukum mati.
Mudah bukan? Tidak perlu sampai ke mahkamah, hanya cuma dengan bersumpah di dalam masjid, junjung Al-Quran sudah memadai untuk bersihkan nama dan menyelamatkan nyawa anda dari berhadapan hukuman mati.
Ini soal nyawa anda, hidup dan mati anda, jadi mengapa tidak mahu bersumpah sekiranya dapat membersihkan nama anda dan menyelamatkan nyawa anda.
Agak-agak andalah, kalaulah individu Islam yang pernah terlibat dengan kes bunuh seperti Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi dan pembantu mereka, Juraimi diberi peluang mengangkat sumpah laknat dalam masjid sambil memegang Al-Quran.
Jika dengan cara itu dapat melepaskan mereka dari hukuman gantung sampai mati, maka saya percaya dan yakin dua ratus peratus mereka tak fikir panjang bersetuju mengangkat sumpah laknat di dalam masjid sambil menjunjung Al-Quran menafikan mereka telah membunuh seseorang.
Apa nak dihairankan sangat, malahan kalau nyawa anda boleh diselamatkan dengan hanya satu-satu syarat yang ada iaitu berlari berbogel keliling kampung pun, jangan temberanglah kata tak sanggup!
Itu cuma taraf orang-orang biasa yang kehidupan mereka kadang-kadang serba kekurangannya, jauh dari kemewahan dan kuasa pun tetap masih sayang untuk meninggalkan kehidupan di dunia ini.

Hidup mewah


Apatah lagi bagi seseorang yang kehidupannya penuh diuliti kemewahan, memiliki segala-galanya dan mempunyai kuasa pulak tu.
Sekali lagi saya nak cakap jangan temberanglah, hatta orang yang kehidupannya merempat sekalipun akan bersumpah laknat kalau berhadapan kemungkinan dihukum mati, apatah lagi bagi orang yang memiliki segala-galanya termasuk kemewahan dan kekuasaan.
Lainlah bagi Hambali @ Riduan Isamuddin atau bagi Amrozi, Mukhlas bersaudara dan Imam Samudra yang terlibat dengan pengeboman di Bali pada 2002 lalu.
Orang seperti mereka ini memiliki semangat dan iktikad yang luar biasa, mencintai kematian yang mereka yakini sebagai syuhada dan semestinya sangat jauh berbeza dengan manusia yang mencintai kehidupan duniawi ini.
Bagaimana pula dengan sumpah seseorang yang bukan sahaja dibayar malah menerima tekanan dari mana-mana pihak supaya bertindak sesuatu dan bersumpah?
Dalam hal ini, saya percaya ia banyak bergantung kepada kepercayaan atau kekuatan pegangan agamanya, keperibadiannya dan sejauh mana dia dapat diyakinkan bahawa dengan bersumpah laknat tidak akan mempengaruhi kehidupannya.
Mungkin juga ayat seperti, “alaa nanti lepas kau bersumpah laknat, kau boleh taubat la sungguh-sungguh, Tuhan itu kan maha pengampun” sesuai untuk meyakinkan seseorang untuk bersumpah laknat.
Begitulah serba sedikit analisa sumpah laknat yang saya kira bukanlah satu cara terbaik untuk seseorang menegakkan kebenaran.
Bagi manusia yang mempunyai akal tentu akan bersetuju untuk menegakkan kebenaran, adalah jauh dari memadai dengan hanya bersumpah laknat di masjid dengan menjunjung Al-Quran, tetapi haruslah ditentukan oleh mahkamah yang adil.
Sedikit sebanyak dari analisa tentang kebenaran sumpah tadi, sama-sama kita boleh menilai adakah sumpah laknat Najib itu boleh dipakai ataupun sekadar sumpah oleh sesumpah.
Akhir sekali perlu saya jelaskan, saya hanya mengajak pembaca menganalisa sejauh mana sumpah laknat Najib itu boleh dipakai.
Jauh sekali cuba mengaitkan beliau dengan mana-mana kes berprofail tinggi, sebab saya tahu beliau adalah seorang lelaki yang baik dan seorang suami yang taat…..
* Penulis merupakan seorang penulis bebas. Artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com

Ikhwan Muslimeen Menang Besar Di Mesir



Parti Islam capai kemenangan besar menurut perangkaan terkini

KAHERAH: Keputusan awal pilihan raya pertama Mesir selepas revolusi menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan termasuk parti Salafi, dengan parti sekular berdepan kekalahan di banyak kawasan.

