Friday, February 15, 2013

Tahi Bintang Seberat Puluhan tan terhempas Di Russia



MOSCOW: Sebuah meteor besar menjunam dan meletup di wilayah tengah Rusia hari ini dan mencetuskan gelombang kuat yang memecahkan tingkap dan mencederakan sekitar 950 orang dalam kejadian yang belum pernah berlaku di zaman moden ini.

Kejadian luar biasa itu mengakibatkan lalulintas terhenti di bandaraya Chelyabinsk apabila orang ramai yang terkejut, berhenti memandu untuk melihat meteor yang menyala bergerak melintasi ruang udara.

Para pakar berkata hentaman meteor sebesar itu yang dianggarkan seberat puluhan tan, amat jarang berlaku, begitu juga dengan jumlah mangsa di tempat kejadian.

Kementerian kecemasan pada awalnya menganggarkan lebih 500 orang cedera, 112 dimasukkan ke hospital.
Tingkap hancur dilanda gelombang tersebut di wilayah bandaraya itu, dengan pihak kementerian menganggarkan hampir 300 bangunan rosak termasuk, sekolah, hospital, sebuah kilang zink dan sebuah stadium hoki ais.

Dalam perkembangan terkini, gabenor wilayah tersebut, Mikhail Yurevich berkata angka kecederaan telah meningkat kepada sekitar 950 orang.
Mikhail yang dipetik oleh agensi berita RIA Novosti, berkata dua pertiga daripada mereka cedera ringan terkena pecahan kaca dan bahan-bahan lain.

Di bandaraya Chelyabinsk sahaja, 758 orang memerlukan bantuan perubatan.
AFP


Meteorite Falls In Russian Urals Chelyabinsk region UFO? 2/15/2013

Wednesday, December 26, 2012

Belajar dari orang susah untuk jadi kaya


Betulkah tajuk di atas? kalau nak kaya kena belajar dari orang kaya, itu teori keramat yang biasa kita dengar. Apa sangat yang orang susah boleh kongsikan dengan kita untuk menjadi apa yang mereka tak pernah capai?

Tajuk atas tu tak salah, memang ada perkara menakjubkan yang kita boleh belajar dari orang yang lebih susah daripada kita untuk membolehkan kita jadi kaya. Saya ulang sekali lagi 'orang susah', bukannya orang miskin. Lihat definisi di bawah:
  • Miskin - Pendapatan tidak cukup untuk menyara keperluan
  • Susah - Pendapatan ngam-ngam cukup untuk sara keperluan
  • Kaya - Pendapatan lebih daripada keperluan
Berdasarkan definisi kat atas tu, kita boleh temui terlalu ramai rakyat Malaysia yang susah, malah kebanyakan manusia di muka bumi ini ramai yang susah.

Sebabnya adalah setiap kali pendapatan meningkat, kita akan secara tak sedar meningkatkan juga keperluan sehingga apa saja jumlah yang kita ada hanya cukup untuk dibelanjakan sepenuhnya tanpa ada simpanan.

Mari lihat bagaimana orang susah boleh mengajar kita menjadi kaya. Di sekeliling kita, samada kawan, kenalan, jiran, saudara dan siapa saja kita kesemuanya mempunyai jumlah pendapatan yang cukup berbeza antara satu sama lain.

Ada yang dapat RM900 sebulan, ada yang dapat RM1,500 sebulan, ada yang dapat RM3,000 sebulan dan ada juga yang dapat lebih daripada RM10,000 sebulan. Di kalangan mereka itu pula ada yang jumlah ahli keluarganya sebijik sama dengan kita dan barang kali tinggal di kawasan kejiranan kita, lebih menarik lagi adalah bila kita bandingkan pendapatan kita jauh melebihi pendapatan orang itu.

Katakan pendapatan yang kita bawa balik adalah RM5,000 sedangkan pendapatan jiran kita itu hanyalah sekitar RM3,000. Jika diperhatikan ada perkara pelik sedang berlaku. Kenapa pendapatan yang kita ada hanya cukup-cukup untuk keperluan kita sahaja. 

Dan jika kita berbual dari hati ke hati dengan kawan kita itu, dia juga akan mengeluh kenapa pendapatannya hanya ngam-ngam untuk menyara keperluannya sahaja setiap bulan. Dia tak berkeupayaan menabung dan ini telah berterusan semenjak pendapatannya hanya RM1,500 sebulan.

Maklumat di atas jika digabungkan membuatkan kita mampu menjadi kaya. Caranya mudah saja,
  1. Ajak kawan yang pendapatan RM3,000 itu menjadi pembantu untuk kita jadi kaya. Bayar padanya sedikit ganjaran seumpama RM50 setiap kali dia menceritakan teknik kehidupannya pada anda.
  2. Temuramah kawan itu bagaimana dia membelanjakan pendapatannya secara terperinci. Kereta apa dia pakai, makanan jenis apa yang dia makan dan lain-lain.
  3. Seterusnya ikut kesemua gaya hidupnya dan tiru kesemua cara dia berbelanja. Jadikan beliau sebagai pemantau untuk menegur jika ada kesilapan berlaku.
  4. Amalkan secara tetap sehingga menjadi kebiasaan.
  5. Di saat itu anda akan dapati pendapatan yang anda bawa balik akan sentiasa berlebihan sebanyak RM2,000 daripada keperluan.
  6. Apa lagi, masukkan ke dalam bank atau tabung haji atau unit trust islamic fund dan lain-lain. Masukkan secara tetap selama mungkin.
  7. Anda sudah masuk dalam senarai orang kaya baru.
Selamat mencuba! Jangan lupa turunkan ilmu ini pada rakan yang membantu anda dan suruh dia mencari rakannya pula yang berpendapatan RM2,000 sebulan. Jangan kaya seorang diri, ajak orang lain juga menjadi kaya.sumber


Tuesday, December 25, 2012

Betulkah untuk berjaya kena kerja kuat?


Semua orang tentu kenal kawan-kawannya yang kuat bekerja. Orang putih kata kerja kuat itu 'hardwork'. Bacalah mana-mana buku motivasi. Bacalah mana-mana buku biodata orang yang menempa kejayaan hebat dalam perniagaannya, mereka tentu ada sebut salah satu faktor berjaya adalah sebab sikap kerja kuat.

Cuba lihat sekeliling, ramai yang kerja kuat. Kita boleh senaraikan seperti dibawah:
  • Buruh kasar - tak ada lagi kumpulan yang bekerja sekuat mereka ini. Angkat simen, bata, kayu naik turun bangunan di tengah panas matahari terik.
  • Taukeh kedai baiki basikal di kampung - Kalau di tempat saya, Ah Tep kerja kuat sampai meninggal. Kini anaknya Ah Ou yang menyambung usaha ayahnya juga telah tua. Dia kerja kuat baiki basikal sampai tua dan anaknya pula menyambung kerjanya. Saya yakin anaknya juga akan kerja kuat sampai tua.
  • Penjual kacang tepi jalan - Ada juga dikampung saya yang jual kacang dari muda sampai tua. Hari-hari beli, rebus dan jual kacang.
  • Drebar lori - Ramai drebar lori yang kita kenal. Bawa lori dari muda sampai tua tak pernah jemu. Begitu juga drebar bas dan juga drebar teksi.
  • Kerja kampung - Ramai yang kuat ambil upah kerja-kerja rencam di kampung. Mereka biasanya sihat, kuat dan berotot sasa. Umur mereka panjang untuk sentiasa berkhidmat pada orang kaya kampung dari muda sampai tua.
Banyak lagi contoh sekeliling kita. kalau nak disenaraikan satu persatu memang panjang. Tapi majoriti daripada mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka berada di takuk yang sama dari muda sampai tua. Kalau memang kerja kuat itu tangga kejayaan kenapa mereka tak jadi"the richest man in their own town"?.

Jika kita tolak pula teori kerja kuat untuk berjaya, kita menafikan nasihat mereka yang dah berjaya yang mana mereka telah membuktikannya. Jadi tentu rahsianya adalah dengan melihat apa yang dimaksudkan dengan kerja kuat.

 Apa maknanya kerja kuat? sebenarnya kerja kuat bukan bermaksud angkat barang atau lain-lain aktiviti yang mengeluarkan peluh. Kerja sebenarnya adalah:

"90% berfikir dan 10% lagi beraksi"

Dengan definisi itu terbongkar kenapa keluarga Ah Tep tetap dengan hanya satu kedai basikal walaupun selama 3 jenerasi kerja kuat. Terbongkar juga kenapa penjual kacang hidup sekadar cukup makan dari muda sampai tua dan buruh kasar hanya membina otot-otot tebal tanpa punya wang tebal dari muda sampai tua.

Begitu juga yang lain-lain mereka cukup kuat kerja siang malam sehinggakan tak sempat berfikir. Mereka lebihkan aksi daripada berfikir. Jadi sudah tentu tak ada masa untuk melihat peluang lain. Dengan berfikir kita akan nampak bagaimana kehidupan kita boleh menjadi lebih baik. Dengan berfikir juga kita mampu meletakkan matlamat yang lebih tinggi.

Oleh itu kepada semua usahawan yang kuat kerja sampai tak cukup tanah saban hari. Tolong henti sebentar dan ambil masa yang lebih untuk berfikir. Kerja dengan kuat sekadar menggunakan tulang 4 kerat tak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya jika digabungkan dengan otak yang berfikir kita boleh pergi lebih jauh.

Untuk berfikir, kita mestilah punya soalan dan soalan akan timbul melalui:
  • Pergaulan dengan rakan-rakan yang berjaya. Bersembang kosong dengan mereka yang berjaya tak pernah rugi. Akan ada saja idea baru muncul dari otak orang-orang yang berjaya.
  • Membaca buku-buku yang berkaitan dengan apa yang kita buat. Tak ada zaman yang lebih mudah untuk dapatkan maklumat macam zaman kita sekarang. Luangkan masa sentiasa beli dan baca buku.
  • Melihat dunia dengan berjalan. Jauh berjalan luas pemandangan. Ambil masa sekali sekala untuk berjalan jauh. Ia membuatkan otak kita sedar bahawa dunia in lebih luas dari kampung atau garaj tempat kerja.
  • Muhasabah diri setiap hari. Luangkan masa satu jam setiap hari bersendirian untuk berfikir. Hari esok mesti lebih baik dari hari ini. Bagaimana melakukannya, fikirkankanlah. Berjalan kaki di taman atau duduk atas tikar sembahyang atau iktikaf di masjid mampu memberikan ketenangan untuk melahirkan suasana yang sesuai untuk berfikir.
  • Luangkan masa dengan keluarga. Lebihkan masa sedikit bersama anak-anak dan isteri-isteri, juga ibubapa. Duduk saja melihat anak-anak bermain menaikkan semangat untuk kita berusaha. Anak-anak pula tak akan lupa jasa kita meluangkan masa itu sampai mati. Melihat muka ibubapa tanpa berkata-kata apa-apa juga mampu menyuntik semangat untuk berjaya.
  • Berdoa. Jangan lupa pada Tuhan. Tak ada guna duit banyak, rumah besar, kereta mewah kalau Tuhan dilupakan. Tak ada guna didunia senang 20 tahun diakhirat pula terseksa selama-lamanya. Jangan putus asa dengan rahmat Tuhan. Buat yang wajib dan tinggalkan yang haram dan selitkan yang sunat sekadar mampu dengan istiqamah.
Untuk saya, juga untuk semua usahawan dan bakal usahawan marilah kita sama-sama amalkan. Insyallah!sumber