Pages

Sunday, November 20, 2011

Rugi RM300 juta, Cityliner henti operasi di enam negeri bulan depan



KOTA BARU, 20 Nov — Konsortium Transnasional Bhd (KTB) mungkin menghentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-hentinya Cityliner di enam negeri bulan depan sekiranya tidak ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah syarikat yang mengalami kerugian itu.
Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang, melibatkan 80 laluan dan 400 buah bas.
Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata dengan kerugian kira-kira RM300 juta yang ditanggung kini, syarikat tersebut terpaksa bertindak begitu bagi mengelakkan daripada terus menanggung kerugian setiap tahun.
Dipetik Bernama Online, beliau berkata pihaknya juga belum menerima sebarang “hitam putih” dari pihak-pihak yang dikatakan berjanji mahu membantu menyelesaikan isu tersebut termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Tengku Hasmadi berkata pihaknya akan berunding dengan kerajaan Negeri Sembilan esok dalam usaha membantu pihak syarikat menyelesaikan isu itu.
“Begitu juga dengan kerajaan negeri Kelantan belum ada tindakan proaktif diambil... walaupun mereka pada dasarnya bersetuju membantu meringankan kerugian syarikat,” katanya.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada anak syarikat KTB, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK), yang mengendalikan perkhidmatan Cityliner di negeri itu bagi mengurangkan bebas kos operasi.
TMI