Pages

Sunday, June 12, 2011

Pas Sudah Lama Guna Negara Kebajikan,Tak Ciplak Idea BN,


Najib yang mendakwa parti Islam itu mencuri idea atau menciplak apabila menekankan konsep negara berkebajikan ketika muktamar awal bulan ini, kata pemimpinnya hari ini.
Malah pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari juga berkata PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.
“Soal curi idea atau ciplak, saya hairan dengan pandangan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak). Saya hairan dengan pandangan beliau, tapi saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan pemimpin-pemimpin Umno yang sudah bercakap mengenai soal kebajikan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kata Mahfuz, sebahagian konsep negara berkebajikan telah pun dilaksanakan tetapi dengan keupayaan yang terhad.
“Apa yang dimaksudkan keupayaan terhad adalah bidang kuasa kita terhad dan kewangan terhad,” katanya yang turut menekankan bahawa ucapan dasar lazimnya akan bertukar tema dan kali ini ucapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.
“Ucapan dasar presiden biasanya bersandarkan isu-isu dan perkembangan semasa. Saya pasti begitu juga ucapan presiden Umno dan parti-parti politik lain.
“Jadi, ucapan Datuk Seri Hadi menyentuh konsep negara kebajikan, yang ada kaitan dengan manifesto pilihan raya umum 2008,” katanya lagi.
Muktamar PAS kali ini dilihat yang terakhir sebelum negara menyaksikan pilihan raya umum ke-13.
Namun begitu, Mahfuz menegaskan, konsep negara berkebajikan perlu difahami bahawa ia tidak melibatkan harta benda semata-mata.
“Ini sudah disalah tafsir oleh masyarakat jika menganggap negara berkebajikan itu melibatkan kewangan semata-mata.
“Negara berkebajikan itu merupakan perkara baik yang bertujuan menyatupadukan rakyat. Konsep ini yang menekankan kepimpinan yang adil, telus dalam masyarakat, bebas dari rasuah.
“Sejak PAS mentadbir kerajaan Kelantan sejak 21 tahun lalu, mana ada lagi pemimpin kerajaan negeri yang diseret ke mahkamah atas sebab rasuah berbanding kepimpinan Umno,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
“Umno sekarang sudah terdesak dan tidak mampu lagi memberi jaminan kepada rakyat dalam konteks negara berkebajikan sedangkan rakyat ternanti-nantikan konsep ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Buku Jingga sebenarnya menjadi wadah kepada rakyat betapa pentingnya mereka membentuk negara berkebajikan dan kembali kepada kebajikan.
“Ia (buku itu) sudah memberi tawaran menyeluruh untuk ke arah negara berkebajikan,” tambah Mahfuz.
Ahli Parlimen Kuala Selangor juga menekankan bahawa PAS sudah lama menggunakan konsep negara berkebajikan sejak era kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor yang mengetengahkan Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21 pada 2002.
“Malah, ia juga sudah dimasukkan dalam manifesto PAS pada 2008. Jadi, mengapa baru sekarang Umno mempertikaikan perkara ini dan jadikan isu,” kata beliau lagi.
“Cuma PAS memberikan pengertian dan penghayatan semula kepada konsep ini,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.
Abdul Aziz pula berkata, pada penelitian beliau konsep kebajikan pernah dimasukkan ke dalam manifesto ketika pilihan raya umum 1978.
“Jadi, bagi saya ia bukan isu. Ini kerana ia sudah lama dibawa oleh PAS, cuma tidak diberikan penekanan.... hanya sekarang ia mendapat tempat secara terperinci,” katanya ketika dihubungi.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menjelaskan konsep negara berkebajikan akan dimasukkan dalam manifesto PAS menghadapi pilihan raya umum ke-13 walaupun sudah ada dalam manifesto 2008.
Jelasnya, beliau akan menambah sedikit intipati kandungannya seperti masalah pendapatan seisi rumah kerana harga barang meningkat.
Tambah beliau, sebenarnya negara berkebajikan sudah ada sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.
“Pembangunan ekonomi dulu, lebih adil dan telus, pemimpinnya juga bersifat adil. Kini, walaupun mempunyai berjuta-juta pemimpin tetapi belum tentu mempunyai ciri-ciri ke arah negara berkebajikan,” ujanya.
Mohamad menegaskan, sebenarnya Buku Jingga merupakan salah satu contoh konsep negara berkebajikan.
“Saya akan membawanya ke dalam manifesto akan datang. Jadi Pakatan Rakyat akan turut sama memperincikan negara berkebajikan ini,” ulasnya lanjut.MI

No comments: