Pages

Saturday, November 5, 2011

Sekolah Tahfiz Sains dibina di Langkawi



YAN 5 Nov. — Kerajaan negeri Kedah akan membina sebuah Sekolah Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi sebagai sebahagian usaha menjadikan negeri itu sebagai pusat ilmu terkemuka.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak pembinaan bangunan sekolah berkenaan.
"Bajet kita telah buat dan tanah telah ada seluas 12.21 hektar di Pulau Tuba. Pada masa ini seramai 50 orang pelajar tahfiz tingkatan satu sedang belajar di bangunan sekolah sementara di Kulim,” katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan bantuan kepada 302 pelajar institusi pengajian tinggi awam dari kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, sekolah itu disasarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 orang pelajar sedia ada yang merupakan kumpulan pertama sekolah berkenaan.
Azizan berkata, kos membina bangunan sekolah itu dianggarkan menelan belanja melebihi puluhan juta ringgit iaitu termasuk peruntukan membina asrama, makmal dan pelantikan para guru.
"Kita bina secara bertahap dan dalam tempoh tiga tahun dijangka siap,” katanya.
 BERNAMA

No comments: