Pages

Friday, May 27, 2011

Perwakilan Pas Perlu Pilih Pimpinan Kelantan Ke Pusat-Nik Aziz


KUALA LUMPUR, 27 Mei — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kepimpinan PAS Kelantan diperlukan dalam pentadbiran pusat parti itu bagi menyumbang pengalaman dan pentadbiran komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.
Justeru, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau menyokong penuh dua Exco Kerajaan Negeri bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan akhir minggu depan.
Dua exco itu ialah Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Selain dua wakil rakyat itu, seorang lagi yang bertanding kerusi naib presiden kali ini ialah Salahuddin Ayub.
Salahuddin yang mahu mempertahankan jawatannya merupakan ahli Parlimen dari Kelantan, tetapi berasal dari Johor.
“Kelantan ada kerajaan PAS. Oleh itu perlu ada pemimpin PAS Kelantan di pusat, nak jadi timbalan presiden atau naib presiden itu masalah kedua, yang penting ada calon supaya pengalaman di Kelantan boleh dibawa ke pusat, maka orang ini boleh jawab dengan jelas,” kata Nik Aziz (gambar) dipetik Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun, Nik Aziz memberitahu jika terpilih beliau menasihatkan pemimpin berkenaan perlu bijak membahagikan masa antara jawatan parti dan pentadbiran negeri bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.
“Tidak ada masalah walaupun dua orang... (tetapi) jangan jejas mesyuarat Kelantan, masa mesyuarat Exco ada, nak atur macam mana terpulang, jangan bertembung.
“Macam pengalaman sebelum ini, Datuk Halim Abdul Rahman (bekas timbalan menteri besar) yang dilantik (ke) Dewan Harian, banyak dia tak dapat hadir,” kata beliau dalam laporan itu.
Menyentuh mengenai pertandingan peringkat timbalan presiden, Nik Aziz memilih untuk berkecuali dan menyerah kepada perwakilan walaupun spekulasi mengatakan beliau menyokong naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Itu saya tidak boleh komen, kebetulan Tuan Ibrahim anak saudara saya. Kalau saya sokong pun, saya tidak boleh sebut,” katanya lagi.
Awal minggu ini, Tuan Ibrahim mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, kerusi yang hendak dipertahankan oleh Nasharudin Mat Isa.
Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu juga memutuskan untuk bersaing di peringkat timbalan presiden.
Dalam pada itu, jawatan naib presiden PAS bakal menyaksikan pertarungan melibatkan enam penjuru termasuk tiga daripadanya wakil rakyat dari Kelantan.
Selain Husam, Mohd Amar dan Salahuddin turut akan bertanding ialah Datuk Mahfuz Omar, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Penerangan Idris Ahmad.MI

No comments: