Pages

Thursday, November 3, 2011

Anwar Yakin Pakatan Rakyat Ambil Alih Putrajaya



Temubual Anwar bersama Bloomberg.com
KUALA LUMPUR 3 Nov: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bercakap dalam satu temubual dengan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar menjangka kemenangan Pakatan pada PRU 13 itu sebagai ‘kebangkitan Malaysia’.
“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam  temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.
Anwar memberitahu Bloomberg Pakatan bakal memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN termasuk di Johor dan Pahang, serta memperoleh kembali majoriti di lima negeri yang dimenangi pada 2008.
Selain itu beliau juga yakin Pakatan akan mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN.
Menurut Anwar, kebangkitan kuasa rakyat di Timur tengah kini sedang mara di Asia Tenggara menyaksikan perubahan politik di negara seperti Singapura dan Myanmar.
“Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu,”
“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.
“Harap-harap, kami akan melakukan (giliran) kami menerusi proses demoktratik yang aman,” katanya lagi dipetik The Malaysian Insider.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22568
Notakaki...Aura anwar kelihatan seperti menjelangnya Pru12 dulu.waktu itu rata rata ramai orang tidak percaya Anwar berkata Pakatan Rakyat sudah hampir menguasai Putrajaya.

Polis haramkan Seksualiti Merdeka



Timbalan Ketua inspektor-polis Khalid Abu Bakar telah mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka'.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Sungai Besi hari ini, Khalid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap program yang akan dijadualkan pada 9 hingga 13 November.

Katanya, pihak polis bertanggungjawab untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Khalid berkata, apabila terdapat ancaman kepada ketenteraman awam, maka pihak polis perlu mengambil sewajarnya."

Arahan itu tersebut datang dari pihak polis sendiri, tambah Khalid.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Ia dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Khalid berkata polis telah
mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran rogram itu termasuk Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.  

"Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A kta Polis untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu," katanya.
Beliau berkata undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan ongsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini. 

"Polis menerima banyak bantahan dari pihak Badan Bukan Kerajaan termasuk badan Agama Islam dan bukan Islam yang bimbang majlis ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan serta mengganggu ketenteraman awam," katanya.

malaysiaKini

Nasi lemak pun kontroversi



Masak nasi lemak pun kontroversi

Pertama kali melihat poster filem “Nasi Lemak 2.0” di pawagam, aku tertanya-tanya, siapakah dia Namawee? Kawan Cina aku pulak cuma cakap “dia ni cuba nak buat filem 1 Malaysia tapi timbulkan banyak kontroversi”. Aku sedari itu bila melihat adanya gambar Adibah Noor, Afdlin Shauki, David Arumugam dan Reshmonu dalam poster. Tapi bila diajak menonton filem itu, terus terang dia menolak menontonya di pawagam “alah, beli DVD aje nanti!”. Tapi ternyata filem ini tak dapat diketepikan begitu saja, apalagi bila ada berita-berita yang kononnya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan filem dan pengarahnya, Namawee.


Pertubuhan Gagasan Rakyat Negeri Perak telah membantah penayangan filem itu, yang dikhuatiri memberi kesan negative kepada golongan muda. Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengumumkan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem “Nasi Lemak 2.0” bolehlah mengemukan bantahan mereka kepada pihaknya untuk dinilai memandangkan kementerian itu bertanggungjawab dari segi penapisan filem melalui Bahagian Kawalan Filem KDN. Namawee, dikatakan pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia, menerbitkan video klip “Negarakuku” yang menghina lagu kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Kontroversi seterusnya melibatkan filem “Nasi Lemak 2.0″ yang bakal tidak menikmati insentif penolakan cukai sebanyak 20 peratus sebagaimana diterima oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain kerana filem tersebut gagal mendapat status Skim Wajib Tayang. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menjelaskan yang filem “Nasi Lemak 2.0” tidak layak mendapat status Wajib Tayang kerana pandangan prejudis terhadap Namewee yang merupakan pengarah dan pelakon filem tersebut. 

Walaubagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah memberikan sokongan beliau dan berkata “Nasi Lemak 2.0 adalah sebuah filem 1 Malaysia”.
Filem bergenre komedi yang dibintangi oleh Karen Kong, Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Nadine Ann Thomas, Adibah Nor, Pete Teo, Patrick Teoh dan Ho Yuhang ini telah berjaya mendapat kutipan RM4.5 juta selepas dua minggu tayangan. Ianya dibuat dengan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Sewaktu membeli DVD filem ini aku berkali-kali dipastikan “ini DVD original okay, bukan cetak rompak”. Ketika itu juga aku teringatkan filem “Sepet” arahan Yasmin Ahmad yang menampilkan watak sipenjual VCD cetak rompak di pasar malam. Yang menariknya, filem ini bukan saja dilakonkan oleh kalangan pelakon-pelakon yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, seperti Pete Teoh, Ho Yuhang dan Adibah Noor, filem ini juga bijak mengundang penaja korporat seperti Canon, talipon HTC, minuman beer Tiger serta imej kapalterbang AirAsia. Pendekata, filem yang masih dikategorikan sebagai filem Indie Malaysia ini sudah bijak berkolaborasi dan mendapat pendanaan dari pihak produk konsumer.

Sepanjang filem ini aku tercari-cari imej-imej yang menimbulkan kontroversi seperti yang diwar-warkan. Sebagai sebuah filem Malaysia yang banyaknya menggunakan bahasa Cina dalam pelbagai dialek, walaupun ada menyelitkan bahasa Tamil, Melayu dan pigeon English, pastinya filem ini telah diluliskan oleh Lembaga Penapisan Filem kerana mengikut garispanduan. Mungkin jika adapun imej yang mengganggu sesetengah pihak adalah adegan mabuk meminum tiga botol beer. Jika itulah yang dikontroversikan, kita sebenarnya telah lama dihidangkan dengan iklan-iklan minuman keras setiap kali menonton di pawagam. Maka garis panduan filem kita harus diperjelaskan.

Filem ini sebenarnya adalah sebuah “homage” kepada pembikin-pembikin filem multicultural Malaysia seperti P. Ramlee, Othman Hafsham, Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan Ho Yuhang. Filem ini juga boleh dilihat sebagai sebuah tribut untuk pembikin-pembikin filem independen Malaysia yang didahulukan dengan filem digital “Lips to Lips” arahan Amir Muhammad.

Selain filem-filem Yasmin Ahmad, filem ini seperti mempunyai hubungannya yang tersendiri dengan filem Stephan Chow dari Hong Kong, Jack Neo dari Singapura serta program masakan terkenal “Iron Chef”. Filem ini juga begitu dekat dengan filem-filem yang bersangkutan dengan makanan seperti “Papadom” oleh Afdlin Shauki serta karya terbaru Othman Hafsham, “Karipap-karipap Cinta”. Imej pahlawan Melayunya serta keperwiraan seorang pendekar juga dekat dengan imej Hang Tuah dan biskut bercokelat Kit Kat. Mungkin Namawee sendiri juga dekat dengan dunia pengiklanan seperti Yasmin Ahmad.

Filem “Nasi Lemak 2.0” ini mempunyai sebuah resipi genre “road movie” yang mencari sebuah kejayaan setelah menghadapi kegagalan hidup di dalam sebuah kehidupan berkareerkan sebagai seorang tukang masak, sekaligus mencari jati diri, siapa dirinya yang sebenar (merujuk kepada kewujudan kaum Cina di Malaysia).

Di sini “Nasi Lemak” bukan hanya menjadi ikon Malaysia, tetapi juga sebagai metafor jati diri bangsa Malaysia, bukan hanya sekadar makanan orang Melayu. Malah nasi lemak itu sendiri juga dilihat sebagai sebuah ikon yang sememangnya beridentitikan multi-kultural Malaysia yang menggabungkan budaya India, Cina dan Melayu.

Apa yang menarik di dalam filem ini bukan hanya pencarian diri dalam Hero Huang sendiri, tetapi juga watak Anak Angkat yang dilakonkan dengan baik sekali oleh Karen Kong serta watak Gong Xi Ning, mak saudaranya. Yang paling jelas adalah pencarian pemenang peraduan masakan untuk menjadi tukang masak di Restoran Gong Xi. Pengarahnya, Namawee, begitu pandai menyelitkan komentar-komentar semasa ke dalam filem ini, seperti adegan wanita upahan untuk memabukkan ayah Karen Kong, Gong Xi Fa, seterusnya menimbulkan skandal seks yang dirakam di dalam video dan dimuatkan ke dalam YouTube dan kemudiannya dinafikan bulat-bulat, adegan Nyonya Baba yang dimasukkan ke dalam genre filem komedi seram, serta komentar tentang lelaki Melayu-Muslim yang tinggal serumah dengan keempat-empat isterinya.

Pendekata, kita tidak jemu menonton dari satu adegan ke adegan yang lain, walaupun tidak mampu untuk ketawa.

Jika benarlah filem ini adalah sebuah filem multi-kultur Malaysia atau diwar-warkan sebagai 1 Malaysia, siapakah yang sebenarnya yang menimbulkan kontroversi dan kenapakah hal-hal sedemikian masih terjadi di dalam industri filem.

Zubin Mohamad

Mana Profesionalisma JAIS: Jagalah Agama Bukan Tangkap Pendakwah



1. Terkilan benar perasaan saya apabila terpampang wajah sdr Bob Lokman di dada akhbar sebagai orang yang dikehendaki oleh JAIS untuk ditangkap malah waran tangkap telah pun dikeluarkan, sebagaimana terkilannya saya apabila pihak Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr. Abd Aziz Bari baru - baru ini. Apakah telah hilang budi bicara sang penguasa dalam negara ini ? Asal sahaja kuasa di tangan, biarpun hanya sekelumit dan sementara maka rakusnya tak ubah seperti mereka berkuasa selamanya.

2. Saya tahu, "dosa" Bob Lokman ialah kerana menyampaikan ceramah atau tazkirah tanpa tauliah. Begitulah peraturan yang ada. Mengajar tanpa tauliah itu salah menurut peraturan yang dikeluarkan oleh pihak JAIS. Saya tidak mahu mempersoalkan peraturan tersebut kerana asasnya peraturan itu dibuat adalah untuk mengawal penyebaran dan kesucian agama Islam.

3. Persoalan yang mahu saya tegaskan di sini ialah dimana budi bicara JAIS ? sebagaimana JAIS menggunakan budi bicaranya untuk tidak menyerbu masuk DUMC tempohari walaupun mereka bertindak dari maklumat yang dilaporkan dan saya menyokong langkah tersebut,  maka kemana pula perginya budi bicara itu terhadap Bob Lokman ?

4. Bob Lokman seorang artis dan seleberiti yang baru berhijrah, menjalani kehidupan barunya bersama jamaah Islam. Saban minggu Bob Lokman menyertai usrah dan majlis ilmu. Lebih menarik, sedikit ilmu yang beliau perolehi maka segera disebarkan melalui kemahirannya berkomunikasi dengan audien. Kini Bob Lokman berjaya menarik minat anak - anak muda kepada majlis ilmu dan berjuang bersama jamaah Islam.

5. Malangnya, semangat beliau untuk aktif menuntut dan menyampaikan ilmu terganggu ekoran tindakan JAIS. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Bob Lokman sendiri betapa beliau turut sedih kerana sepanjang beliau berada dalam dunia artis dan hiburan, beliau tidak pernah diancam dan rasa terancam oleh mana - mana pihak berkuasa khasnya pihak berkuasa agama. Tetapi, apabila beliau mula mahu berubah, menuntut ilmu dan menyampaikannya serba sedikit apa yang beliau tahu, kini beliau berdepan dengan ancaman JAIS yang telah pun memiliki waran untuk menangkap beliau.

6. Dosanya hanya kerana tidak mempunyai tauliah. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, apakah tiada budi bicara JAIS terhadap Bob Lokman untuk menyelesaikan perkara ini tanpa perlu memburu dan menangkapnya seperti penjenayah ?

7. Tujuan tauliah ialah untuk mengawal kesucian agama islam agar tiada pembawa ajaran sesat bebas menyampaikan ajarannya. Justeru itu, alangkah baik jika pihak JAIS memanggil atau menyiasat terlebih dahulu, apakah Bob Lokman terlibat dalam aktiviti ajaran sesat ? apakah penyampaian Bob Lokman bertentangan dengan ajaran Islam ? Jika tidak, maka kesalahan tidak memiliki tauliah itu bolehlah diselesaikan secara lebih baik dan harmoni tanpa perlu menangkapnya laksana seorang penjenayah.

8. Saya menggesa agar pihak JAIS lebih mesra pendakwah dan mencari jalan bagaimana mekanisme pemberian tauliah itu dapat dilakukan dengan baik dan berkesan . Jika mereka didapati salah dalam penyampaian dan tidak menepati peraturan yang ada, pihak JAIS boleh mendidik dan membimbing atau memberi nasihat dan tunjuk ajar. Saya menegaskan perkara ini kerana melihat kepada realiti yang dihadapi oleh ummat Islam hari ini yang sangat memerlukan pendakwah dan pembimbing untuk mengeluarkan mereka dari kepungan jahiliah moden yang semakin meruncing dan mengelirukan sehingga nilai akhlak, moral dan aqidah ummah kian luntur.

9. Bayangkanlah keadaan ummat Islam di negara kita sekarang ! Sudahlah mereka berdepan dengan pelbagai ancaman yang merosakkan nilai ilmu, agama dan iman mereka, kini mereka terus terasing dan semakin sulit untuk mendekati kehidupan beragama. Masjid sepi tanpa majlis ilmu sementara pendakwah ditangkap. Lebih malang pemburunya adalah Jabatan Agama sendiri. Bagaimanalah kita mahu melahirkan masyarakat yang solehah dengan rakyat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt ?

10. JAIS selayaknya menjadi penaung kepada kegiatan ilmu dan agama, bukan pengancam dan pengugut sehingga menakutkan orang mahu menyampaikan Islam sedang Nabi saw mengajar kita semua menyampaikan ilmu Islam ini walaupun satu ayat ! Saya cadangkan agar JAIS mengambil tindakan segera lalu menganugerahkan tauliah secara menyeluruh kepada para pendakwah yang gigih dan benar ilmu mereka.

"Lebih merugikan kalau ada yang memiliki tauliah tetapi hanya diam di pejabat berhawa dingin. Segan dan malas untuk turun ke masjid surau bagi mendidik dan membimbing ummah. Lebih memilukan apabila pihak Jabatan Agama Islam hanya peka menghidu kegiatan pendakwah dan penceramah tanpa tauliah sekalipun nun di masjid hujung kampung sedang mereka gagal mengesan pelbagai kemaksiatan dan kemungkaran yang wajib dicegah sekalipun hanya di sebelah pejabat mereka."

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pejabat akhbar sindir Nabi Muhammad dibakar



PARIS - Bangunan ibu pejabat sebuah syarikat akhbar yang sering menampilkan isu-isu menyindir di Perancis dibakar dan mengalami kerosakan teruk.

Kebakaran itu berlaku selepas akhbar tersebut menyatakan bahawa Nabi Muhammad menjadi editor undangan.
Menurut seorang pegawai polis, kebakaran itu berlaku pada lewat malam kelmarin di akhbar Charlie Hebdo dan puncanya masih tidak diketahui.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Pengarah akhbar tersebut yang menggunakan nama Charb memberitahu stesen televisyen BFM, banyak kerosakan yang berlaku termasuk maklumat di dalam komputer musnah.

Kakitangan akhbar tersebut berkata, mereka menerima banyak ancaman akibat cerita Sharia Hebdo di akhbar tersebut yang merujuk kepada undang-undang Islam. - AP