Pages

Thursday, December 15, 2011

Hasan Ali Mahu Keluar PAS, Silakan : Mahfuz



PAS tidak pernah menghalang mana-mana pemimpinnya daripada meninggalkan parti dan menyertai Umno, termasuklah exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali.


"Terpulangkan kepada dia," kata Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas desas desus bahawa Dr Hasan akan keluar parti.

Sejak beberapa tahun lalu, Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS
negeri sering dikaitkan dengan kumpulan yang menyokong idea kerajaan perpaduan kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

Dr Hasan bahkan pada Isnin lalu secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan Melayu-Islam, termasuk PAS dan Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mahfuz berkata, PAS tidak pernah membantah mana-mana anggotanya meninggalkan parti kerana ia merupakan hak dalam negara demokrasi.

azlanBeliau bagaimapun berkata tidak pasti bahawa khabar angin itu benar ataupun tidak.

Anggota parlimen Pokok Sena itu menegaskan, PAS mampu menangani perkara itu jika berlaku kerana pernah melalui pengalaman seumpamanya sebelum ini.

"Isu keluar parti ini PAS sudah lama lalui dah. Presiden parti pun pernah keluar.

"Tetapi PAS masih terus berjalan seperti biasa," katanya merujuk kepada keluarnya presiden keempat parti Islam itu pada tahun 1982 akibat krisis kepimpinan.

Mahfuz juga menegaskan, PAS sentiasa bergerak sebagai sebuah organisasi dan tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu untuk tujuan itu.


Oleh Jimadie Shah Othman malaysiaKini

No comments: