Pages

Monday, January 17, 2011

Kepala Bukit diserang babi hutan

KAMPUNG KEPALA BUKIT- Kebanyakan penduduk terutama petani di Kampung Kepala Bukit terpaksa hidup dalam dilema berikutan terdapat beberapa masalah yang tidak mendapat perhatian pihak berwajib.

Kampung Kepala Bukit yang dulunya terkenal dengan tanaman jagung terpaksa menghadapi ancaman babi hutan hutan yang sering kali merosakkan tanaman mereka sehingga penduduk kampung sukar mengusahakan sebarang tanaman.......


Penduduk, Nasir Mustafa, 45, berkata, tanaman yang mereka usahakan sering dirosakkan babi hutan yang berkeliaran pada lewat malam.

“Masalah babi hutan memang tidak dapat dipertikaikan, kewujudannya semakin banyak apabila tuan tanah tidak mengusahakan tanah mereka sehingga menjadi sarang haiwan perosak berkenaan.

“Dulu babi hutan tidak banyak, tetapi, bila banyak tanah terbiar, babi jadikan tempat itu sebagai sarang. Petani yang mengusahakan tanaman akan terdedah kepada ancaman haiwan liar,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, masalah itu bukan saja melibatkan kampung ini, tetapi juga melibatkan Kampung Banggol Lalang, Kampung Guar Nenas, Kampung, Kampung Jelatang dan Kampung Guar Jumaat.

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana petani sering kali mengalami kerugian apabila tanaman yang diusahakan musnah begitu saja. Anggaran kerugian petani di kampung ini sahaja melibatkan belasan ribu ringgit,” katanya kepada Sinar Harian.

Nasir berkata, disebabkan maslaah itu kira-kira 14.5 hektar (50 relung) tidak diusahakan di kampung ini.

“Apabila tanah tidak diusahakan, kawasan itu akan menjadi rimba dan pastinya menjadi habitat babi hutan untuk terus membiak ,” katanya.

Baja subsidi tidak cukup

Petani yang mengusahakan pelbagai tanaman di sini juga mendakwa kebajikan mereka sebagai petani tidak mendapat perhatian jabatan berkenaan.

Penduduk, Kamarulzaman Bakar, 39, ataupun lebih dikenali sebagai Kaman berkata, jabatan berkenaan tidak pernah datang melawat ke kampung ini sejak pada 2007.

“Kami juga amat berharap agar ada pegawai yang bertanggungjawab hadir untuk mendengar masalah petani di sini.

“Wang berjuta-juta dilaburkan untuk meningkatkan pertanian di kampung ini. Tetapi, tiada pegawai yang datang mendengar masalah petani di sini. Apakah projek pertanian di sini hanya digunakan untuk mencairkan duit rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman juga mempertikaikan mengenai pemberian baja subsidi yang sepatutnya diberikan kepada petani.

“Sepatutnya, baja yang diberikan perlulah melihat dari keluasan relung yang diusahakan oleh petani. Tetapi ada pihak yang memberikan syarat hanya jumlah tertentu yang boleh diberikan.

“Ada petani yang mendakwa hanya mendapat sekampit baja subsidi sedangkan petani mempunyai tanah pertanian lebih dari tiga relung. Sekampit baja mana la cukup. Namun begitu, harapan petani untuk mendapatkan bekalan baja mengikut kawasan pertanian tidak pernah diendahkan,” katanya.

Jejas imej daerah pelancongan

Kamarulzaman turut mengatakan imej daerah ini sebagai daerah pelancongan tidak boleh menjadi kenyataan jikalau kawasan pertanian hanya dipenuhi dengan hutan.

Kampung Kepala Bukit ini hanya berapa meter dari kawasan peranginan Gunung Jerai.

“Alangkah baiknya jika kawasan ini mempunyai tanaman yang subur dan pastinya pelancong asing tertarik dengan kesuburan tanaman kita di sini. Perlu diingatkan, Kampung ini dulu terkenal dengan tanaman jagung dan ada beberapa pelancong asing yang sempat singgah di sini dan mengatakan keterujaan mereka terhadap kesuburan tanaman di sini. Kini, semuanya hilang tanpa pembelaan,” katanya ketika ditemui.

Aliran sungai juga tersekat

Masalah lain yang dihadapi penduduk kampung ini adalah aliran air sungai tersekat berikutan sungai yang dipenuhi dengan rumput.

Kamarulzaman berkata, proses pembersihan sungai perlu dilakukan enam bulan sekali berbanding setahun sekali.

“Kalau setahun, kawasan sungai tersebut pasti ditutup oleh rumput yang boleh menyekat laluan air seterusnya menyebabkan banjir,” katanya.

Menurutnya, banjir sering berlaku di kawasan kampung ini berikutan aliran sungai yang sempit.

“Kesannya adalah kepada petani yang mengusahakan tanaman. Kebanyakan petani terpaksa menanggung kerugian apabila tanaman mereka dinaiki air.

“Kadang-kadang saya sedih lihat petani yang terpaksa menanam semula tanaman mereka yang rosak akibat banjir,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kontraktor yang membersihkan sungai ini turut mengehadkan proses pembersihan sungai ini berikutan sebab yang tidak dikenal pasti.

“Kalau mereka nak bersihkan, sepatutnya bersihkan semua sungai. Bukan bersih di depan tetapi di belakang tinggal,” katanya ketika ditemui.

Kamarulzaman berharap agar masalah di kampung ini dan juga di beberapa kampung lain dapat diselesakan dengan segera.

“Sampai bila kami harus berhadapan masalah sebegini. Saya amat berharap agar ada pemimpin mahupun pihak yang berkenaan dapat tampil membantu masalah kami,” katanya..SH

No comments: