Pages

Tuesday, November 1, 2011

Tak Melayu hilang di dunia: Mitos mendekati realiti?




Apakah akan berlaku jika ada segolongan besar pengundi Melayu-Islam di negara ini bersikap tidak acuh  atau kurang peduli  untuk menyertai proses pilihanraya umum ke-13 akan datang?
Mungkinkah terlepas kuasa politik dari tangan orang Melayu-Islam yang menjadi penduduk majoriti di Malaysia?
NONE
Mungkinkah masih ada sikap toleran peringkat tertinggi di kalangan parti dan pemimpin politik bukan Melayu-Islam yang akan terus memelihara dan mengutamakan kepentingan majoriti rakyat (Melayu-Islam) apabila mereka mengambil alih tampuk pemerintahan?

Apakah dasar afirmatif untuk membela kaum yang daif dan ketinggalan di tangga sosio-ekonomi masyarakat akan berterusan? Masihkah ada institusi pendidikan dan skim pekerjaan yang memberi   keutamaan kepada Bumiputera (yang majoriti Melayu-Islam) seperti Perkhidmatan Awam, Pendidikan, Pertahanan, Keselamtan  sebagai perkiraan utama?  

Apakah jika ini berlaku, kesuraman politik Melayu-Islam di Malaysia akan dapat ditebus dalam tempoh yang singkat? Atau, adakah “silap percaturan politik’ ini akan berlarutan?
Masihkah orang Melayu-Islam akan meneruskan perangai semulajadi mereka saling menuding jari menyalahkan orang lain apabila andaian ini menjadi realiti?
NONE
Mungkinkah mulai saat kerajaan baru ditabalkan orang Melayu-Islam akan terus berpecah belah dan bercambah menjadi beberapa entiti politik yang ringan cabarannya dan lemah kekuatan politiknya?
Yang pasti unsur citra orang Melayu-Islam yang akan merasakan kehebatan kesan perimbangan politik baru ini ialah syiar Islam.

Laungan azan

Memang telah terlalu lama dipendam ketidakselesaan orang bukan Islam tertentu terhadap syiar Islam. Laungan azan kerap tenggelam timbul disuarakan oleh bukan Islam tertentu.Begitu juga dengan simbol atau manifestasi kehidupan Islam lain di negara ini.

Sering kedengaran rungutan pihak bukan Islam betapa jalan di kawasan-kawasan berhampiran masjid sesak akibat umat Islam menunaikan solat setiap Jumaat. Ini juga satu gangguan. 
azlanIni belum mengambilkira rasa irihati sesetengah pihak tertentu bahawa bajet yang disediakan untuk pembangunan syiar Islam adalah jauh lebih besar berbanding peruntukan bagi  perkembangan agama lain. Bagi mereka mungkin sudah tiba masanya keadaan ini diubah? Tidakkah mungkin citra Malaysia baru ini kelak akan lebih moden dan ciri Islam pula semakin menipis?

Masihkah gambaran ini satu khayalan? Apakah lanskap politik begini satu kemustahilan?
Sebenarnya perencah yang boleh membunuh minat orang Islam-Melayu pada politik sudah lama diperap dalam hidangan politik oleh Umno dan PAS. Dalilnya, amatilah apa yang diterbitkan oleh Utusan MalaysiaBerita Harian di pihak BN dan Harakah serta Suara Keadilan di sisi Pakatan Rakyat.
Gelagat media cerminan tauke politik  masing-masing ini adalah faktor yang banyak mendorong umat Melayu Islam hari ini ke lembah meluat pada politik. Yang dikhuatiri buah politik fitnah, curang dan membibit kebencian ini  akan segera membentuk iklim dan adab siasah baru di kalangan khalayak sasaran mereka. Ini pasti langsung mengikis minat mereka terhadap politik.

Satu khayalan?

Yang harus jadi persoalan ialah, jika ini berlaku adakah cuma ahli politik yang akan rugi? Tidak kira berapa tahun atau berapa generasi yang akan menyesali keterlanjuran ahli-ahli politik Melayu-Islam hari ini, hakikatnya ialah, senario ini bukanlah satu khayalan.
NONE
Ia mungkin berlaku. Kemungkinan ini bukanlah terlalu jauh dari realiti. Pilihanraya umum ke-13 bakal diadakan dalam tempoh terdekat. Segala petunjuk politik mengarah kepada keadaan rumit ini.

Apabila  ini terjadi, baik Umno dalam gerombolan Barisan Nasional dan PAS yang menjadi kerabat Pakatan Rakyat masing-masing akan memikul dosa melepaskan kemudi politik negara kepada pengundi bukan Islam.

Jika ikut tabiat mereka hari ini, sampai kiamat Umno akan menyalahkan Pas dan parti Islam itu akan cuba menyangkutkan kesalahan di bahu Umno.
Hari ini, kesinambungan kuasa politik dan ekonomi Melayu-Islam banyak berpaut kepada budibicara dan budaya politik PAS dan Umno. Kehadiran parti-parti politik lain (baik dalam BN mahupun PR) adalah hiasan dalam lakaran besar politik negara.

Yang amat teruja berebut kepercayaan rakyat supaya menyokong mereka ialah PAS dan Umno. Malangnya, sasaran mereka sama – pengundi Melayu-Islam. Kehadiran MCA, MIC, PBS (dan lain-laiin dalam BN) dan PKR serta DAP adalah sekadar pengimbang tokok dalam neraca politik Malaysia. Secara nalurinya parti-parti bukan Melayu ini lebih cenderung menyemarakkan persaingan dan persengketaan Umno-PAS.
NONE
Yang pastinya pengundi bukan Islam akan berasa lebih selesa dan selamat jika pengundi Melayu-Islam berpecah-belah. Malah, arahtuju poliltik hari ini memb uka jendela lebih luas kepada kemungkinan mereka mencelah dan mengambil alih teraju politik Malaysia.
Untuk mengongkosi kemungkinan bertambah berseleraknya perpaduan Melayu-Islam bukan satu masalah bagi mereka. Itu adalah pelaburan kecil berbanding laba yang akan diraih.

Apologetik

Ciri-ciri lemahnya politik Melayu Islam makin ketara. Umat Islam di Malaysia umumnya kini terdorong untuk bersikap apologetik, terutama sekali bila membabitkan soal politik. Banyak persoalan politik yang bakal meninggalkan kesan besar kepada kedudukan sosio-ekonomi dan maruah mereka tidak ditangani dengan berkesan.
Dan, mereka kini lebih selesa untuk mencari jalan mudah keluar daripada kemelut ini.
Ambil sahaja contoh hudud. Makin ramai yang mahu kerja dakwah diperkasa dan penerangan mengenai persoalan itu dipergiatkan. Namun bagaimana dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan tidak diperinci.
azlanRata-rata kebanyakan pihak berkepentingan mahu persoalan itu diselesaikan oleh ulama. Siapa ulama bukan perkara penting. Yang utama, biarlah orang lain yang pecahkan masalah itu.
Umumnya, lanskap politik Malaysia agak mengelirukan bagi umat Islam. Anjakan kepada sistem dua parti  seolah-olah membelah keyakinan diri umat Islam. Malah yang dibimbangi, apabila semua pihak berkepentingan tidak dapat menangani isu ini dengan berkesan, akan muncul pula kelompok ketiga dalam sistem politik Malaysia – masyarakat yang apathetic atau tidak peduli akan persekitaran politik mereka.

Mabuk kuasa

Mereka tidak mahu terbabit dan malah membenci kedua-dua tembok politik yang menjadi sempadan pemikiran siasah negara.
Pedoman utama telah diberikan oleh Rasulullah SAW. Baginda berpesan bahawa dalam munajat panjang baginda pada Allah Azza Wajalla, satu daripada tiga doa baginda tidak diperkenankan. Baginda berharap Allah tidak menghapuskan umat Islam kerana wabak penyakit dan kemarau. Doa itu diperkenankan.
islamic state
Bagaimanapun permintaan baginda agar jangan umat Islam (dalam konteks ini, Melayu) hapus dek perbalahan sesama sendiri tidak dipenuhi.
Apakah ini sedang berlaku terhadap umat Islam-Melayu Malaysia? Adakah sesuatu yang boleh diusahakan supaya ketentuan ini dihindari atau dilewatkan berlaku ke atas umat Islam Melayu? Sudah tiba masanya, pemimpin Islam Melayu berfikir di luar lingkungan politik parti mereka sahaja.
Atau, bersediakah mereka untuk menggalas beban dan maki hamun anak cucu mereka kerana “terlalu mabuk” kuasa hingga tidak mahu membuka hati bahawa pihak saingan juga ada peranan mengukuhkan umat?



ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments: