Pages

Tuesday, November 1, 2011

Guna racun kimia dikira pertanian ibadah?





"Tiada seorang Muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah." (Hadis riwayat Bukhari)

Bertani bagi menampung keperluan makanan manusia bukan sahaja penting kepada ekonomi dan bekalan makanan sejagat, bahkan mendatangkan pahala jika difahami konsepnya.

Namun, adakah amalan pertanian masa kini,yang menggunakan pembajaan dan penggunaan racun kimia boleh dikategorikan sebagai sebahagian amalan "bertani satu ibadah"?

Kaedah tersebut sudah tentunya mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada kesihatan manusia, tetapi juga kepada populasi dan survival makhluk Allah SWT yang lain. Justeru, ibadah jenis apa yang kita lakukan sampai boleh mendatangkan mudarat? Mungkin kita perlu menilai semula kaedah ini.

Maka, bagi menjawab persoalan tersebut, tanaman secara organik adalah penyelesaian yang terbaik bagi kehidupan manusia masa kini.

Tanaman organik bukan sahaja memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan manusia,malahan ia juga membantu memulihara semula ekosistem bumi daripada kerosakan.

Kajian juga membuktikan bahawa pertanian secara organik mampu mengeluarkan hasil yang banyak berbanding pertanian konvensional. Di kawasan penanaman padi organik, di Tunjung, Kelantan misalnya, melalui kaedah penanaman organik System of Rice Intensification (SRI) satu hektar padi mampu menghasilkan hingga 11 tan.

Purata pengeluaran padi konvensional yang sekitar 3 hingga 4 tan. Malahan, tinggi pokok padi organik di kawasan terbabit pernah mencatatkan rekod ketinggian yang luar biasa iaitu sehingga 6 kaki.

Jumlah pengeluaran ini agak berbaloi bagi menampung keperluan makanan negara walaupun ia memerlukan tenaga kerja yang tinggi.

Produk organik mesra alam. Produk yang dihasilkan daripada kaedah alamiah ataupun semulajadi, tanpa penambahan bahan yang memudaratkan.

Kurang kesedaran terhadap memilih makanan organik menyebabkan produk ini mendapat kurang tempat di hati masyarakat dan penghasilannya juga kurang berbanding produk konvensional.

Namun, produk organik seperti beras, ayam, telur dan sebagainya semakin bercambah di pasaran tempatan.Walaupun harganya agak mahal berbanding produk biasa, namun nilainya agak berpatutan jika kita fikirkan kesan positifnya kepada kesihatan, alam sekitar dan juga mampu mendatangkan pahala.

Sebagai pengguna, kita seharusnya menyokong penghasilan produk organik ini.

Amalan memakan makanan organik harus dipupuk supaya ia menjadi satu lagi langkah ke arah memulihara dan memelihara bumi Allah SWT ini.

Menjadi khalifah di bumi bukan hanya bertanggungjawab menguruskan manusia sahaja, tetapi juga menguruskan segala makhluk yang ada supaya dapat hidup dengan lestari.

Maka memilih organik merupakan salah satu tanggungjawab manusia bagi menjaga kestabilan bumi sejagat.

Kita seharusnya menyedari akan kepentingan amalan berorganik. Di peringkat keluarga dan masyarakat, mereka perlu menilai semula pemilihan produk makanan daripada yang mempunyai kandungan kimia tinggi kepada produk yang organik.

Di peringkat kerajaan pula, kempen untuk memupuk rakyat mengamalkan amalan pemakanan organik perlu dijalankan.

Di samping itu, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan baja kimia sebagai pemberian baja subsidi kepada para petani.

Syarikat-syarikat yang pembekal baja kimia juga perlu mengubah kandungan produk mereka agar lebih berorganik.

Kesimpulannya, dengan mengamalkan penggunaan produk organik dan tanaman organik, bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan, namun juga dapat merapatkan hubungan manusia dengan alam dan Tuhan.


Penulis merupakan mahasiswa tahun akhir, Fakulti Agro-Industri dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Kelantan.

No comments: