Pages

Thursday, November 24, 2011

Zahid Hamidi Hampir "Maut"





Jangan sabotaj calon seperti pilihanraya lalu


Unsur sabotaj seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lepas perlu dihentikan bagi memastikan calon yang ditampilkan Umno untuk bertanding pada pilihan raya ke-13 menang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Sambil menegaskan Umno perlu berada dalam keadaan "cacat sifar" sebelum pilihan raya umum, beliau berkata perbuatan sabotaj boleh dihindari sekiranya setiap anggota Umno bersatu padu dengan segera menyelesaikan setiap permasalahan di peringkat cawangan dan bahagian.
    
Bercakap dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, yang akan diadakan minggu depan, di ibunegara hari ini, Ahmad Zahid berkata memegang jawatan tinggi di mana-mana peringkat bukan jaminan bagi individu itu dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.
    
"Namun yang agak menggusarkan kepimpinan atasan adalah permasalahan dari segi kepimpinan di peringkat bahagian yang istilah politiknya dipanggil warlord (hulubalang) yang mahu terus memberikan penekanan bahawa mereka telah mengasah pedang begitu lama... hendak tajamkan (memperkukuhkan) kuasa dan mencengkam pengaruh di kawasan masing-masing, maka akan berlakulah masalah 'intra-party'.
    
"Kalau tiada tentera di belakang, hanya kita sebagai jeneral (sahaja) yang ada pedang yang tajam, kita akan kalah dalam perang. Oleh sebab itu kita perlu mempunyai bala tentera yang berada di belakang dan mendapat sokongan semua," katanya.
    
Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata perkara itu adalah antara mesej penting yang akan disampaikan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2011, yang bermula Selasa depan.
    
"Ini memandangkan pengalaman kita pada pilihan raya umum ke-12 memperlihatkan bahawa permasalahan dalaman yang tidak diselesaikan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan banyak calon Umno dan Barisan Nasional (BN),"
katanya.
    
Katanya satu kajian akademik mendapati pemilihan calon yang baik mampu menyumbang sebanyak 31 peratus kemenangan parti manakala jika permasalahan dalaman dapat diselesaikan, ia boleh menyumbang lebih daripada 50 peratus.
    
Naib Presiden Umno itu menegaskan selain perlu memberi sokongan padu pada calon yang dipilih pucuk pimpinan, anggota parti hendaklah melupakan segala kepentingan peribadi bagi memberi kemenangan kepada calon.
    
"Saya hampir pasti Presiden dan Timbalan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tentunya akan memberi penekanan bahawa kita tidak boleh berkompromi dengan aspek kekalahan mana-mana calon hanya disebabkan oleh masalah yang tidak dirungkaikan di peringkat bahagian," katanya.
    
Ahmad Zahid berkata anggota parti juga perlu melipatgandakan usaha untuk menawan negeri yang dikuasai pembangkang - Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang - serta kembali menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
    
Mengenai Perhimpunan Agung Umno, beliau berharap para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan menekankan tentang perpaduan, usaha-usaha yang dijalankan kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) bagi difahami anggota parti dan sekaligus dapatmenerangkan kepada kumpulan sasar iaitu pengundi baru.
    
Kepada soalan mengenai pengaruh yang dimainkan media baru seperti blog, Twitter dan Facebook, Ahmad Zahid berkata pada pilihan raya umum yang lepas, media baru itu dilihat penyumbang terhadap penolakan rakyat terhadap calon BN.
    
"Media sosial telah menjadi satu faktor yang menyumbang kepada hakisan pengaruh politik kerana media sosial adalah satu pengantara media yang dianggap cukup berwibawa sehingga meminggirkan media arus perdana.
    
"Pihak antagonistik mengambil peluang kredibiliti media sosial tetapi selepas berada di khalayak lebih lima tahun, banyak maklumat dalam media sosial tidak mencapai tahap kredibiliti dan tidak berdasarkan fakta tetapi lebih kepada spekulatif, imaginatif dan hentam keromo menyebabkan kredibiliti pengamal media sosial menurun," katanya.
    
Beliau berkata inisiatif Perdana Menteri mewujudkan blog serta mempunyai akaun Twitter serta Facebook adalah tepat bagi menarik sokongan rakyat termasuk golongan belia yang mudah terdedah dengan pelbagai maklumat tidak tepat di Internet.
    
Menyentuh hasrat pembangkang untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya umum, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata ia adalah sesuatu yang baik.
    
"Ini kerana ia akan memberi kelebihan kepada BN. Apabila semua pilihan raya di setiap negeri selesai, kita akan memberi tumpuan penuh kepada negeri yang dikuasai pembangkang dan sekaligus merampas semula negeri tersebut.
    
"Saya tidak fikir mereka akan menang kerana kebanyakan janji mereka dalam manifesto 2008 gagal ditunaikan dan rakyat tidak boleh lagi dibutakan dengan janji retorik mereka," katanya.


-BERNAMA


p/s..maklumat dari kawasan zahid sendiri di Perak mengatakan banyak janji janji pilihanraya lalu tidak di tunaikan olehnya.


Anda boleh saja pergi bertanya pada 'orang kanan' zahid di kawasannya.

No comments: