Pages

Tuesday, November 22, 2011

Peminat saksi perlawanan Malaysia-Indonesia, maut diserang sakit jantung


YAN - Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang mendebarkan antara Malaysia dan Indonesia di sebuah kedai makan di Guar Chempedak dekat sini malam tadi.
  
Ahmad Fauzi Ismail, 42, dikatakan pengsan di situ pada 10.50 malam semasa ramai pelanggan menonton perlawanan bola sepak itu sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans 10 minit kemudian.
  
Dia dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan.

Pembantu kedai makan itu, Hasli Ishak, 29, berkata Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai itu.
 
 "Dia datang pada 8.30 malam dan makan nasi lebih kurang 10.30 malam, dan waktu dia  makan, saya tengok dia pun pelik sikit sebab nampak pergerakan dia suap nasi pun perlahan lain berbanding sebelum ini," katanya.

Hasli berkata bahawa pada 10.50 malam, Ahmad Fauzi pengsan atas kerusi dan tubuhnya kelihatan pucat.
  
"Kami menghubungi hospital dan dalam pukul 11 malam ambulans sampai," katanya.
  
Kakak ipar Ahmad Fauzi, Nafishah Jusoh, 46, berkata dia mengetahui tentang kematian adik iparnya itu menerusi panggilan telefon daripada abang Ahmad Fauzi yang tinggal di Kuala Lumpur setelah dimaklumkan oleh rakan Ahmad Fauzi.
  
Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan adik iparnya itu pada 11 pagi semalam yang mengadu tidak sihat dan memohon supaya menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
  
Nafishah berkata bagaimanapun adik iparnya itu menangguhkan hasrat bagi mendapatkan rawatan di  hospital kerana ingin menonton perlawanan itu terlebih dahulu.
  
"Dia memang peminat sukan terutamanya bola sepak dan tidak pernah melepaskan peluang menonton sebarang perlawanan bola sepak. Dia beritahu saya dia akan terus ke Hospital Yan sebaik sahaja tamat perlawanan bola namun dia meninggal dunia ketika belum sempat menyaksikan kemenangan pasukan negara," katanya.
  
Nafishah berkata Ahmad Fauzi, anak bongsu daripada empat beradik, menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
  
"Ahmad Fauzi memang kurang sihat sejak setahun yang lalu tambahan pula dia tinggal seorang diri sejak kematian ibu mentua saya, Faridah Mustafa, dua tahun lalu," katanya.
  
Beliau berkata bahawa berdasarkan laporan perubatan, Ahmad Fauzi meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
  
Malaysia mengalahkan Indonesia 4-3 menerusi tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 bagi mengulangi kejayaan meraih pingat emas yang dicapai pada Sukan SEA sebelum ini di Laos.

BERNAMA

Harimau Muda terima habuan RM30,000 seorang



KUALA LUMPUR: Pemain dan pegawai skuad Harimau Muda yang mempertahan pingat emas bola sepak Sukan SEA akan menerima RM30,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


BERNAMA

Anwar: Pakatan Rakyat tembusi kubu kuat Umno,Felda



JEMPOL 22 Nov: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat kini semakin bertapak kukuh di pedalaman khasnya kawasan Felda yang sebelum ini dianggap kubu kuat Umno-Barisan Nasional.
Dalam satu program ceramah di Gugusan Felda Palong di sini malam tadi, Anwar berkata, ia memberikan isyarat bahawa Pakatan Rakyat kini semakin hampir ke Putrajaya dan bakal menyingkirkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Ceramah berkenaan yang diadakan di Felda Palong 6, berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peneroka dari Gugusan Felda Palong.
Dalam ucapannya, Anwar melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa dan kehadiran ribuan peneroka Felda yang menandakan bahawa kubu kuat Umno di Negeri Sembilan itu berjaya ditembusi Pakatan Rakyat.
“Saudara dan saudari pada malam ini berjaya membuktikan bahawa akhirnya antara kubu Umno yang terkuat di Negeri Sembilan berjaya juga ditembusi.
“Saya percaya kebangkitan warga peneroka pada malam ini khususnya anak muda akan memberikan kemenangan kepada calon PR di Palong, Jeram Padang, Serting dan Jempol,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 peneroka Felda dari Gugusan Felda Palong.
Anwar dalam ucapan lebih sejam mengingatkan Umno-BN terhadap penyelewengan yang dilakukan Felda dan kegagalan parti itu membela nasib peneroka.
Felda kini berdepan saman dari ribuan peneroka dari Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Pahang ekoran penyelewengan yang dilakukan agensi itu terhadap hasil pendapatan peneroka.
“Nasihat saya kepada Umno, jangan berdendam, jangan balas dendam, jangan hukum orang apabila menyedari sokongan warga Felda kini mula berpihak kepada PR.
“Anda (Umno) harus persalahkan diri anda sendiri kerana gagal membela nasib warga peneroka Felda,” kata Anwar dan disambut dengan sorakan gamat daripada para hadirin.
Dalam program berkenaan Anwar turut menerima penyerahan borang kemasukan seramai 412 ahli baru KEADILAN dari Ranting Felda Palong 6; 105 ahli dari Ranting Felda Palong 4 dan 257 ahli dari Ranting Felda Palong 2.
Untuk rekod Gugusan Felda Palong mempunyai 16 Tanah Rancangan Felda bermula dari Felda Palong 1 dan berakhir dengan Felda Palong 16.
Beliau juga menyempurnakan pemberian Geran ‘Pengisytiharan Tanah Berkelompok Persendirian’ kepada 32 peneroka Felda Palong 8 yang mengusahakan penanaman semula getah dan kelapa sawit secara persendirian dan bukan melalui Felda.
Ketua Pembangkang itu turut menerima kemasukan 80 peneroka Felda Palong 8 yang menyerahkan Borang Permohonan Peneroka Generasi Baru.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23261

Bekas Pengarah Makan Rasuah Kena Penjara Dan Denda 150k



Bekas Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Zon Utara dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM150,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM15,000 dua tahun lepas.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan Mahmad Faisaal Fadzil, 54, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pindaan yang dihadapinya.
Bagi setiap pertuduhan, dia dihukum penjara tiga tahun namun diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.
Bagaimanapun, hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi denda RM150,000 diarah bayar pada hari hukuman diputuskan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Mahmad Faisaal didakwa meminta bagi diri sendiri wang tunai RM15,000 daripada Azmi Mohamad sebagai upah kononnya untuk menyokongnya sebagai pembekal benih berdaftar dengan lembaga itu pada 15 Jun 2009.
Selain itu, upah tersebut juga kononnya sebagai dorongan melantik Azmi untuk membekalkan benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Benih Nanas pada tarikh 9 Jun 2009 bernilai RM18,850 dan 22 Februari 2009 bernilai RM33,350 serta RM34,437.50.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 petang 21 Julai 2009.
Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada individu sama bagi tujuan dan dorongan serupa di CIMB Bank di 1583, Bangunan Tunku, Jalan Tunku Ibrahim di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari 22 Julai 2009.
KOSMO