Pages

Tuesday, November 22, 2011

Bekas Pengarah Makan Rasuah Kena Penjara Dan Denda 150k



Bekas Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Zon Utara dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM150,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM15,000 dua tahun lepas.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan Mahmad Faisaal Fadzil, 54, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pindaan yang dihadapinya.
Bagi setiap pertuduhan, dia dihukum penjara tiga tahun namun diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.
Bagaimanapun, hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi denda RM150,000 diarah bayar pada hari hukuman diputuskan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Mahmad Faisaal didakwa meminta bagi diri sendiri wang tunai RM15,000 daripada Azmi Mohamad sebagai upah kononnya untuk menyokongnya sebagai pembekal benih berdaftar dengan lembaga itu pada 15 Jun 2009.
Selain itu, upah tersebut juga kononnya sebagai dorongan melantik Azmi untuk membekalkan benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Benih Nanas pada tarikh 9 Jun 2009 bernilai RM18,850 dan 22 Februari 2009 bernilai RM33,350 serta RM34,437.50.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 petang 21 Julai 2009.
Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada individu sama bagi tujuan dan dorongan serupa di CIMB Bank di 1583, Bangunan Tunku, Jalan Tunku Ibrahim di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari 22 Julai 2009.
KOSMO

No comments: