Pages

Monday, November 7, 2011

Lee Kuan Yew hidap penyakit saraf


SINGAPURA - Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew kini menghidap sejenis penyakit saraf yang luar biasa yang menyebabkan dia sukar untuk berjalan, kata seorang anak perempuannya yang juga seorang doktor, Lee Wei Ling yang menulis dalam kolum mingguannya di akhbarStraits Times semalam.
Menurutnya, Kuan Yew yang memimpin Singapura dari 1959 hingga 1990 didiagnos dengan penyakit saraf neuoropati periferi, sejenis penyakit yang menjejaskan saraf di luar sistem saraf pusat dan menjejaskan keseimbangan.
"Pada hari yang sama, dia tegap dan pada hari-hari lain, keseimbangannya lemah," katanya yang merupakan doktor perubatan dan pengarah Institut Neurosains Kebangsaan Singapura.
Dia berkata, otak dan otot Kuan Yew yang berusia 88 tahun berfungsi dengan normal.
Menurutnya, bekas pemimpin itu berlatih berjalan dengan menggunakan sebuah mesin senaman di rumahnya tiga kali sehari.
"Saya berpendapat, dengan perubatan dan langkah pencegahan, dia boleh meneruskan perkhidmatan untuk negaranya dan dunia," kata Wei Ling.
Pelbagai punca yang menyebabkan penyakit neuropati periferi tetapi anak perempuan Kuan Yew itu tidak menjelaskan punca bapanya menghidap penyakit tersebut.
Menurut Wei Ling, dia juga menderita penyakit yang sama.
"Saya tidak meragui bapa saya akan berjuang menentang penyakit itu untuk satu tempoh seperti dia berpendapat boleh memberi sumbangan kepada Singapura," katanya.
Kuan Yew meletakkan jawatan sebagai Menteri Mentor awal tahun ini tetapi masih menjadi seorang anggota parlimen dan kerap menemui beberapa pemimpin asing di luar negara.
Bekas pemimpin itu turut bertanding dalam pilihan raya umum Singapura pada Mei lalu.
Dia menjadi Perdana Menteri pada 1959 dan menyaksikan negaranya berada di bawah penguasaan Britain, dua tahun dalam Persekutuan Malaysia dan akhirnya merdeka pada 1965.
Kuan Yew menjadi Perdana Menteri sehingga 1990, menyelia satu zaman pembangunan pesat yang menukarkan Singapura menjadi negara yang moden.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong merupakan anak lelaki sulung Kuan Yew. - Agensi

No comments: