Pages

Saturday, November 26, 2011

Kuota Rumah: Kerajaan Selangor Jawab Pembangkang





Ketika pentadbiran Umno-BN terdapat kuota politik bagi pembelian rumah kos rendah dan banyak penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berlaku.



PETALING JAYA: Sejak mengambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat telah menghapuskan kuota politik bagi tujuan pengagihan rumah kos rendah kepada rakyatnya.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, ketika pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terdapat kuota politik bagi pembelian rumah kos rendah dan banyak penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berlaku.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam bagi menjelaskan tentang kegiatan seorang individu yang menipu pembeli rumah kos rendah di beberapa kawasan di Klang, Balakong, Selayang dan Cheras.
“Individu berkenaan Mohd Yatim Dato’ Abu Bakar, yang mengambil sejumlah bayaran sebagai deposit adalah bukan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor. Beliau tidak pernah bekerja dan tidak wujud di Pejabat Menteri Besar,” terang beliau.
Sehubungan itu katanya, dakwaan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang menuduh pegawai Menteri Besar terlibat dalam penipuan ini adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Faekah berkata, sebab itu sejak mengambil alih pentadbiran 2008 Kerajaan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk memansuhkan kuota politik samada secara nyata mahupun tersirat dalam segala bentuk bantuan kepada rakyat.
“Kami telah meminta mangsa membuat laporan  polis sebaik sahaja dimaklumkan oleh beberapa pembeli rumah yang terpedaya yang datang sendiri ke Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan kepastian mengenai status individu berkenaan.
“Malah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan sebanyak empat kali berdasarkan maklumat yang diterima daripada mangsa.
“Kami berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat aduan ini dan mengheret individu ini dan pihak lain yang mungkin bersekongkol ke mahkamah untuk didakwa dan dikenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan,” jelasnya.
Faekah menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Menteri Besar dan LPHS tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau individu untuk mengutip bayaran bagi mendapatkan rumah kos rendah atau perkhidmatan lain.
“Sekiranya melibatkan bayaran, ia sepatutnya dibayar terus kepada Kerajaan Negeri atau agensi kerajaan dan bukan melalui orang ketiga,” katanya.
Tegas beliau, “dengan penjelasan ini, kami berharap tiada lagi pihak yang mengaitkan individu atau penipuan ini dengan Pejabat Menteri Besar dan menasihatkan pihak-pihak berkenaan supaya tidak cuba ‘menangguk di air keroh” untuk memburuk-burukkan Menteri Besar dan kerajaan negeri.
FMT

No comments: