Pages

Monday, August 8, 2011

Tanah Runtuh - 7 Maut 2 Parah



Tujuh termasuk empat wanita maut, manakala dua parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang, Cameron Highlands petang semalam.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50, Jaafar, 49, Mohd Ikbal Jaafar, 15, Sara Gunung, 37, Norma Gunung, 51, dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

"Segala operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan pada 1.50 pagi. Bagaimanapun pihak polis meneruskan bagi menjalankan operasi kawalan di kawasan kejadian," kata Ketua Polis Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu kepada pemberita.

Beliau berkata mangsa terakhir ditemui 1.20 pagi.

Semua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk bedah siasat manakala yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut, katanya.

Wan Zahari berkata berkata kedua-dua mangsa yang cedera itu dilaporkan stabil.

"Sebanyak 248 anggota pelbagai agensi antaranya polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan SMART dan Rela terlibat dalam operasi di kawasan kejadian," katanya.

Beliau berkata semua 60 keluarga yang mendiami rumah di kawasan berisiko sudah dipindahkan ke Dewan Serba guna Brinchang di Cameron Highlands.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang, menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Dewan Serba guna Brinchang pada 4.30 pagi tadi mendapati proses pemindahan kesemua keluarga terbabit masih berjalan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Cameron Highlands.

Pemindahan kesemua keluarga itu, yang dibuat secara pukal, dibantu oleh pengangkutan pihak polis.

Jurucakap JKM memberitahu mereka akan tinggal di situ sementara menunggu pengesahan status kawasan kediaman mereka di Sungai Ruil selamat untuk diduduki semula. 

- Bernama

No comments: