Pages

Wednesday, May 11, 2011

BN Rancang Pilihan Raya Olok-Olok Hadapi PRU-13



KUALA LUMPUR, 11 Mei — Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan bermesyuarat Jumaat ini dijangka akan mengadakan pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas kerja mengenai pilihan raya olok-olok akan dibentangkan dalam mesyuarat Jumaat memandangkan Umno akan mengadakan pemilihan parti Julai ini.
“Kemungkinan besar kami akan menyentuh mengenai prestasi pilihan raya negeri Sarawak, analisis keputusan pilihan raya itu, pendaftaran pengundi dan saya akan membentangkan kertas kerja ‘dry run’ itu,” katanya.
Bernama Online melaporkan parti komponen BN Sarawak juga akan membentangkan laporan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat menambah bilangan kerusi dari tujuh kepada 15, dari 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Tengku Adnan berkata BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan mengambil iktibar dari beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan termasuk keputusan pilihan raya negeri Sarawak.
Ia juga termasuk mengkaji trend pengundian pada pilihan raya umum Singapura Sabtu lalu sebagai persiapan pilihan raya umum ke-13.
The Malaysian Insider difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menangguhkan tarikh pilihan raya umum sehingga hujung tahun ini atau awal 2012 bagi memastikan sokongan Bumiputera dan pengundi India seterusnya memastikan kemenangan dua pertiga Parlimen.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan Melayu terhadap Umno akan meningkat selepas pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan diri beliau untuk mencalarkan imej Pakatan Rakyat sebagai tanda pilihan raya umum akan diadakan Ogos ini.
Tapi sumber BN berkata Najib masih berhati-hati untuk mengadakan pilihan raya umum selagi beliau tidak yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga yang mana kini dilihat agak mustahil selepas sokongan orang Cina di Sarawak menunjukkan penurunan sokongan yang besar.
MCA telah mengalami kekalahan besar pada pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga — yang mana parti itu hanya menang 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi.MI

No comments: