Pages

Saturday, December 31, 2011

Gambar MyKAD Baru



PUTRAJAYA: Orang ramai digalakkan menukar MyKad sedia ada kepada versi baru selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkannya secara berperingkat bermula di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan Shah Alam mulai 3 Januari depan.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said berkata, saranan itu bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan MyKad berkualiti memandangkan kualiti cip sebelum ini sering dipersoalkan selain dapat mengekang aktiviti pemalsuan MyKad. Katanya, MyKad berstruktur baru itu sudah ditambah baik dari segi reka bentuk dan ciri keselamatan di samping dapat menyimpan maklumat sebanyak 80 kilobit berbanding MyKad sebelum ini iaitu 64 kilobit.

“Ia diperbuat daripada polikarbonat yang lebih tahan serta menggunakan teknologi turisan (torehan) laser pada permukaan kad.

“MyKad baru ini menggunakan cip baru serta menampilkan dua gambar pemilik MyKad pada bahagian depan dengan saiz berbeza,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Beliau berkata, objektif penambahbaikan itu bagi memastikan keseluruhan percetakan keselamatan MyKad dengan teknologi terkini. “Selain itu, ia dapat memperkukuh daya lekatan antara lapisan cetakan dengan ‘overlay’ (helaian lut sinar dengan gambar atau lukisan yang diletakkan pada gambar lain untuk mengubahnya) reka bentuk yang sudah ditambah baik,” katanya. Jariah berkata, penukaran MyKad baru hanya mengambil masa sehari di 15 kaunter terpilih seperti Putrajaya, Shah Alam, Kluang, Johor Bahru dan Melaka.

 “Selain 15 kaunter ini, penukaran MyKad baru mengambil masa 10 hari bekerja iaitu di cawangan Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak (selain Miri dan Kuching) selama 30 hari bekerja. “Bayaran RM10 dikenakan untuk menukar MyKad baru tetapi bagi pemilik MyKad yang rosak dan bagi pemohon MyKad dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad, tiada sebarang bayaran yang dikenakan,” katanya.

Laporan- myMetro

Friday, December 30, 2011

PAS Pelawa Pemuda MCA P.Pinang Menyertainya


Ekoran perletakan jawatan Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang
PULAU PINANG, 30 Dis: Pemuda PAS mempelawa bekas Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon dan 439 ahlinya menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di negeri ini untuk bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah berkata, beliau merasakan masa untuk bersama MCA dan BN memerintah telah berlalu kerana terlalu banyak penyelewengan berlaku melibatkan wang rakyat.

Eng Hiap Boon (gambar) dan anggotanya meletakkan semua jawatan dalam parti itu beramai-ramai  semalam ekoran hilang kepercayaan kepada kepimpinan MCA dan BN.
Tindakan mereka mengakibatkan dua cawangan MCA di negeri itu dibubarkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di George Town, Eng berkata, beliau dan rakan-rakan seperjuangannya amat kecewa dengan pemimpin parti yang menurutnya sedang berdepan dengan isu moral dan tidak beretika dalam kepimpinan mereka.

Perbalahan dalaman parti, tambahnya, semakin buruk dan para pemimpin pula didakwanya enggan melibatkan diri dengan akar umbi atau berkhidmat kepada rakyat secara ikhlas.
Tindakan Eng Hiap Boon pasti memberikan tamparan hebat kepada pucuk pimpinan
terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seakan sudah bersedia dengan kekuatan baru untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Langkah drastik itu juga memberikan kekuatan baru kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk teruskan usaha menyakinkan rakyat dengan berbagai skim batuan hasil lebihan perbelanjaan kerajaan tanpa melihat lagi kebelakang.

"Sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat saya menyeru beliau dan ahlinya menyertai DHPP di Pulau Pinang bagi membantu memperkuatkan PAS sekaligus memperkemaskan jentera Pakatan Rakyat yang sedang diperlekehkan oleh Umno dan BN.

"Dewan Pemuda PAS yakin ia satu perkembangan yang positif terhadap Pakatan Rakyat di negeri ini, " jelas Husni dalam kenyataannya.

Dewan Pemuda PAS sendiri katanya, cuba mencari jalan mendekati mereka dengan sokongan DHPP Pulau Pinang bagi menerangkan betapa pentingnya perlawaan tersebut.

Ia amat wajar kerana Malaysia amnya Pulau Pinang kena di selamatkan daripada jatuh semula ke tangan Umno dan BN yang ketagih kuasa.
Laporan- Mohd Sabri Said Harakahdaily

Gambar Paderi Bergaduh Guna Penyapu



Paderi-paderi Armenia dan Greece Ortodoks bergaduh di Gereja Nativiti di Baitulaham, Palestin kelmarin. - AP


BAITULAHAM - Sejumlah paderi bergaduh semasa membersihkan dengan penyapu lantai gereja Nativiti yang dipercayai tempat kelahiran Nabi Isa di sini, Tebing Barat kelmarin, kata beberapa saksi dan polis Palestin.
Pergaduhan itu melibatkan kumpulan paderi dari Armenia dan Greece Ortodoks.
Tiada laporan mengenai kecederaan berlaku dalam pergaduhan itu.
Pergaduhan itu berlaku selepas beberapa paderi menyapu di kawasan yang dikhaskan untuk kumpulan paderi lain.
Polis Palestin campur tangan bagi menamatkan pergaduhan itu. 
Laporan- Agensi

Thursday, December 29, 2011

Melampias Nafsu Asmara Dibilik Mandi Masjid



Apa nak jadi gejala maksiat dah sebegini
KOTA BHARU - Hasrat sepasang kekasih untuk melampiaskan gelora nafsu serakah mereka di dalam bilik mandi sebuah masjid di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dicekup oleh penduduk kampung.
 
Perbuatan terkutuk pasangan belasan tahun tersebut untuk memadu asmara berjaya dikesan oleh jemaah sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, dekat sini setelah menyedari terdapat motosikal diletakkan di pekarangan kawasan tersebut.
 
Seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Pok Cik Ya berusia 60-an memberi­tahu, kira-kira jam 4.20 petang dia melihat terdapat seorang remaja perempuan yang ber­baju kurung memasuki bilik mandi bersebelahan dengan tandas wanita.
 
Menurutnya, sejurus itu terdapat seorang lelaki memasuki bilik sama dan dia terus memaklumkan kepada jemaah masjid yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar berhubung kelakuan mencurigakan itu.
 
“Selepas beberapa minit berada di dalam bilik mandi, sekumpulan jemaah bertindak mengetuk pintu tetapi pasangan terbabit enggan membukanya.
 
“Beberapa minit kemudian pasangan terbabit membuka pintu tersebut dan remaja lelaki tadi keluar lalu melarikan diri, dengan meninggalkan teman wanitanya yang kemudiannya menyusul keluar dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut semalam.
 
Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit yang cuba melarikan diri dari masjid itu berjaya ditahan semula oleh penduduk kampung kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.
 
”Dengan kerjasama penduduk kampung dan jemaah masjid berkenaan, kita menahan pasangan terbabit dan pada masa sama kita menghubungi keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya.
 
Dia berkata, sejurus kemudian, keluarga pasangan terbabit datang ke tempat kejadian untuk berbincang sebelum membawa pulang ke rumah masing-masing.
 
Katanya, pasangan terbabit dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan tetapi perbuatan keji itu mengejut jemaah masjid dan penduduk kampung apabila terserempak mereka melakukan perbuatan maksiat di dalam bilik mandi yang terletak di dalam kawasan masjid.
 
Menurutnya, kelakuan pasangan terbabit telah mengaibkan orang Islam kerana menggunakan kawasan masjid melakukan maksiat dan remaja sekarang sudah tidak mempunyai perasaan malu serta takut untuk melakukan perbuatan terkutuk di masjid.
 
Katanya, sepanjang tinggal di kampung ini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan penduduk terkejut apabila ia dilakukan penduduk bukan tempatan.

Laporan- Hsinar

Wednesday, December 28, 2011

Wanita Berzina Dihukum Gantung


TEHERAN - Pihak berkuasa Iran, kelmarin, dilaporkan akan meneruskan rancangan menjalankan hukuman mati ke atas seorang wanita atas kesalahan berzina dalam kes yang dicemari campur tangan masyarakat antarabangsa.

Namun, Iran mungkin akan menjalankan hukuman itu melalui tali gantung berbanding hukuman awal iaitu rejam sampai mati.

Tertuduh, Sakineh Mohammadi Ashtiani kini sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan berasingan iaitu bersubahat untuk membunuh suaminya.

Iran menangguhkan hukuman rejam ke atas Sakineh, Julai tahun lalu selepas kes wanita itu mendapat perhatian media antarabangsa dan mencetuskan kritikan oleh negara Barat.

Jabatan kehakiman dan undang-undang Islam negara itu sedang mengkaji sama ada hukuman rejam sampai mati yang sepatutnya dikenakan ke atas Sakineh boleh diubah kepada hukuman gantung bagi mengelakkan salah anggap mengenai undang-undang Islam.

Sakineh disabit bersalah atas dakwaan berzina pada 2006 selepas pembunuhan suaminya dan wanita itu kemudian didapati turut bersubahat dalam pembunuhan itu.


Laporan- AFP

Kedah Selangkah Terkehadapan Dari Kerajaan Pusat !!



Lupus pinjaman : Berita gembira buat rakyat Kedah


Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK) turut memuji tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak atas keputusan melupuskan pinjaman pelajaran bagi kes-kes terpilih.

Menyifatkan keputusan tersebut tepat dan sangat bijak, ketua penerangannya Mohd Nasir Zakaria juga berkata ianya satu bentuk tawaran yang tulen kepada golongan yang tidak sepatutnya dibebankan dengan hutang yang tidak wajar. 

"DPPNK merasakan tindakan ini merupakan bukti perlaksanaan Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS serta komitmen penerusan agenda Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat.

"Kematian, penyakit kronik, gila dan tiada daya membayar adalah golongan-golongan yang ditimpa musibah. Mereka wajib dibantu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut juga merupakan satu lonjakan positif yang bersifat jangka panjang dalam menjaga kebajikan rakyat yang sudah sedia terhimpit dengan kos sara hidup yang menekan. 

Ia juga bukan satu bentuk tindakan "one off" yang bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat seperti yang diamal BN.

Pusat perlu contohi Kedah

Dalam pada itu beliau turut menggesa kerajaan pusat agar mencontohi keprihatinan kerajaan negeri Kedah dengan melaksanakan langkah sama di peringkat nasional.

"Kerajaan pusat yang mengutip hasil yang lebih banyak sepatutnya melaksanakan program ini di peringkat nasional. 

"Adalah memalukan dengan segala hasil mahsul yang dijana daripada rakyat dengan begitu banyak, Kerajaan Pusat tidak berani bertindak seperti uyang dilakukan oleh sebuah Kerajaan negeri," katanya.

Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, dengan keupayaan kewangan yang terbatas serta hutang tinggalan Barisan Nasional yang bertimbun, penghapusan hutang kepada golongan yang terpilih adalah wajar sebagai permulaan bagi kerajaan negeri.

Keputusan tersebut juga ujarnya diyakini akan mendapat sokongan daripada rakyat. 

"Ia adalah satu lagi pencapaian hebat Kerajaan Negeri Kedah. Tahniah.

Beliau juga melihat ianya satu cara perkongsian hasil negeri dengan rakyat yang wajar dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin lain.

"DPPNK yakin keputusan ini adalah berita baik kepada seluruh penjamin yang terbeban sejak sekian lama. 

"Keputusan ini sudah pasti melegakan penjamin seterusnya mereka akan memaksimumkan sumbangan untuk pembangunan negeri dalam bentuk yang lebih sesuai," kata Mohd Nasir lagi.


Lapotan...Harakahdaily

Akhirnya Hasan Ali Minta Maaf, Tok Guru Buat Kenduri Kesyukuran



Hasan datang minta maaf


BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Nik Aziz, pertemuan ini dianjurkan oleh PAS Pusat "Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia."

Kenduri kesyukuran

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

"Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.


Laporan- Harakahdaily

Kenapa Honda Thailand Musnahkan 1,055 Buah Kereta Keluarannya ???



SEJUMLAH kereta Honda yang rosak akibat banjir menunggu untuk dimusnahkan di sebuah loji kereta syarikat tersebut di wilayah Ayutthaya, tengah Thailand semalam.


BANGKOK - Pembuat kereta No.1 Jepun, Honda mula memusnahkan sebanyak 1,055 buah kereta buatannya di Thailand semalam.
Tindakan itu dilakukan bagi meyakinkan para pelanggan bahawa tiada kenderaan yang rosak akibat banjir di negara berkenaan dijual kepada mereka.
Honda dalam satu kenyataan memberitahu, proses memusnahkan semua kenderaan di kilang Honda di tengah wilayah Ayutthaya itu dijangka mengambil masa selama sebulan.
Kilang Honda terletak di Taman Industri Rojanam yang merupakan kawasan yang ditenggelami air pada awal Oktober lalu.
Bencana berkenaan menyebabkan pengeluaran kilang tersebut terpaksa dihentikan manakala gambar-gambar dari udara menunjukkan ratusan buah kereta Honda digenangi air berselut.
"Walaupun kami dapat memindahkan banyak kereta baharu ke kawasan selamat, sejumlah kereta yang ada di kilang ini rosak akibat banjir," kata Timbalan Presiden Eksekutif Honda Automobile Thailand, Pitak Pruittisarikorn.
"Kami tidak menjual kereta yang rosak ini kepada pelanggan, menjual atau mengguna semula sebarang bahagian kenderaan tersebut," tambahnya.
Kebanyakan kereta yang akan dimusnahkan merupakan model kereta sedan saiz pertengahan seperti Honda City, Honda Brio dan Honda Jazz.
Lebih 700 orang terkorban dalam banjir yang menjejaskan 65 daripada 77 wilayah yang terletak di kawasan rendah di Thailand sejak beberapa bulan lalu.
Banjir tersebut turut menyebabkan tujuh taman industri utama terpaksa ditutup sekali gus mengganggu rangkaian bekalan global. 
Laporan- AFP

Tuesday, December 27, 2011

Surau Salihiah : Sejak Bila Umno Jadi Juara Agama ??


PAS mempersoal sejak bila Umno mula menjuarai isu agama apabila cuba menunjukkan keperihatinan mereka dengan menentang kerajaan Kedah yang mahu merobohkan Surau Salihiah Kanchot di Alor Setar untuk diganti dengan surau baru ditapak baru.

AJK PAS Pusat Idris Ahmad berkata, rakyat tidak pernah lupa pengkhianatan Umno dalam isu perobohan dan penutupan banyak masjid surau sejak parti itu memerintah negara.

"Kenapa pemimpin Umno seperti (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah) Datok Ahmad Bashah, (Ahli Parlimen Jerlun) Datuk Mukhriz Mahathir dan (Ketua Umno Bahagian Baling) Datuk Azeez Abdul Rahim pekak dan bisu ketika kerajaan pimpinan Umno meruntuhkan masjid Bujal di Kemaman, menutup surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi, menutup Surau al Rahmah di Seksen 8 Shah Alam, menutup surau di Puchong Perdana.

"Rakyat tertanya-tanya sejak bila Umno menjadi juara agama dan hendak membela surau," soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya dalam isu perobohan surau Salihiah itu, Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah memberi kebenaran, dan pihak pemaju bersetuju untuk membayar pampasan dan memberi tapak baru kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Namun ujarnya pimpinan Umno Kedah yang bankrap idea unuk menawan hati rakyat Kedah cuba mengambil isu surau untuk menjadi modal kempen.

Beliau melihat isu tersebut sengaja dimainkan Umno Kedah kerana mereka sedang lemas melihat kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya memimpin Kedah dengan cemerlang walaupun terpaksa menanggung hutang lapuk yang ditinggal BN sebanyak RM2.3 bilion. 

"Contohnya kebijaksanaan kerajaan Kedah mengurus negeri sehingga pendapatan balak daripada RM8 juta setahun meningkat RM53 juta.

"Umno takut rakyat Kedah  membandingkan kejayaan Pakatan Rakyat dengan pemerintahan Umno selama 51 yang menindas rakyat, maka Umno cuba  menjadi juara membela agama, sehingga udang di Kolam Kerpan pun terkejut kerana Umno sudah bertukar nada," katanya lagi.

Perobohan Surau Salihiah untuk diganti baru diputus kerajaan negeri ekoran ianya antara bangunan yang terjejas untuk pembangunan projek Aman Central.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini memaklumkan surau itu akan dirobohkan selepas semua pembinaan di kawasan itu selesai, dan kemudian digantikan dengan bangunan baru.

Azizan juga berkata beliau telah melihat pelan surau yang baru dan apabila surau itu siap kelak ia dapat menampung sehingga 400 jemaah dalam satu masa.

Bagaimanapun isu itu menjadi modal kempen Umno negeri bagi memburukkan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PAS.



Laporan- Harakahdaily

Politik Lembu : Saifuddin Pun Kena Gambar Lucah



Risalah lucah hina Saifuddin di UiTM Shah Alam


SHAH ALAM, 27 Dis: Kumpulan Aktivis Mahasiswa (Kami) mendakwa wujud pihak tertentu menyebarkan risalah lucah di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam sejak Khamis lalu.

Risalah tersebut memaparkan karikatur dua individu yang masing-masing dilabel sebagai Anwar dan Saifuddin dalam keadaan tidak senonoh.

Selain karikatur yang menjijikkan itu, terdapat juga tulisan berbunyi "Sibuk sangat nak baik dengan Pro M yang hina PM tu!".

Menurut Setiausaha Agungnya Khairul Naim, risalah itu dipercayai diedar pada Khamis dan Jumaat lalu oleh beberapa pihak tertentu yang kurang senang pihak yang memberi sokongan kepada Pro–Mahasiswa terhadap isu kebebasan akademik yang hangat diperkatakan sekarang.

"Kami tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi tindakan menyebarkan risalah dan gambar ini adalah sesuatu yang melampau," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan aman Pro-Aspirasi di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar atas) meletakkan jawatan kerana memihak kepada Pro–Mahasiswa dalam penganjuran Perhimpunan Kebebasan Akademik di Kuala Lumpur.

"Kami berharap supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat menyiasat kes ini sedalam-dalamnya kerana dilaporkan tiada sebarang tindakan terhadap kes yang berlaku ini.

"Dulu apabila Mahasiswa mengadakan speaker’s corner, kecoh satu kampus kerana Mahasiswa dikatakan menghuru-harakan kampus sehingga beberapa Mahasiswa ditahan oleh Polis Bantuan UiTM, tetapi mengapa apabila timbul kes ini pihak pentadbir mengambil pendirian berdiam diri?" katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus pertahankan Saifuddin walau apapun terjadi kerana yakin dengan perjuangannya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Pro–Aspirasi yang berdemo sebagai “meludah ke langit” kerana suatu ketika dulu mereka mengatakan bahawa Mahasiswa berdemonstrasi adalah tidak intelektual.


Laporan- Harakahdaily

Monday, December 26, 2011

500 Ahli AMK Keadilan Keluar Parti ???



AMK Nafi 500 anggotanya keluar parti
KUALA LUMPUR 26 Dis: Ketua Angkatan Muda KEADILAN Gombak, Jafrien Muhammad menafikan berita kononnya 500 anggota AMK Hulu Kelang keluar parti dan menyertai Umno.
Menurutnya, individu yang kononnya bertindak sebagai jurucakap kumpulan 500 orang itu, Mohd Jefry Sallehuddin, tidak pernah menjadi ahli KEADILAN.
“Saya menafikan berita ini. Ia dusta dan tiada 500 ahli KEADILAN keluar parti.
“Jefry bukan ahli parti dan dakwaan kononnya beliau pernah ditahan di ISA dan masuk penjara sebanyak 16 kali adalah satu pembohongan,” kata Jafrien.
Akhbar dalam talian MStar hari ini melaporkan 500 anggota AMK Hulu Kelang bertindak keluar parti dan menyertai Umno Gombak kononnya kecewa dengan KEADILAN yang tidak menepati janji.
Bercakap lanjut, Jafrien berkata Jefry sebelum ini hanya merupakan seorang sukarelawan parti dan selama ini juga beliau diketahui mempunyai perwatakan yang meragukan.
Jefry juga, katanya bukan penduduk asal Selangor tetapi berasal dari Sabah.
“Kami ada dengar akhir-akhir ini yang dia mendakwa boleh memberikan kad pengenalan kepada mana-mana pendatang asing yang mahu menyokong Barisan Nasional,” kata Jafrien.
Justeru, beliau mencabar Jefry agar mengemukakan bukti jika benar dia berjaya membawa 500 ahli AMK ke dalam Umno Bahagian Gombak.
Oleh Ahmad Fadli
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24835

Ekonomi Eropah Diramal Goyah 2012



GAMBAR tidak bertarikh yang disediakan oleh pejabat pencetakan Jerman menunjukkan wang kertas 50 euro sedia untuk diagihkan di Berlin.


LONDON, Britain - Saham Eropah dan mata wang euro diramal berdepan pergolakan baharu pada 2012 selepas mata wang tunggal Kesatuan Eropah (EU) berkenaan merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan krisis hutang negara-negara Eropah.

Bursa-bursa utama Eropah menjunam antara 6.5 dan 25 peratus sejak permulaan tahun ini manakala mata wang euro merosot 2.5 peratus berbanding dolar dalam dagangan turun naik sepanjang bulan ini.

"Siapa yang dapat menyangka bahawa menjelang November, kita bercakap tentang bukan sahaja keruntuhan negara-negara mata wang euro tetapi tentang kemungkinan pembubaran EU," kata pakar strategi kanan firma BGC Partners, Howard Wheeldon.

"Siapa yang menyangka dalam tempoh sesingkat itu ekonomi EU berhenti daripada berkembang manakala pertumbuhan kembali ekonomi rantau berkenaan dilihat terlalu sukar," tambahnya.

Mata wang euro menamatkan dagangan tahun ini dengan menjunam di bawah AS$1.30 untuk satu euro
sekali gus tahap terendah sejak permulaan tahun 2011.

Mata wang tunggal EU itu turut menjunam pada takat terendah berbanding yen sejak 10 tahun lalu dalam dagangan pada September lepas.

Keadaan tersebut berikutan kebimbangan pelabur berhubung ketidaktentuan ekonomi global dan kemerosotan nilai ekuiti di Eropah dan AS.

"Krisis mata wang euro dijangka semakin meruncing. Ekonomi global (pada 2012) diramal sama ada menyusut ke dalam kemelesetan atau mengalami pengurangan dalam pertumbuhan," kata penganalisis Commerzbank, Ulrich Leuchtmann.

"Pelaburan dalam mata wang dolar mungkin menguntungkan selain mata wang yen dan emas," tambahnya.

Laporan- AFP

Safee Sali "Kunci Mulut"



PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safee Sali mengambil sikap ‘mengunci mulut’ mengenai masa depannya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Begitupun, segala-galanya akan terjawab apabila Safee, 28, dijadualkan mengadakan satu sidang media khas di Kuala Lumpur petang ini.

“Saya kini sudah sampai di lapangan terbang KLIA, jadi tunggu sahaja esok (hari ini),” katanya ringkas semasa dihubungi Kosmo! semalam.

“Segala-galanya akan terjawab esok (hari ini).”

Masa depan Safee bersama kelab Pelita Jaya mendapat perhatian meluas media dan pemerhati bola sepak tempatan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan mengharamkan saingan Liga Super Indonesia (ISL) baru-baru ini.

Biarpun kesahihan laporan mengenai perkara itu masih belum dapat ditentukan, ia sedikit sebanyak meresahkan jutaan peminat bola sepak tempatan yang bimbang mengenai nasib Safee.
“SEGALA-GALANYA akan terjawab, jadi tunggu sahaja esok (hari ini).

Demikian respons ringkas penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali mengenai masa depannya bersama kelab Pelita Jaya yang mendapat perhatian meluas media dan pemerhati bola sepak tempatan.
Situasi itu tercetus gara-gara saingan Liga Super Indonesia (ISL) dilaporkan telah diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Biarpun kesahihan laporan mengenai perkara itu masih belum mencapai kata putus, ia sedikit sebanyak meresahkan jutaan peminat bola sepak tempatan yang khuatir mengenai nasib Safee yang dikhabarkan tidak layak beraksi bersama pasukan kebangsaan sekiranya benar ISL diharamkan.

Mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’, penyerang kelahiran Kajang, Selangor berusia 28 tahun tersebut enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sambil memberitahu segala-galanya akan diperincikan dalam satu sidang akhbar khas yang akan diadakan di ibu negara pukul 1 petang ini.

“Saya kini sudah berada di lapangan terbang, jadi tunggu sahaja esok (hari ini),” katanya ringkas semasa dihubungi Kosmo! semalam.

Teka-teki mengenai masa depan Safee mula menimbulkan tanda tanya setelah sumber dari laporan portal berita akhbar Republika Indonesia kelmarin melaporkan mengenai surat pengharaman ISL yang dikeluarkan oleh FIFA kepada Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Ariffin Husin.

Disebabkan itu, Safee dikhabarkan mahu membincangkan masa depannya bersama pihak pengurusan Pelita Jaya, selain tidak menolak kemungkinan mencuba nasib beraksi di Liga Belgium atau Liga Australia selepas ini jika isu itu gagal diselesaikan PSSI.

Ekoran itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Abdul Rahim yang dipetik daripada laporan akhbar sebelum ini pantas tampil memberikan penjelasan bahawa ISL tidak diharamkan dan karier Safee masih selamat.
Namun, pada masa sama beliau mengakui kesal laporan itu telah disalah faham dan akan mengadakan sidang akhbar khas di ibu negara hari ini berhubung perkara itu.

“ISL masih belum diharamkan lagi dan ISL bukan liga haram dan Safee bukan pemain liga haram.
“ISL adalah liga yang diputuskan untuk dijalankan oleh PSSI di Kongres Bali 2011 dan tiada keputusan dari mana-mana kongres atau mesyuarat PSSI hingga hari ini yang mengatakan ISL tidak boleh dilaksanakan,” katanya dalam laporan itu.

Zakaria semasa dihubungi semalam juga mengesahkan sidang akhbar tersebut akan diadakan di Garden, The Curve pukul 1 petang. Beliau begitupun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, rentetan kemelut yang melanda ISL itu juga mendapat perhatian Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meminta semua pihak bersabar dan tidak cepat membuat sebarang anggapan mengenai nasib Safee jika ISL diharamkan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam laporan akhbar kelmarin juga mengesahkan ISL masih belum diharamkan dan akan membantu membawa keluar Safee dari Indonesia jika PSSI gagal menyelesaikan masalah tersebut, sementara Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad juga tidak mahu penyokong tempatan terpedaya dengan khabar angin sedemikian.

Laporan- Kosmo

Dua Planet Bersaiz Bumi Ditemui


Para saintis berjaya menemui dua buah planet (Kepler-20e dan Kepler-20f) yang saiznya hampir sama dengan saiz bumi kita. Namun begitu kedua-dua planet tersebut mengorbit bintang di luar kawasan sistem solar dan memberi kemungkinan adanya tanda-tanda hidupan di situ.

 Menurut wakil Pusat Astrofizik Harvard Smithsonian, Cambridge, Francois Fressin, kewujudan dua planet itu dikesan oleh kapal angkasa Kepler. Katanya diameter salah sebuah planet tersebut hanya tiga peratus besar dari bumi, sementara planet satu lagi berdaimeter sembilan peratus besar dari bumi. Ia lebih kurang serupa dengan planet kita, tetapi amat panas untuk mempunyai hidupan, yang dianggarkan mencapai suhu sekitar 1,400 darjah Celsius dan 800 darjah Celsius.

Laporan- Agensi

Sunday, December 25, 2011

Jamil Khir Khianati Orang Miskin,Golongan Layak Terima Zakat



Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan
KUALA LUMPUR 23 Dis: Perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom menggunakan wang zakat, mengkhianati golongan asnaf yang sepatutnya menerima agihan wang berkenaan, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Ahmad Kassim.
Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan wang zakat berjumlah RM63,650 digunakan Jamil dan dua lain bagi menghalang kes qazaf yang di failkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim
Wang zakat itu dibayar kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.
“Seleweng wang zakat ini bukti Menteri Umno dan dua yang lain menyalahgunakan kuasa mereka dan saya tegaskan firma guaman yang menerima wang zakat itu tidak termasuk dalam senarai yang sepatutnya menerima zakat,” katanya.
Katanya lagi, Jamil yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, sememangnya berniat menggunakan wang zakat demi kepentingan mereka dan tahu firma guaman yang dilantik itu tidak termasuk golongan yang layak menerima zakat.Lapan golongan yang layak itu hanyalah fakir, miskin, Amil (mereka yang dilantik memungut zakat), Muallaf (Seseorang yang memeluk Islam, Riqab (orang yang tidak mempunyai kebebasan), Gharimin (penghutang muslim), Fisabillillah (pejuang Islam) dan Ibnus Sabil (musafir).
Wang itu katanya, hanya dibayar semula selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima geran RM700,000 pada Jun 2010.
“Apabila Datuk Jamil guna wang zakat dan akan bayar balik seperti mana didedahkan dalam surat jawapan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu, maknanya mereka tahu bahawa guna wang zakat itu salah.
“Kalau sudah tahu, mengapa guna juga wang itu dan kita yakin kalau kita tidak dedah penyelewengan ini, belum tentu wang zakat itu dapat balik,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.
Laporan-  Masdar Wahid
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24734

Khir Toyo Mangsa 'Sembelih' Politik Umno

Ulasan Naib Presiden PAS


KUALA LUMPUR, 25 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Jelasnya lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam  kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan.

Bekas menteri kabinet itu dihukum penjara

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya.


Laporan- Harakahdaily

Saturday, December 24, 2011

Gadis Sunti Tsunami Hilang 8 Tahun Ditemui Hidup


YURANDA (tengah) berbaring di atas katil, sambil diperhatikan Yusnidar (kanan) dan seorang anggota keluarga di rumah mereka di Meulaboh, Aceh semalam.


Ibu bersyukur Mary Yuranda dihanyut Lautan Hindi selamat


MEULABOH: Seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai maut dalam tsunami yang menyerang Indonesia lapan tahun lalu kembali semula ke rumahnya di perkampungan kecil di Aceh Barat dalam keadaan selamat.
Kanak-kanak yang dikenali dengan nama Mary Yuranda kini 14 tahun, baru berusia lapan tahun ketika gelombang tsunami melanda perkampungan Ujong Baroh pada 26 Disember 2004.
Ibunya, Yusnidar, cuba untuk melarikan diri dari ombak tsunami di Lautan Hindi bersama anak perempuannya dan dua adik beradik lain apabila dia terlepas genggaman ibunya dan dihanyutkan air yang deras itu.

Yusnidar berupaya menyelamatkan dua lagi anaknya namun dia dan keluarganya lain akhirnya terpaksa pasrah dan menerima kenyataan bahawa Mary hilang dan tidak akan kembali.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Ibrahim, datuk Mary, menerima seorang tetamu di rumahnya yang ditemani seorang gadis remaja memakai tudung kepala berwarna biru.

Tetamu yang juga pemandu teksi itu berkata gadis berkenaan datang ke kedai kopi Simpang Pelor tetapi hanya mendiamkan diri. Penduduk menyangka dia seorang pengemis dan cuba berbual dengannya.
“Gadis itu mendakwa datang ke sini menaiki bas dari Banda Aceh dan cuba mencari jalan pulang namun tidak tahu bagaimana. Dia juga tidak dapat mengingati nama ibu bapa atau saudara mara kecuali Ibrahim,” kata pemandu teksi berkenaan.

Selepas mendengar penjelasan tetamu itu, Ibrahim segera menyedari gadis itu mungkin cucunya yang sudah lama hilang dan selepas meneliti gadis kurus berkulit gelap, dia yakin gadis itu adalah Mary yang hilang dalam tsunami tujuh tahun lalu. Ibrahim kemudian mengarahkan Yusnidar, 35, dan suaminya Tarmius, 42, datang ke rumahnya dan bertemu Mary.

Kedua-dua Yusnidar dan Tarmius mengesahkan identiti Mary selepas mengenal pasti tahi lalat kecil dan parut di atas keningnya yang diperolehnya ketika berusia enam tahun.

“Tanda lahir pada perutnya dan parut tahi lalat pada wajahnya membuktikan gadis itu anak saya,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari rumahnya.

“Saya tidak dapat beritahu anda betapa bersyukurnya saya,” katanya.

Apa yang berlaku kepada Mary selepas dihanyutkan ombak tsunami tidak didedahkan kepada media kecuali sejak beberapa tahun lalu dia ditempatkan di daerah lain di wilayah Aceh.

Laporan menyatakan Mary dipaksa menjadi pengemis sebelum berjaya melarikan diri dan kembali ke kampung halamannya.

Laporan – Agensi/AFP