Pages

Tuesday, July 26, 2011

Kes Sosilawati - Bahan Bukti Ditolak.


SHAH ALAM 25 April - Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa anggota penyelam dari Pasukan Gerakan Marin (PGM) tidak menemui kayu kriket yang didakwa antara barang bukti dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sepanjang membuat pencarian di tiga buah sungai di Banting pada September tahun lalu.

L/Koperal Kesatoper Wine anak Assan, 28, yang bertugas sebagai penyelam di PGM Wilayah 1, Pulau Pinang berkata, sepanjang operasi antara 12 September dan 25 September di Sungai Panchau, Sungai Kanchong Laut dan Sungai Lang, pasukannya hanya menemui telefon bimbit, gelung dawai, guni, serpihan disyaki tulang dan pisau.

"Saya, Merzuki (Koperal Merzuki Shahrim) dan Hazriman (Muhamad Hazriman Ismail) tidak jumpa (kayu kriket) tetapi kawan-kawan lain mungkin," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathamanabhan.

Wine berkata demikian ketika Manjeet Singh merujuk beliau kepada satu kenyataan dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin pada 17 September 2010 mengenai penemuan kayu kriket oleh pihak polis di dalam Sungai Panchau.

Saksi ke-31 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Wine juga berkata, selain sebilah pisau yang menjadi eksibit dalam kes itu, beliau turut menemui dua bilah pisau yang lain sepanjang membuat pencarian di sungai terbabit.

Bagaimanapun, beliau memberitahu dua bilah pisau berkenaan tidak ditanda sebagai eksibit selepas dimaklumkan oleh pihak forensik bahawa bahan bukti itu tidak ada kaitan dalam kes pembunuhan berkenaan.

Seorang lagi penyelam dari PGM L/Koperal Muhamad Hazriman Ismail dalam keterangannya juga mengakui bahawa pencarian pasukan mereka di Sungai Pancau menemui lebih daripada sebilah pisau.

"Tidak pasti berapa banyak pisau (ditemui) tetapi lebih daripada satu. Kami bagaimanapun letak semula pisau tersebut dalam sungai," katanya.

"Kenapa letak balik pisau (ke dalam sungai)," soal peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, Matan.
"Mengikut pihak forensik (pisau) tidak ada kena mengena (dengan kes) dan mereka suruh letak balik," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

No comments: