Pages

Monday, May 23, 2011

Tian Chua Hilang Status MP


KUALA LUMPUR, 23 Mei – Status Chua Tian Chang atau “Tian Chua” sebagai Ahli Parlimen Batu kekal tidak jelas selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuannya berhubung hukuman yang dikenakan atas tuduhan menggigit seorang anggota polis.
Naib Presiden PKR itu (gambar)memberitahu The Malaysian Insider bahawa mahkamah menolak rayuan ekoran bantahan timbalan pendakwa raya bahawa ia difailkan selepas tempoh 14 hari yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Jadi hukuman tidak dicabar dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dan status saya tidak berubah,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.
Pertengahan Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.
Ketika itu, Pengerusi DAP Karpal Singh yang juga seorang peguam berkata, sebagai contoh, pada 1975 anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.
Karpal berkata mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Video Seks-Turki Tiru Malaysia Pulak!!!!!!


Skandal video seks di Turki

Tayyip Erdogan


ISTANBUL 22 Mei - Enam pemimpin kanan parti pembangkang Turki, Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), semalam meletakkan jawatan ekoran skandal video peras ugut dan seks, sekali gus dijangka mempengaruhi keputusan pilihan raya umum negara ini pada 12 Jun ini.
Media Turki melaporkan, pemimpin kanan pembangkang itu dipaparkan dalam keadaan memalukan dalam rakaman video lucah itu, yang disiarkan melalui Internet.
Awal bulan ini empat yang lain yang juga merupakan pemimpin kanan parti itu telah meletakkan jawatan ekoran rakaman video hampir sama iaitu beberapa orang daripada mereka dipaparkan sedang mengadakan hubungan seks, dipercayai di sebuah rumah yang digunakan oleh anggota parti untuk mengadakan hubungan sulit.
Gelombong kedua peletakan jawatan pemimpin-pemimpin MHP itu mungkin memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Tayyip Erdogan yang memimpin Parti AK yang dijangka mengekalkan kuasa buat penggal ketiga dalam pilihan raya umum pada Jun ini.
Ketika ini, tinjauan pendapat meletakkan sokongan terhadap parti Tayyip berada sekitar 45 peratus.
Ekoran skandal itu, sokongan terhadap MHP juga dijangka merosot.
MHP dijangka tidak dapat meraih sokongan melebihi 10 peratus yang diperlukan bagi mengekalkan mereka dalam Parlimen, ekoran skandal tersebut.
Sokongan terhadap MHP ketika ini berada pada sekitar 10 hingga 15 peratus, kata tinjauan pendapat.
MHP ketika ini menguasai 70 daripada 550 kerusi di Parlimen Turki.
Antara mereka yang meletkkan jawatan ialah Timbalan Pengerusi MHP, Osman Cakir, Umit Safak dan Mehmet Ekici, serta Setiausaha Agung, Cihan Pacaci dan timbalannya Mehmet Taytak.
Mereka meletakkan jawatan sebagai anggota parti dan juga menarik diri daripada dicalonkan bertanding sebagai calon Parlimen mewakili parti itu.
Seorang lagi timbalan pengerusi MHP, Deniz Bolukbasi kemudian turut meletakkan jawatan.
"Saya telah meletakkan jawatan bagi mengelakkan konspirasi ini dan tuduhan palsu ini mengugat MHP pada pilihan raya akan datang,'' kata Bolukbasi dalam satu kenyataan.
Stesen televisyen CNN Turki melaporkan, pihak berkuasa telekomunikasi telah melancarkan siasatan berhubung video tersebut. - AP/Reuters