Pages

Wednesday, December 21, 2011

Pengakuan Terbaru Shahrizat



Shahrizat: Saya hanya isteri pengerusi eksekutif NFC

KUALA LUMPUR, 21 Dis ― Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sekali lagi menafikan wujudnya sebarang bentuk salah laku dalam skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) melibatkan RM250 juta sambil menegaskan, beliau “hanya isteri” kepada pengerusi eksekutif projek kontroversi itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berkata, dari sudut “perundangan dan profesional, saya tidak terlibat dalam NFC”, yang dikaitkan dengan keluarganya.

“Saya hanya isteri pengerusi NFC. Semua wanita ada keluarga dan suami,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berhadapan dengan desakan dan gesaan agar melepaskan jawatan menteri.

Desakan itu turut datang daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam responsnya hari ini, Shahrizat berkata, beliau tidak harus dimaklum apa yang harus dilakukannya.

“Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjwab dan veteran dalam politik, yang menyayangi Barisan Nasional (BN), saya tahu apa tindakan yang harus diambil dan akan berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak,” katanya merujuk kepada perdana menteri dan presiden Umno.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan tindakan yang sedang dipertimbangkan, tetapi katanya, “saya akan memutuskan mengikut keazaman saya.”

Keluarga Shahrizat beli kondo RM10 juta di Singapura


KEADILAN hari ini tampil mendedahkan satu lagi pembelian kondominium mewah oleh keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Kondominium tersebut yang didakwa dibeli di Singapura, dianggarkan berharga RM9.9 juta dengan keluasan 2,282 kaki persegi.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution ketika mendedahkan dokumen pembelian berkenaan berkata, kediaman mewah beralamat di 7 Anthony Road, #14-24, Ochard Scotts itu dibeli pada 27 Januari 2010.

Katanya, carian rasmi mendapati ia didaftarkan atas nama suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan dua anak mereka, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Zabedah Mohamad Salleh.

Mohd Salleh adalah pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) yang sebelum ini didedahkan menyelewengkan RM250 juta dana, termasuk membeli kondominium mewah di Bangsar.

“Kalau sebelum ini kondo One Menerung (di Bangsar) didaftarkan atas nama syarikat NFC, namun kali ini ia didaftar terus nama keluarga mereka, ” kata Saifuddin ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.

Turut hadir Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Saifuddin, rekod pihak berkuasa Singapore Redevelopment Authority,  menunjukkan keluasan unit kondominium itu merupakan antara yang paling selesa di kawasan pusat bandar itu.

Katanya, rekod berkenaan adalah hasil carian di agensi yang mengawal selia tanah negara itu, Singapore Land Authority.



Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24564

No comments: