Pages

Sunday, January 23, 2011

Warga felda dapat 1.6b :Najib ?


SENAI - Peruntukan RM1.6 bilion yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk warga Felda di seluruh negara, dilihat tidak gempar malahan mengelirukan khususnya kepada generasi kedua Felda.


Menurut Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, walaupun jumlah berkenaan besar, tetapi ia tidak langsung menggemparkan memandangkan peruntukan berkenaan adalah perkara biasa yang akan diberikan setiap tahun kepada Felda.

“Peruntukan tersebut adalah untuk Felda di seluruh negara dan jumlah RM8.5 juta akan disalurkan bagi membina prasarana 500 buah lot kedai, tetapi jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung permintaan generasi kedua Felda,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga mengelirukan terutamanya berkaitan dengan pembinaan Menara Felda yang menelan belanja RM622 juta selain tidak langsung menyentuh mengenai pembangunan sosial dan ekonomi generasi kedua Felda.

Beliau berkata, selepas ditolak peruntukan tersebut dengan kos membina menara, jumlah tersebut telah menyusut dan tidak mencukupi untuk memajukan 315 Felda di seluruh negara.

Selain itu beliau turut mempertikaikan mengenai pengumuman peruntukan berkenaan yang dibuat dalam tempoh menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Saya melihat pengumuman peruntukan berkenaan seperti tidak kena pada masanya dan seperti gimik politik semata-mata yang kononnya mahu menunjukkan keprihatinan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan yang tidak menggariskan pelan pembangunan untuk generasi kedua sedangkan masa depan Felda terletak di tangan mereka yang akan meneruskan perjuangan membangunkan Felda.

Justeru beliau berpendapat satu pendekatan terbaik perlu diambil bagi mengatasi masalah pembangunan generasi kedua Felda supaya tanah rancangan berkenaan tidak kosong pada masa depan.

“Jika diperhatikan kebanyakan yang tinggal di Felda kini adalah golongan yang berusia iaitu generasi pertama Felda, tetapi golongan muda kebanyakannya tinggal di bandar,” katanya.

Ketiadaan peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan selain bidang pertanian tidak menarik golongan muda untuk terus tinggal dan meneruskan kehidupan di Felda.

Oleh itu beliau menyokong tindakan yang digariskan di dalam pelan 100 hari pembangkang iaitu untuk memansuhkan Felda dan 10 ekar tanah akan diberikan kepada lebih 79,000 generasi kedua Felda di seluruh negara. SH.

No comments: