Pages

Wednesday, December 28, 2011

Akhirnya Hasan Ali Minta Maaf, Tok Guru Buat Kenduri Kesyukuran



Hasan datang minta maaf


BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Nik Aziz, pertemuan ini dianjurkan oleh PAS Pusat "Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia."

Kenduri kesyukuran

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

"Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.


Laporan- Harakahdaily

1 comment:

Anonymous said...

TGNA sebenarnya tak perlu pusing kepala nak selesaikan kes Hassan Ali ni.Kalau Stopa Ali tak mulakan ribut ni, Hassan Ali mahu pun Nasaruddin Mat Isa tak akan melenting.Ini semua angkara Stopa Ali.Dah ribut baru nak "kunci mulut".Agar perkara seperti ini tidak berulang lagi,PAS Pusat wajar suruh Stopa Ali letak jawatan S/U Agong dan juga jawatan Pengerusi,Lembaga Harakah wef 31hb Disember 2011.InsyaAllah! PAS akan aman.