Pages

Wednesday, December 14, 2011

Bebas Anwar Beri BN Kelebihan



Membebaskan Anwar dari tuduhan liwat 2 akan memberi peluang BN menafikan mahkamah tidaklah dikongkong oleh kuasa politik.

Secara umumnya, ramai di kalangan masyarakat negara ini yakin bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir pasti didapati bersalah dalam kes perbicaraan liwat 2 dan akan berhadapan dengan hukuman penjara.
Sekiranya keyakinan yang sama diambil dari penyokong pembangkang, alasannya kerana kepercayaan mereka bahawa sistem perundangan negara hari ini menjadi tunggangan kuasa politik pemerintah.
Sekiranya betul dakwaan di atas dan pemerintah hari ini memberikan fokus kepada objektif untuk menguburkan riwayat politik Anwar, jawapannya, ya, memenjarakan Anwar memang mampu menamatkan karier politik Anwar.
Malah, dengan hukuman penjara itu nanti akan menyebabkan Anwar kehilangan kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak berapa lama sahaja lagi.
Bagaimanapun dari sudut pandangan politik, keputusan mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan liwat 2 akan memberikan lebih banyak keuntungan politik berbanding Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara lebih-lebih lagi di saat pilihan raya semakin hampir.
Keputusan memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan menambahkan satu lagi momentum penentangan terhadap Barisan Nasional (BN).
Apakah faktor yang menyebabkan keputusan memenjarakan Anwar akan memberi kesan lebih buruk terhadap prestasi BN berbanding membebaskan Anwar?
Pertama, memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan mengesahkan persepsi umum termasuk pengundi atas pagar bahawa mahkamah dipergunakan untuk kepentingan politik BN atau sekurang-kurangnya persepsi yang sama akan bertambah.
Dalam konteks ini, persepsi penyokong Pakatan tidaklah penting bagi mereka kerana pendirian kelompok ini jelas menyokong pembangkang hampir tidak boleh diubah lagi.
Bagaimanapun, persepsi pengundi atas pagar yang dianggap sebagai kelompok penentu kemenangan dalam pilihan raya adalah penting.

Kecacatan fakta kes
Seperti dalam kes liwat 1, kes liwat 2 juga terdapat banyak kecacatan fakta kes yang mudah difahami oleh masyarakat terbanyak meskipun bagi seseorang yang bukanlah pengamal undang-undang.
Kedua, memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan menjadikan gelombang tsunami yang tidak pernah reda semenjak 2008 semakin bergelora dan ditambah pula menyebabkan kemunculan semula semangat gelombang reformasi 1998.
Ketiga, membebaskan Anwar dari tuduhan liwat 2 akan memberi peluang BN menafikan mahkamah tidaklah dikongkong oleh kuasa politik seperti mana ‘fitnah’ pembangkang dan pada masa yang sama Anwar telah dilondehkan sepanjang perbicaraan berlangsung.
Sepanjang perbicaraan liwat 2 berlangsung, media-media kawalan kerajaan banyak melaporkan isu yang mengaibkan Anwar dalam kes ini dan mampu menghakis kepercayaan sesetengah golongan masyarakat terhadap ketua pembangkang itu.
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar atas alasan kejadian liwat itu berlaku atas dasar kerelaan lebih memanfaatkan BN.
Keputusan seumpama itu hanya akan mengesahkan Anwar memang seorang biseksual dan menjadi bahan kempen utama BN ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Oleh Nazli Ibrahim FMT

No comments: