Pages

Monday, December 19, 2011

'Kita Mahu Ambil Kuasa Dari Orang Gila'



SHAH ALAM, 19 Dis: "PAS tidak gila kuasa tetapi berusaha mengambil alih kuasa dari orang gila," kata Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata demikian dalam sessi khas dialog dengan beliau dan dua lagi rakannya di majlis "Bersama Dr Dzul, Malam Yang akan diingati" malam tadi.

Majlis diadakan di Kelab Shah Alam dekat sini. Turut serta dalam dialog khas itu adalah Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dan Tony Pua (Setiausaha Publisiti DAP).

Pengerusi dialog itu adalah Dr Abdul Aziz Bari, profesor undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa.

Kenyataan Dr Dzulkefly ini dipercayai jawapan sinis kepada kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang sejak kebelakangan ini menuduh pemimpin Pakatan Rakyat gila kuasa apabila mahu berusaha merampas Putrajaya dari tangan BN.

Menurut Dr Dzulkefly, fokus utama dalam pilihan raya umum ini adalah untuk mempastikan pilihan raya ini berjalan dalam suasana pilihan raya yang 'mempunyai padang yang sama rata'.

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit sangat bagi beliau Pakatan mempunyai peluang menang atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita hanya berusaha yang terbaik...supaya kita sentiasa optimis, saya letak sasaran kita adalah untuk mendapatkan pilihan raya yang adil, bebas dan telus," kata Dr Dzulkefly yang menjadi tuan rumah malam tadi.

Dalam dialog itu, Nurul Izzah berkata, pihaknya meletakkan ada harapan untuk Pakatan merampas Putrajaya untuk pilihan raya umum ke 13 ini.

Namun pilihan raya hendaklah adil dan bebas.

"Kita tidak bimbang kepada sokongan rakyat tetapi yang kita bimbang adalah peti undi itu...adakah ia akan benar-benar adil atau tidak...khasnya senarai pemilih yang ada," kata Nurul Izzah.

Tony Pua pula lebih optimis Pakatan akan menang dan merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum ke 14 nanti bukan yang ke 13 ini.

"Saya nampak dalam pilihan raya ini, orang Melayu tidak berapa bersedia lagi untuk berubah...mereka lebih yakin kepada Umno lagi walaupun sedar dari satu ringgit wang yang patut mereka terima, mereka hanya terima 20 sen sahaja, 80 sen lagi jatuh ke tangan pemimpin Umno.

"Jadi, mereka hanya akan sedar setelah kerajaan tiada duit lagi untuk membayar kroni mereka selepas serangan ekonomi dan duit sudah tidak ada lagi untuk dibahagikan....dan ia hanya bakal berlaku menjelang pilihan raya ke 14 nanti bukan pilihan raya ini," kata Tony yang juga anggota Parlimen Petaling jaya Utara.

Namun, Tony masih memberi harapan Pakatan masih boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

"Menjelas pilihan raya ke 12 lalu, ada orang bertanya, boleh ke kita dapat menafikan dua pertiga kuasa BN apabila kita giat kempen ke arah itu.

"Saya kata, saya tidak percaya kita boleh berbuat demikian. Tetapi apa yang berlaku, kita berjaya nafikan dua pertiga BN.

"Saya harap saya salah lagi dalam pilihan raya ini," kata Tony Pua dengan disambut tepukan gemuruh para tetamu malam tadi.


Oleh Zulkifly Sulong

No comments: