Pages

Tuesday, November 22, 2011

Peminat saksi perlawanan Malaysia-Indonesia, maut diserang sakit jantung


YAN - Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang mendebarkan antara Malaysia dan Indonesia di sebuah kedai makan di Guar Chempedak dekat sini malam tadi.
  
Ahmad Fauzi Ismail, 42, dikatakan pengsan di situ pada 10.50 malam semasa ramai pelanggan menonton perlawanan bola sepak itu sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans 10 minit kemudian.
  
Dia dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan.

Pembantu kedai makan itu, Hasli Ishak, 29, berkata Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai itu.
 
 "Dia datang pada 8.30 malam dan makan nasi lebih kurang 10.30 malam, dan waktu dia  makan, saya tengok dia pun pelik sikit sebab nampak pergerakan dia suap nasi pun perlahan lain berbanding sebelum ini," katanya.

Hasli berkata bahawa pada 10.50 malam, Ahmad Fauzi pengsan atas kerusi dan tubuhnya kelihatan pucat.
  
"Kami menghubungi hospital dan dalam pukul 11 malam ambulans sampai," katanya.
  
Kakak ipar Ahmad Fauzi, Nafishah Jusoh, 46, berkata dia mengetahui tentang kematian adik iparnya itu menerusi panggilan telefon daripada abang Ahmad Fauzi yang tinggal di Kuala Lumpur setelah dimaklumkan oleh rakan Ahmad Fauzi.
  
Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan adik iparnya itu pada 11 pagi semalam yang mengadu tidak sihat dan memohon supaya menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
  
Nafishah berkata bagaimanapun adik iparnya itu menangguhkan hasrat bagi mendapatkan rawatan di  hospital kerana ingin menonton perlawanan itu terlebih dahulu.
  
"Dia memang peminat sukan terutamanya bola sepak dan tidak pernah melepaskan peluang menonton sebarang perlawanan bola sepak. Dia beritahu saya dia akan terus ke Hospital Yan sebaik sahaja tamat perlawanan bola namun dia meninggal dunia ketika belum sempat menyaksikan kemenangan pasukan negara," katanya.
  
Nafishah berkata Ahmad Fauzi, anak bongsu daripada empat beradik, menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
  
"Ahmad Fauzi memang kurang sihat sejak setahun yang lalu tambahan pula dia tinggal seorang diri sejak kematian ibu mentua saya, Faridah Mustafa, dua tahun lalu," katanya.
  
Beliau berkata bahawa berdasarkan laporan perubatan, Ahmad Fauzi meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
  
Malaysia mengalahkan Indonesia 4-3 menerusi tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 bagi mengulangi kejayaan meraih pingat emas yang dicapai pada Sukan SEA sebelum ini di Laos.

BERNAMA

No comments: