Pages

Sunday, January 16, 2011

Debat: Sahut cabaran kami, Pemuda PKR gesa Khairy


PETALING JAYA, 16 Jan — Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Pemuda Umno memberikan respons kepada cabaran mereka agar berdebat berhubung Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, surat jemputan cabaran telah pun dihantar ke pejabat Pemuda Umno pada 12 Januari lalu - sehari sebelum pergerakan itu mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengadakan debat
dengan ketua mereka Khairy Jamaluddin.
“Tetapi belum ada respons daripada Pemuda Umno untuk berbahas mengenai pelan pembaharuan Pakatan.
“Kami hendak menjelaskan dasar-dasar kami, apa yang kami lakukan bukan untuk kemegahan peribadiv . . . ia antara Pemuda Umno dan PKR, tiada yang lain,” kata Shamsul Iskandar hari ini.
Cabaran debat daripada kedua-dua Pemuda PKR dan Umno mendapat perhatian selepas Anwar mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berdebat dengan beliau berhubung dasar-dasar Pakatan Rakyat.
Anwar membuat cabaran itu selepas Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, membidas Program 100 Hari Pakatan Rakyat sebagai langkah yang akan memufliskan negara.
Bagaimanapun Najib mengetepikan cabaran Anwar itu dengan berkata, beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang.
Perdana Menteri berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.
Khairy menawarkan dirinya untuk berdebat dengan Anwar.
Malah Najib berkata, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda Umno, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya.
Shamsul Iskandar berkata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli telah ditawarkan oleh parti untuk berdebat dengan Khairy berhubung perkara tersebut.
“Isu debat adalah perkara serius . . . jika Pemuda Umno tidak memberikan jawapan, Angkatan Muda PKR akan menganggap ia sebagai petanda bahawa Pemuda Umno tidak bersedia untuk berdebat dengan kami (mengenai dasar-dasar kami),” kata Shamsul Iskandar.
Dalam pada itu mengenai isu novel Interlok, kata beliau, pihaknya akan menghantar satu rombongan untuk bertemu dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain untuk membincangkan pertikaian yang tercetus sejak sebulan lalu.
Timbalannya Khairul Anuar berkata, pengkritik novel itu perlu membawa keseluruhan novel sebelum “menyerang” novel tersebut.
“Saya menggesa setiap pihak supaya membaca Interlok terlebih dahulu sebelum memberikan komen. Jangan keluarkan komen berdasarkan apa yang orang lain kata,” kata Khairul.





No comments: