Pages

Thursday, January 20, 2011

BN pandang rendah kemampuan Azizan mentadbir

ALOR SETAR - Pemimpin Barisan Nasional (BN) akan terus memperlekeh usaha baik yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka memandang rendah kemampuan PR mentadbir. 

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, walaupun PR cuba membuat pembaharuan dengan mengusulkan cadangan yang baik, antaranya pelan 100 Hari PR yang diumumkan bulan lalu, namun dianggap mustahil untuk dicapai. 

“Pemimpin BN memang suka perlekeh apa yang PR buat. Mereka dakwa pemimpin PR tidak tahu memerintah negara jika berpeluang, sedangkan empat negeri yang ditadbir PR menunjukkan prestasi baik dalam pentadbiran,” katanya. 

Menurutnya, apa yang diuar-uarkan kepada rakyat selama ini adalah antara perancangan PR sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan, dan ia adalah strategi politik untuk menawan hati rakyat, sepertimana yang dibuat oleh parti politik lain. 


“Itu perancangan kita, kita umum supaya rakyat tahu apa yang akan kita laksanakan. Kita pun bukan cerita lebih-lebih pelan itu,” katanya. 

Azizan berkata, maklum balas daripada pemimpin parti lawan tidak harus diambil kira kerana tidak berkepentingan. 

“Contohnya di Kedah, sejurus selepas saya ambil alih Kedah daripada tangan BN, mereka kata saya akan gulung tikar selepas tiga bulan memerintah. Tapi sekarang dah nak masuk tiga tahun, tak gulung tikar pun,” katanya sinis. 

Menurutnya, prestasi Kerajaan Negeri kini amat membanggakan, malah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pemerintahan BN sebelum ini. 

“Sebelum ini kedudukan kewangan negeri kurang memberangsangkan tetapi awal tahun ini, kita dapati tak ada defisit, termasuk hasil negeri juga bertambah. Saya andaikan rakyat kini boleh menilai kerajaan mana lebih baik untuk tadbir Kedah,” katanya. 

Sebelum ini, beberapa pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh PR, yang disifatkannya sebagai populis dan tidak bertanggungjawab. 

Najib dipetik berkata, selepas dikaji pelan itu tidak berpaksi kepada kenyataan kerana tidak ada pembentangan dari aspek kewangan.SH

No comments: