Pages

Thursday, June 9, 2011

Perpaduan Melayu: Umno Silap Jika Terus Salahkan PAS


KUALA LUMPUR, 9 Jun — Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan PAS termasuk barisan pemimpin pusat yang baru tidak menolak idea perpaduan Melayu, sebaliknya Umno sengaja menggunakan soal itu sebagai bahan kempen menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Jelas timbalan presiden PAS itu, “Umno silap” jika mendakwa keputusan PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu bermakna ia akan memecahbelahkan orang Melayu.
“Umno mula pertikaikan perpaduan Melayu apabila kepimpinan sudah jatuh tetapi sebaliknya jika mula kuat, mereka jadi takbur,” ujar Mohamad (gambar) lagi.
“Umno sebenarnya sudah lemas, sebab itu membangkitkan isu perpaduan Melayu. Kami (kepimpinan baru PAS) tetap perjuangkan perpaduan Melayu tetapi berlandaskan keadilan untuk kepentingan semua masyarakat,” kata timbalan presiden PAS ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kelmarin, timbakan pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembira kerana PAS tidak mahu perpaduan Melayu apabila PAS terus menolak kerjasama dengan Umno.
Pandangan yang serupa juga dilahirkan oleh timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.
Beliau menegaskan, PAS tiada masalah untuk mewujudkan hubungan peribadi tetapi tidak dalam hubungan politik.
Katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat untuk membina politik baru tanpa sebarang acuan Umno.
Sementara itu, salah seorang naib presidennya Salahudin Ayub berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menolak idea perpaduan Melayu kerana perpaduan itu sudah lama wujud sejak negara merdeka.
“Perpaduan itu telah lama wujud. Bukan sahaja perpaduan dengan orang Melayu, bahkan juga perpaduan dengan masyarakat lain berlainan agama.
“Perpaduan Melayu itu tetap wujud dan tidak akan hilang sama sekali selagi kita tetap pegang pada prinsip perpaduan, mengamalkan budaya Melayu, beretika ikut cara Melayu dan ikut acuan bangsa Melayu,” katanya.
Selain itu, Salahudin berpendapat, Umno memberi kenyataan sedemikian kerana mereka mengalami “musim kemarau yang panjang.”
Jelasnya, mereka ketandusan idea untuk menjatuhkan PAS sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan hakikatnya langsung tiada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.
Ditanya mengenai PAS mahu memecahbelahkan Melayu untuk kepentingan mereka, beliau menegaskan, perpecahan Melayu hanya akan terjadi seandainya “kita memutuskan ikatan silaturrahim.”
“Itu baru dikatakan sengaja elak perpaduan dan pecah belahkan orang Melayu,” katanya.
Jelas beliau lagi, dalam arena politik memang wujud parti Umno-PAS yang tidak sealiran parti politik.
“Tetapi, adakah dengan berbeza parti dan tidak bergabung menjadi satu parti sudah dianggap PAS sengaja tidak mahu perpaduan dan mahu pecah belahkan Melayu?
“Adakah dengan gabungan PAS-Umno sudah dikira perpaduan Melayu telah wujud?” ujarnya lagi.
Beliau juga berpendapat kenyataan Umno itu sebenarnya satu hujah yang naif.
“Itu hanya momokan daripada mereka yang sengaja mahu menakut-nakutkan orang Melayu.
“Mungkin mereka bimbang dan teruja dengan kepimpinan baru PAS yang lebih progresif dan kontemporari dalam memberi saingan pada pilihan raya umum yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyarankan supaya seluruh masyarakat khususnya orang Melayu tidak bimbang dengan kenyataan Umno itu.
Ujarnya, kepimpinan PAS tidak akan menyentuh perpaduan Melayu kerana tetap tegas perpaduan Melayu tidak pernah hilang.
“Umno berkata sedemikian sebagai satu cara menjauhkan pengundi PAS pada pilhan raya umum nanti,” ulasnya lanjut.MI


Mahathir Orang Pertama Menentang Hudud Bukan Karpal-Nik Aziz


KUALA LUMPUR, 8 Jun – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bukan Karpal Singh seperti mana didakwa bekas perdana menteri itu.
Kata Nik Aziz(gambar), kemungkinan Dr Mahathir sudah lupa bahawa beliau telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud.
Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.
Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.
Bagaimanapun hasrat untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
“Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.
“Barangkali orang yang bernama Mahathir Mohamad ini sudah lupa, untuk tujuan mengingatkannya saya boleh tunjukkan surat itu, ia masih ada dalam simpanan saya,” kata Nik Aziz dalam laman Facebook beliau hari ini.
Semalam Dr Mahathir mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal.
Dengan nada menyindir, beliau berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana “akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya.”
Kata Dr Mahathir, yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.
Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.
Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.
Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak perlu mengambil berat akan kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir sambil menyifatkan pemimpin veteran itu “kewarasannya sudah tidak stabil.”
“Kita tidak perlu nak ambil peduli, ini kenyataan yang sudah sampai ke tahap kewarasan yang sudah tidak stabil dan saya bersimpati kepada beliau (Dr Mahathir).
“Beliau sebenarnya tidak sedar apa yang beliau katakan itu sebab itu PAS tidak perlu nak ambil berat sangat, orang yang paling kuat menentang hudud adalah Dr Mahathir... orang pertama yang menghantar surat amaran kepada Kelantan adalah Dr Mahathir.
“Karpal tidak menentang seperti mana yang dilakukan Dr Mahathir, sejarah sudah membuktikan orang yang menentang negara Islam dan hudud adalah Dr Mahathir dan saya percaya beliau masih menentang sehingga sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tegas Mahfuz, bukan Karpal yang memperoleh kemenangan dalam pemilihan PAS tapi rakyat negara ini kerana parti Islam itu bersedia untuk menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.
“Yang dapat kemenangan besar ialah rakyat negara kita... orang yang tidak hadir yang dimaksudkan itu adalah rakyat di mana mereka mendapat satu keyakinan kepada PAS yang akan membentuk negara berkebajikan.
“Bukan Karpal yang dapat kemenangan tapi rakyat,” katanya.
Justeru Ahli Parlimen Pokok Sena ini percaya Umno berada dalam keadaan tertekan ekoran pendekatan baru yang ditonjolkan PAS.
“Saya percaya Umno dalam keadaan yang sangat menggelabah dengan kekuatan pendekatan yang ditunjukkan PAS melalui konsep negara berkebajikan dan ini bertepatan dengan situasi semasa yang mana rakyat mengalami pelbagai persoalan yang gagal diselesaikan kerajaan sedia ada.
“Oleh itu gandingan kepimpinan sedia ada dan dulu telah berjaya memberikan satu lontaran kepada rakyat bahawa mereka kini mempunyai landasan baru iaitu negara berkebajikan dan ini akan memberi satu kekecewaan kepada Umno yang telah menimbulkan pelbagai keraguan kepada rakyat termasuk dalam isu perkauman, video seks dan sebagainya,” katanya.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyifatkan individu yang menghentam pembentukan negara Islam adalah Dr Mahathir.
“Negara Islam Dr Mahathir yang hentam kuat sekali tapi dia juga yang mengumumkan Malaysia negara Islam, dia juga yang cadangkan agar PAS buang nama Islam yang mana kita tentang habis-habisan.
“Dr Mahathir ini sudah tidak stabil pemikiranya, bila kita kata negara kebajikan dia kata kita lari dari landasan... sebenarnya Umno sudah semakin gelisah dengan perubahan yang berlaku (dalam PAS),” katanya.
Jelas beliau, serangan demi serangan yang dibuat terhadap PAS kerana Umno bimbang akan tewas pada pilihan raya ke-13.
“Dulu PAS bagus tapi sekarang lagi bagus sebab orang bukan Melayu semakin yakin dengan PAS maknanya Umno kini semakin menuju ke jalan-jalan terakhir.
“Apa yang dilakukan Umno ini sebab takut untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya MI