Pages

Thursday, November 24, 2011

Kalah Dengan Syria, Sultan Pahang Perlu Letak Jawatan ??



RIUH rendah kemenangan di Sukan SEA yang baru lepas masih belum habis, sekilas dipandang macam orang yang menang Piala Dunia, walhal pingat emas Sukan SEA saja pun, pingat Olimpik pun bukan.
Dalam hiruk pikuk itu, Malaysia kalah dengan Syria dalam pertandingan kelayakan Olimpik London 2012.  Siapa pun tidak bercakap mengenainya, maksud penulis dari sebab musabab kalah walhal perlawanan ini penting dalam memastikan negara kita kekal bersaing dengan negara-negara lain di pusingan kedua kelayakan zon Asia ini.

Setakat yang penulis baca dalam akhbar dan dengar di radio, semuanya seakan membaca skrip yang sudah tersedia, ayat-ayat seperti keletihan, tidak cukup rehat dan sebagainya yang jadi halwa mata dan telinga.
Penulis melihat beginilah, pertandingan bolasepak ini memang padat jadualnya dan pemain sudah sepatutnya bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi pertandingan yang mendatang.  Kalau diikutkan, apa bezanya lawan Indonesia di Jakarta hari Isnin dan Syria di Bukit Jalil pada Rabu dengan jadual pertandingan biasa Liga Malaysia?

Kadang-kadang dalam jadual perlawanan Liga diperlukan juga pasukan-pasukan bermain di Sabah dan Sarawak yang masa penerbangannya hampir sama dengan Jakarta dan Kuala Lumpur!!!
Apa yang penulis nak sampaikan, kepenatan dan alasan-alasan berkaitan yang diberikan itu bukanlah satu justifikasi yang kukuh untuk menafikan kelemahan pasukan negara sehingga tewas kepada Syria dalam saingan semalam.

Masalah sebenar di FAM ini ialah pengurusan paling tinggi yang tidak berubah dan masih mengekalkan mentaliti dan gaya pengurusan yang sama.  Selagi yang di atas tidak berubah, selagi itulah mutu bolasepak negara kita di takuk itu juga.

Dari gaya permainan semalam, pasukan bolasepak kita menonjolkan ‘kebiasaan’ kalau bermain dengan pasukan yang lebih tinggi tarafnya.  Antaranya ciri-ciri biasa’ itu seperti hantar tak sampai, kelam kabut depan gol, penyudah tumpul dan sebagainya.

Pendek kata, gaya permainan pasukan kita tidak pernah berubah, cuma ‘nampak’ berbeza bila bertemu dengan pasukan-pasukan tertentu.  Kalau pasukan lemah atau setaraf (seperti Indonesia), memang kita kelihatan hebat, cuba kalau berjumpa dengan pasukan yang sedikit atas atau jauh lebih hebat macam Jepun, nampak sangat setaraf budak-budak tadika!!

Dan perkara ini bukan baru, sudah berterusan sejak sekian lama, peliknya, tidak pernahkah sesiapa yang bertanya kenapa?  Pada hemat penulis mudah, apa yang yang tidak pernah berubah sejak Tan Sri Hamzah Abu Samah melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM pada pertengahan 1980-an?
Dapat jawab itu, dapatlah kenalpasti masalah sebenar yang menganggu dunia bolasepak negara kita.
Seperti mana keretapi juga, pergerakkan badan diketuai oleh kepala yang di depan.  Kalau kepala lurus, luruslah badan, kalau kepala bengkok masuk longkang, badan pun ke longkang juga.

FAM dan anggota gabungannya perlu berani mengubah keadaan ini daripada terus berlarutan.  Hari ini kita ada banyak GLC yang boleh ‘diarahkan’ untuk menaja pasukan atau liga tempatan kita kalau dah tiada sangat syarikat swasta yang berani.

Zaman bergantung kepada kedudukkan dan personaliti tertentu untuk mendapatkan penajaan sudah berlalu, orang biasa pun boleh jadi Presiden FAM, asal saja tahu selok belok mengurus persatuan bola.

Bukan sekadar berharap pada 2 Timbalan Presiden (salah satu anaknya juga), untuk menjalankan persatuan sementara diri sendiri ternampak hebat dengan jawatan tapi hasilnya bak kata orang Negeri Sembilan, ’hampeh’.

 -  Dipetik Dari Suara Pakatan Rakyat  -

Zahid Hamidi Hampir "Maut"





Jangan sabotaj calon seperti pilihanraya lalu


Unsur sabotaj seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lepas perlu dihentikan bagi memastikan calon yang ditampilkan Umno untuk bertanding pada pilihan raya ke-13 menang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Sambil menegaskan Umno perlu berada dalam keadaan "cacat sifar" sebelum pilihan raya umum, beliau berkata perbuatan sabotaj boleh dihindari sekiranya setiap anggota Umno bersatu padu dengan segera menyelesaikan setiap permasalahan di peringkat cawangan dan bahagian.
    
Bercakap dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, yang akan diadakan minggu depan, di ibunegara hari ini, Ahmad Zahid berkata memegang jawatan tinggi di mana-mana peringkat bukan jaminan bagi individu itu dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.
    
"Namun yang agak menggusarkan kepimpinan atasan adalah permasalahan dari segi kepimpinan di peringkat bahagian yang istilah politiknya dipanggil warlord (hulubalang) yang mahu terus memberikan penekanan bahawa mereka telah mengasah pedang begitu lama... hendak tajamkan (memperkukuhkan) kuasa dan mencengkam pengaruh di kawasan masing-masing, maka akan berlakulah masalah 'intra-party'.
    
"Kalau tiada tentera di belakang, hanya kita sebagai jeneral (sahaja) yang ada pedang yang tajam, kita akan kalah dalam perang. Oleh sebab itu kita perlu mempunyai bala tentera yang berada di belakang dan mendapat sokongan semua," katanya.
    
Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata perkara itu adalah antara mesej penting yang akan disampaikan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2011, yang bermula Selasa depan.
    
"Ini memandangkan pengalaman kita pada pilihan raya umum ke-12 memperlihatkan bahawa permasalahan dalaman yang tidak diselesaikan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan banyak calon Umno dan Barisan Nasional (BN),"
katanya.
    
Katanya satu kajian akademik mendapati pemilihan calon yang baik mampu menyumbang sebanyak 31 peratus kemenangan parti manakala jika permasalahan dalaman dapat diselesaikan, ia boleh menyumbang lebih daripada 50 peratus.
    
Naib Presiden Umno itu menegaskan selain perlu memberi sokongan padu pada calon yang dipilih pucuk pimpinan, anggota parti hendaklah melupakan segala kepentingan peribadi bagi memberi kemenangan kepada calon.
    
"Saya hampir pasti Presiden dan Timbalan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tentunya akan memberi penekanan bahawa kita tidak boleh berkompromi dengan aspek kekalahan mana-mana calon hanya disebabkan oleh masalah yang tidak dirungkaikan di peringkat bahagian," katanya.
    
Ahmad Zahid berkata anggota parti juga perlu melipatgandakan usaha untuk menawan negeri yang dikuasai pembangkang - Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang - serta kembali menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
    
Mengenai Perhimpunan Agung Umno, beliau berharap para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan menekankan tentang perpaduan, usaha-usaha yang dijalankan kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) bagi difahami anggota parti dan sekaligus dapatmenerangkan kepada kumpulan sasar iaitu pengundi baru.
    
Kepada soalan mengenai pengaruh yang dimainkan media baru seperti blog, Twitter dan Facebook, Ahmad Zahid berkata pada pilihan raya umum yang lepas, media baru itu dilihat penyumbang terhadap penolakan rakyat terhadap calon BN.
    
"Media sosial telah menjadi satu faktor yang menyumbang kepada hakisan pengaruh politik kerana media sosial adalah satu pengantara media yang dianggap cukup berwibawa sehingga meminggirkan media arus perdana.
    
"Pihak antagonistik mengambil peluang kredibiliti media sosial tetapi selepas berada di khalayak lebih lima tahun, banyak maklumat dalam media sosial tidak mencapai tahap kredibiliti dan tidak berdasarkan fakta tetapi lebih kepada spekulatif, imaginatif dan hentam keromo menyebabkan kredibiliti pengamal media sosial menurun," katanya.
    
Beliau berkata inisiatif Perdana Menteri mewujudkan blog serta mempunyai akaun Twitter serta Facebook adalah tepat bagi menarik sokongan rakyat termasuk golongan belia yang mudah terdedah dengan pelbagai maklumat tidak tepat di Internet.
    
Menyentuh hasrat pembangkang untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya umum, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata ia adalah sesuatu yang baik.
    
"Ini kerana ia akan memberi kelebihan kepada BN. Apabila semua pilihan raya di setiap negeri selesai, kita akan memberi tumpuan penuh kepada negeri yang dikuasai pembangkang dan sekaligus merampas semula negeri tersebut.
    
"Saya tidak fikir mereka akan menang kerana kebanyakan janji mereka dalam manifesto 2008 gagal ditunaikan dan rakyat tidak boleh lagi dibutakan dengan janji retorik mereka," katanya.


-BERNAMA


p/s..maklumat dari kawasan zahid sendiri di Perak mengatakan banyak janji janji pilihanraya lalu tidak di tunaikan olehnya.


Anda boleh saja pergi bertanya pada 'orang kanan' zahid di kawasannya.