Perangkaan awal di kawasan yang mengundi di negara itu pada Isnin dan Selasa lalu, mengesahkan ramalan awal parti Islam akan menang sekurang-kurangnya dua pertiga daripada undian.
Di Port Said, gabungan parti Islam diketuai pergerakan yang pernah diharamkan, Ikhwanul Muslimin, memperoleh 32.5 peratus undian manakala parti Al-Nur mendapat 20.7 peratus, lapor akhbar Al-Ahram. 

Parti Wafd yang berfahaman liberal mendapat 14 peratus manakala satu lagi parti Islam, Al-Wassat, mencatatkan 12.9 peratus, menurut akhbar itu. 

Di selatan daerah Laut Merah, parti Ikhwanul Muslimin memenangi 30 peratus undian manakala gabungan sekular Blok Mesir memperoleh 15 peratus. 

Keputusan penuh pada awalnya dijadual disiarkan Rabu lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali. Suruhanjaya Pilihan Raya berjanji petang kelmarin pada sidang akhbar yang huru hara untuk menyiarkan ia di laman web mereka. 
Ada juga peluang bagi pergerakan sekular yang memainkan peranan dalam menumbangkan pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun Februari lalu selepas 178 hari mengadakan tunjuk perasaan. 

Ia bagaimanapun dibayangi Ikhwanul Muslimin yang lebih teratur, amat dikenali penduduk Mesir kerana berdekad menjadi pembangkang kepada rejim Mubarak dan kerja kebajikan dan sosial yang menggalakkan. 

Seorang calon liberal, Mohammed Abdel Ghani, memberitahu akhbar Al-Shorouq pergerakannya perlu berdepan dengan propaganda parti Islam yang menyatakan calon bukan parti Islam adalah kafir. 

Di Kaherah, bintang pergerakan itu, Amr Hemzawi, memenangi kerusi di daerah Heliopolis tetapi di tempat lain, tokoh revolusi terpaksa bergelut untuk menang. 

Di Dataran Tahrir, penunjuk perasaan kembali minggu lalu untuk membantah pemerintahan tentera yang mengambil alih teraju pemerintahan selepas Mubarak meletak jawatan tetapi bilangan berkurang kepada beberapa ratus saja semalam. 

Menurut laporan akhbar Al-Masri Al-Yum, tiada calon wanita terpilih dalam pusingan pertama, dengan penyampai televisyen, Gamila Ismail, aktres Tayssir Fahmi dan calon Wafd, Nihal Aahdi, semuanya tersingkir. 

Aahdi memberitahu akhbar itu kegagalan calon wanita kerana parti berasaskan agama menguasai masyarakat Mesir dan Ikhwanul Muslimin dan Salafi menguasai keputusan undian. 

Ia cuma fasa pembukaan pilihan raya Parlimen yang dijalankan dalam tiga tahap tetapi keputusan menunjukkan aliran politik yang akan membentuk peralihan negara itu kepada demokrasi. 

Bagi Dewan Parlimen, seluruh negara akan mengundi dalam dua tahap lagi lewat bulan ini dan Januari. Dewan Negara kemudian akan dipilih menerusi tiga tahap.

Laporan – AFP 

Parti Islam PJD Menang Pilihanraya Morocco

Tahniah kepada parti islam Morocco


KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS turut mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang dilaporkan memenangi jumlah terbesar kerusi dalam pemilihan parlimen Morocco.

"PAS mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan Morocco yang telah berjaya memenangi pilihan raya di negara itu yang diadakan Jumaat lalu.

"Kita melihat kemenangan yang ditempa parti berteraskan Islam ini sebagai petanda positif rakyat yang kini mahu berubah untuk menerima parti Islam sebagai pemerintah," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Seorang tokoh berpengaruh parti Islamik moderat Morocco itu, Lahcen Daodi mendakwa, berdasarkan laporan yang disampaikan mereka memenangi pilihan raya di Rabat, Casablanca, Tangier, Kenitra, Dijual, Beni dan Sidi Ifni Mellal dan beberapa tempat lainnya.

"Parti kami telah memenangi jumlah kerusi tertinggi," tambahnya.

PJD ini akan menjadi parti Islam moderat yang kedua yang memimpin pemerintah Afrika Utara sejak awal pemberontakan Musim Semi Arab menyusul Tunisia.

Keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan bagi pilihan raya kali ini adalah 395 kerusi parlimen dan PJD didakwa memenangi lebih separuh darinya.

Harakahdaily