Pages

Tuesday, January 18, 2011

Debat: Anwar cabar Najib buat kali kedua


KUALA LUMPUR, 18 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pelawaan kedua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu membuat pelawaan kedua itu – selepas yang pertama 11 Januari lalu – dalam surat yang dihantar kepada Najib hari ini.

Anwar (gambar) berkata beliau membuat pelawaan kedua itu selepas tiadanya respons daripada Najib sehingga kini.
Salinan surat itu diedarkan kepada media ketika Najib membuat kenyataan di Tenang, Labis agar Anwar jangan membuat cabaran berdebat supaya tidak “demam”.
Najib berkata, Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu “demam” kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.
“Setelah hampir seminggu berlalu tanpa sebarang jawapan positif daripada Datuk Seri, saya dengan ini mengulangi jemputan kepada Datuk Seri untuk berbahas secara terbuka isu berkaitan kedudukan ekonomi negara dan fakta-fakta yang terkandung dalam Buku Jingga, sebuah dokumen yang menzahirkan harapan dan iltizam Pakatan Rakyat,” kata Anwar.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berharap Datuk Seri menerima pelawaan debat ini kerana yakin hujah yang bakal diutarakan oleh kedua-dua pihak mampu memberi manfaat kepada usaha memperkukuh amalan demokrasi, penyebaran maklumat tanpa sekatan dan memulihkan kembali ekonomi negara.
Pada Rabu lalu, Najib mengetepikan cabaran Anwar dengan menegaskan, harus ada hasil daripada debat yang hendak diadakan.
“Jika kita mahu debat, mesti ada hasil daripada debat itu.
“Saya tidak melihat perkara itu dan apa yang penting ialah pandangan publik,” kata Najib minggu lalu.
Kata Najib, kedua-dua Pakatan dan BN boleh mengemukakan dasar-dasar ekonomi mereka dan ia harus diputuskan untuk orang ramai.
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin juga mencabar Anwar agar berdebat dengan beliau, bukannya berdebat dengan Najib.
Khairy melihat ketua pembangkang itu bukan standard Najib yang juga presiden Umno dan Pengerusi BN.
Ekoran Khairy itu tiga pemimpin PKR mengajaknya berdebat iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Pemudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Strategi Rafizi Ramli.

No comments: