Pages

Monday, October 31, 2011

Masalah Najib-Mat Yidin Macam Kartun CatDoG



JIKA hendak diberikan gambaran permasalahan dalam Umno hari ini, ianya tidak ubah macam rancangan animasi televisyen kartun CatDog. Ia hanya ada satu badan, tetapi ada dua kepala. Satu kepala cat (kucing) satu lagi kepala dog (anjing).

Dua-dua kepala ini punyai perangai, citarasa, pendekatan dan minat yang berbeza, sehingga sering bercanggah antara satu sama lain. Tetapi tiada pilihan kerana terpaksa berkongsi badan yang sama.

Badan yang dikongsi dan hendak dibawa adalah Umno, yang hayatnya sudah hampir sampai ke penghujung. cara mana hendak bawa Umno, pendekatan mana yang paling sesuai untuk menyelamatkan Umno daripada kepupusan.

Perbezaan ini semakin ketara dari hari ke sehari. Ianya umpama 'api dalam sekam' cuba dikambus media talibarut Umno-Barisan Nasional, namun ia tetap membara. 

Pertelagahan senyap di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semakin ketara dirasai dalam Umno, dirasai oleh pemimpin-pemimpin Umno di peringkat negeri dan sudah menjalar sehingga ke akar umbi

Masalah dan percanggahan wujud dalam banyak aspek. Terutama sekali dasar 1Malaysia dan pelbagai tindakan Najib mengetepikan hak Melayu dan kuota bumiputera, tidak disenangi Muhyiddin dan juak-juaknya kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. 

Malah media berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, yang khabarnya dikuasai kumpulan Muhyiddin, juga enggan memberi ruang kepada Najib, jika kenyataan PM itu dilihat merugikan orang-orang Melayu.

Antara masalah yang besar dihadapi Muhyiddin dan Umno adalah datangnya dari isteri PM sendiri. Dominasi Datin Seri Rosmah Mansor dalam banyak perkara, yang libatkan parti, kerajaan, projek dan media, amat-amat tidak disenangi mereka.

Ketidaksenangan ini disampaikan seorang kenalan lama bergelar Dato', dalam satu temu janji dengan saya di Bangsar Village baru-baru ini.

Tujuan pertemuan diadakan untuk beliau nyatakan pendapatnya tentang masa depan Melayu, yang katanya hanya akan dapat diselamatkan hanya jika PAS dan Umno boleh bekerjasama dalam hal-hal tertentu.

Saya hanya mendengar sahaja, kerana memang bukan bidang kuasa saya untuk bersetuju atau menolak pandangannya. Saya sekadar mahu meneropong dari sudut hati orang Umno, apa yang sebenarnya berlaku dewasa ini.

Sambil-sambil beliau berusaha meninjau peluang untuk melunakkan hubungan PAS-Umno, saya bertanya kepadanya tentang perubahan kepimpinan dan kepincangan yang terus berlaku dalam Umno.

Kata saya,"Dato' apa agaknya obstacle yang menghalang Umno untuk kelihatan solid dalam menghadapi PRU akan datang?"

"Rosmah," jawabnya ringkas, sambil menghirup cappucino. 

"Mengapa Rosmah?" tanya saya sebelum sempat beliau meletakkan cawan kembali ke atas meja.

"Kita pun tak tahu mengapa Najib begitu menurut kata Rosmah. Semua urusan 'stuck' kalau ada campur tangan Rosmah. Sehingga pelantikan politik, termasuk GLC pun Rosmah campur tangan," dakwanya.

"Ooo lebih kurang Rosmah ni macam Khairy (Khairy Jamaluddin) masa zaman Abdullah lah ya," ujar saya kepadanya.

Dato' hanya mengangguk, mengiyakan telahan saya. Banyak ceritanya yang tidak boleh ditulis di sini. Off record katanya.

Pada saya, dakwaan terhadap Rosmah barangkali betul, barangkali tidak. Masalah Najib dan Rosmah adalah masalah Umno. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghadap apa yang ada.

Masalah sebenarnya adalah masalah perebutan kuasa dan power broker serta juak-juak yang berpihak kepada Najib dengan puak penyokong Muhyiddin.

Keadaan menjadi semakin panas apabila masalah ini meleret-leret, sehingga kepada perihal pemilihan dan penentuan calon Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Habis semua hendak jadi calon.

Daripada Ketua Bahagian yang sudah lapuk, sehinggalah budak-budak hingusan dalam Umno, berebut-rebut hendak jadi calon. Mereka melobi Najib dan Muhyiddin. Semuanya kata mereka adalah winning candidate. Habis hiruk pikuk Umno di peringkat bahagian. 

Masalah ini diakui oleh Muhyiddin. Kenyataan beliau baru-baru ini merujuk kepada masalah dalaman Umno yang tidak boleh selesai sehingga kini.

Oleh sebab itu MT Umno terpaksa menangguhkan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno, untuk tempoh 18 bulan bermula Mac 2011.

Penangguhan terpaksa dibuat kerana, pemilihan parti menyebabkan Umno dalam keadaan berisiko tinggi. Umno terpaksa gamble kerana pemilihan akan berlaku di segenap peringkat, meliputi cawangan, bahagian dan kebangsaaan akan memberi natijah yang negatif kepada masa depan mereka. Oleh itu maka pemilihan Umno ditangguhkan, untuk memberi laluan terlebih kepada PRU terlebih dahulu.

Oleh itu, jika diteliti dan dibandingkan tempoh kerajaan BN akan berakhir pada Mac 2013 dengan tempoh penangguhan pemilihan Umno akan tamat pada September 2012, maka tidak dapat tidak PRU mesti diadakan enam bulan lebih awal dari pemilihan Umno.

Maka dijangkakan, tarikh terbaik untuk Najib mengadakan PRU ke-13 adalah di antara Disember 2011 hingga Mac 2012. Itu andaian Najib.

Namun Najib tidak akan selamat jika Umno-BN tewas atau hanya menang dengan majoriti yang lebih kecil daripada PRU 2008. Jika BN tewas, habis cerita. Sama ada Najib atau Muhyiddin, sama-sama akan dimasukkan dalam muzium bersekali dengan Umno-BN

Jika BN menang tipis bagaimana? Sekarang pun dalam Umno, terdapat golongan yang mendesak Najib berundur dan memberi laluan kepada Muhyiddin. Alasan mereka mudah. Najib terlalu lemah dan tidak mampu mengemudi BN berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Ada kelompok veteran Umno yang berpendapat, jika Najib terus menjadi PM, masa depan Umno akan terus kelam.

Malah ada antara kalangan Umno yang melabel Najib sebagai PM flip-flop, sama atau lebih teruk daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh kerana itu, jika BN menang tipis, Najib bakal mengalami nasib yang sama dengan Abdullah. Justeru bagaimana Najib hendak mengelakkan daripada Muhyiddin naik menggantikan beliau.

"Saya yakin Hisham (Dato' Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan benarkan Muhyiddin menggantikan Najib," kata seorang penganalisis Umno.

"Bagaimana nak sekat Muhyiddin? Jika hendak halang, kena ada orang lawan dia jawatan Timbalan Presiden," kata saya.

"Tak perlu. Itu lambat lagi. Kalau saudara hendak tahu, sekarang ini budak-budak Hisham sudah buat kerja di Pagoh (kawasan Parlimen Muhyiddin), nak jatuhkan dia," dakwanya.

Cara mana hendak jatuhkan Muhyiddin tidak dihuraikan lanjut. Barangkali itu hanyalah andaian beliau. Tetapi beliau mengatakan wujud banyak kemasukan pengundi baru di Pagoh, yang akan memberi kesan kepada masa depan Muhyiddin.

Pada saya itu hanya fikiran simplistik. Bukan mudah hendak mengalahkan Muhyiddin. Pagoh ini kawasan hulu. Pedalaman dan masih mundur. Orang-orang yang miskin dan mundur, sentiasa menjadi aset Umno. Tambahan lagi orang Johor. Biarlah PRU nanti menentukan.

Tetapi mesej yang hendak disampaikan di sini, bau wujudnya, unsur pertelagahan dan sabotaj di antara puak Najib dengan Muhyiddin semakin kuat. Mereka boleh cuba menafikan kewujudan masalah ini. 

Kita tunggu dan lihat sahaja. Bagi kita sama ada Najib atau Muhyiddin tidak menjadi soal. Asalkan mereka mewakili Umno-BN, mereka harus ditewaskan pada PRU ke-13!


MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my 

Buat Laporan Polis: Lim Guan Eng Sambut Cabaran Muhyiddin



Isu cabul: Laporan polis dibuat pada portal Umno


Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap laman web Umno kerana didakwa memetik laporan palsu dan memfitnah majikannya.

Zairil Khir Johari berkata, sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan dimuatkan dalam Umno-Online yang mendakwa anak Lim mencabul seorang pelajar perempuan dan beliau dikatakan membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar itu.
NONE
"Yang paling teruk sekali, laporan-laporan tersebut terus disiarkan dan dimainkan dengan semberono walaupun bukti sudah pun dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk membidas tuduhan-tuduhan yang liar itu," katanya.

Sebelum ini, beberapa penulis blog pro-Umno mendakwa anak remaja Lim mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan dan akibat itu terpaksa dipindahkan sekolah.

Dalam kenyataan hari ini, gadis yang dituduh Anya Ann Corke, pemain catur terkemuka, Lim dan pengetua sekolah berkenaan menafikan kejadian itu.

Beliau juga mendakwa laman itu memetik "laporan palsu" yang didakwa disiarkan oleh akhbar Cina Guang Ming Daily berhubung perkara itu.

Sembilan laporan berkaitan dimuatkan antara 18 hingga 28 Oktober lalu.

Justeru, beliau berpendapat, Umno-Online melakukan kesalahan jenayah bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


malaysiaKini


nota kaki/ sebelum ini TPM Mat Yidin ada menyuruh LGE buat laporan Polis..kita tunggu apa tindakan polis?
nak sapu bawah karpet saja kot.

Ternow: Gobalakrishnan Kena Halau Keluar Dewan




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen, Bagan Serai Gobala Krishnan diarahkan keluar dewan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana mengganggu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh ketika membentangkan usul.
Dewan kelihatan tegang apabila Gobala tidak henti-henti mencelah Karpal Singh selama tujuh minit walaupun diarahkan untuk berhenti bercakap dan duduk oleh Tuan Speaker.
"Kamu perlu mendengar peraturan saya sebelum kamu membuat peraturan kamu semua. Jadi saya minta Bagan Serai duduk, Bukit Jelutong duduk atau saya mengarahkan kamu keluar kerana tidak mengikut peraturan Dewan," kata Dr Wan Junaidi.
Terdahulu Karpal Singh membangkitkan isu Kampung Buah Pala yang beberapa minggu lepas kecoh apabila Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menulis di Twitternya-'Mungkin dia nak roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung buah dada'.
Tweet Khairy itu adalah berseloroh dengan Papagomo yang menjadi isu utama mengenai kes anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa mencabul kehormatan rakan sekolahnya yang dibangkitkan berulang kali di Dewan Rakyat oleh DAP.
Gobala bagaimanapun diarahkan masuk semula ke dewan pada sebelah petang oleh Dr Wan Junaidi.
Namun, Karpal merasakan denda terhadap Gobala terlalu ringan kerana tidak dibenarkan masuk dewan hanya beberapa jam sebelum sesi perbahasan di sebelah petang bersambung semula.

Sebutir Peluru Atas Nama Sultan ?



Budaya mafia merencam politik Malaysia terkini
Baru-baru ini pensyarah kanan undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah menerima sepucuk sampul yang mengandungi sebutir peluru dengan disertakan dengan sekeping nota yang memberikan amaran kepada beliau agar tidak lagi “menderhakai” sultan.
Dr Aziz sebelum ini telah memberikan beberapa pendapat beliau berdasar kepakaran undang-undang dan perlembagaannya mengenai soal-soal kedudukan perlembagaan di dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang pemimpin politik serta beberapa titah baginda sultan yang berkait dengan kepentingan umum.
Adakah kesemua pendapat beliau ini didapati mengancam kedudukan baginda sultan-sultan dan adakah Dr Aziz menunjukkan sebarang niat untuk mengancam atau menggulingkan sistem raja berpelembagaan di negara kita ini?
Sudah tentunya tidak. Dan jika diteliti dengan lebih mendalam kesemua pendapat dan kenyataan yang diberikan oleh Dr Aziz, kesemuanya adalah berbentuk maklumat yang disampaikan oleh seorang pakar akademik yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang yang sedang diamalkan oleh beliau.
Selain daripada itu, kesemua pendapat dan maklumat yang diberikan oleh Dr Aziz tersebut adalah juga bertujuan mendidik dan memperluaskan pengetahuan umum semata-mata dan ianya langsung tidak mempraktikkan sebarang tujuan politik.
Tidak bermoral nama sultan digunapakai
Adalah tidak bermoral sama sekali jika sekiranya ada pihak-pihak yang tertentu yang sanggup mempergunakan atau memperlekehkan nama sultan-sultan di dalam mencapai tujuan dan agenda politik mereka sewenang-wenangnya.
Setakat ini kita hanya telah mendengar dan melihat sebutir peluru dihantar kepada seseorang atas nama sultan kononnya kerana ingin “mempertahankan” baginda. Sebenarnya perbuatan tersebut hanya akan mencemarkan lagi nama-nama baginda sultan.
Apatah lagi jika sekiranya sebutir bom akan dihantar kepada seseorang mangsa atas nama sultan pada suatu hari nanti. Maka akan terjejaslah lagi nama institusi raja-raja di negara ini.
Kesemua perbuatan ini jelas adalah taktik politik yang tidak bermoral dan bertujuan untuk mencetuskan keganasan.
Raja-raja patut bersuara
Rakyat jelata kian berdukacita apabila tidak ada seorang pun di kalangan institusi raja-raja yang dapat tampil ke hadapan untuk mengutuk perbuatan yang sungguh keji dan tidak bermoral ini.
Oleh kerana perbuatan ini adalah berunsurkan jenayah dan ganas, kenapa tidak seorang pun baginda sultan yang tampil untuk memperbetulkan keadaan yang amat mengelirukan sekarang?
Kenapa hanya seorang putera diraja sahaja yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan apakah itu hak rakyat, demokrasi, dan perlunya institusi tersebut untuk turut menerima sebarang pendapat membina daripada rakyat jelata?
Kenyataan putera diraja dari Negri Sembilan itu patut diteladani dan disanjungi oleh kerana baginda adalah satu-satunya ahli kerabat diraja yang sanggup keluar daripada ambang konservatif yang kuno dan tidak praktik untuk bersama dengan rakyat jelata untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi.
Siapa yang menDemokrasikan institusi raja?
Sejak daripada 2008 lagi, kita telah banyak memerhati keadaan politik yang bergolak dan ianya bergolak dan bertambah goyah kerana institusi raja sering diheret masuk ke dalam kancah permasalahan politik dalam negara ini semata-matanya kerana ia perlu digunakan untuk mempertahankan satu parti politik elit yang sedang menghadapi kemerosotan sokongan.
Oleh kerana itulah, parti tersebut sering bersembunyi di belakang institusi raja apabila timbulnya persoalan mengenai kesahihan perlaksanaan atau tindakan parti tersebut dengan mengguna pakai istilah “menderhaka” bagi mengancam mereka-mereka yang tampil menyoal tindakan parti tersebut.
Jadi, adalah perlu kita kembali kepada kejadian asalnya iaitu siapakah yang telah menDemokrasikan institusi raja sebelum ini? Ya, semua pun tahu, bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan perdana menteri pada masa itu yang juga presiden Umno di waktu itu telah menggerakkan usaha yang agresif bagi membendung kelebihan kuasa raja-raja dan menDemokrasikan institusi tersebut bagi membolehkan rakyat jelata memantau segala tindakan dan kegiatan baginda-baginda sultan demi kepentingan umum.
Malah yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Bab XV bagi membolehkan raja-raja disaman oleh rakyat jika perlu, adalah juga atas hasil usaha Umno dan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Ianya berlaku pada Januari 1993 dan sejak dari tahun itulah, istilah “derhaka” itu telahpun hilang taringnya akibat usaha Umno.
Oleh yang demikian, para “pendukung” raja yang fanatik perlu mengingati, memahami dan akur menerima hakikat bahawa demokrasi yang kian subur pada institusi raja pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigih Umno dan jika sekiranya ada mana-mana rakyat yang tampil untuk mengkritik atau memantau apa jua perbuatan atau tindakan para baginda sultan, ianya adalah berlandaskan Bab XV Perlembagaan Persekutuan yang telah diperkukuhkan pada Januari 1993.
Fahamilah kemanusiaan yang sejagat
Kepada mereka-mereka yang masih tidak faham atau enggan menerima hakikat yang sebenarnya dengan menghantar peluru (atau berkemungkinan besar bahan letupan di suatu hari nanti), perhatikanlah kesemua kejadian dan permasalahan ini dari sudut kemanusiaan dengan lebih mendalam.
Raja-raja, sultan-sultan ataupun mereka yang bergelar maharaja semuanya adalah insan manusia sama seperti kita semua, yang boleh melakukan kesilapan dan kebaikan. Apabila berlakunya sebarang kesilapan, perlulah wujudnya keinsafan, pemahaman dan kesedaran yang boleh membawanya ke suatu era yang dapat memajukan dirinya lagi.
Jika sekiranya seseorang itu enggan menerima hakikat kesilapan yang dilakukannya itu, maka akan timbul keburukan demi keburukan yang bakal menimpa dirinya ataupun seluruh keluarganya dan jika ianya terjadi kepada sesebuah negara, maka rakyat akan berasa tidak puashati, lantas daripada itu pemberontakan bagi menegakkan keadilan akan tercetus bagi mempertahankan rakyat jelata daripada penindasan tersebut.
Oleh yang demikian, semua insan manusia tidak mengira kedudukan perlu menerima hakikat bahawa hidup di bawah pengasingan dan enggan menerima kritikan serta pendapat yang membina akan memudaratkan lagi keadaan seseorang.
Janganlah mengukir nama sultan di atas peluru lagi!
Ampun Tuanku, berhati terbukalah kepada rakyat jelata!
Malaysia Chronicle